Khairuddin Dakwa Rantai Bertatah Berlian Merah Jambu Masih Di Tangan Rosmah

Khairuddin Dakwa Rantai Bertatah Berlian Merah Jambu Masih Di Tangan Rosmah

Khairuddin Dakwa Rantai Bertatah Berlian Merah Jambu Masih Di Tangan Rosmah

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa seutas rantai bertatah berlian merah jambu 22 karat yang bernilai kira-kira RM115 juta masih dalam tangan Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut peguamnya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bagi membuktikannya beberapa saksi akan dipanggil berhubung dakwaan itu.

Malah katanya, Datuk Seri Khairuddin dikatakan mempunyai bukti prima facie yang isteri bekas Perdana Menteri itu memiliki barang kemas itu.

"Kita akan memanggil saksi, termasuk mereka dari luar negara yang berlian itu dihantar kepada pihak ke-3 yang kemudian menyerahkannya kepada Rosmah," katanya kepada FMT.

Datuk Seri Gopal mengulas pendedahan polis hari ini mengenai 25 beg mengandungi 12,000 jenis barang kemas dianggarkan bernilai RM442 juta dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, bulan lalu.

Bagaimanapun, serbuan itu tidak menemui rantai berlian merah jambu.
Barang kemas termahal yang dirampas dalam serbuan itu ialah seutas rantai leher berlian putih bernilai RM6.4 juta.

Menurut Datuk Seri Gopal, berlian merah jambu itu diserahkan kepada seorang wanita yang bertindak sebagai ejen Datin Seri Rosmah, namun beliau tidak mengulas lanjut.

Ogos lalu, Datuk Seri Khairuddin memfailkan saman bagi mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi ke atas Datin Seri Rosmah untuk mengembalikan barang kemas itu kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia termasuk sebutir berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM96.77 juta) dan seutas rantai bernilai AS$4.3 juta (RM18.08 juta), diberikan kepada Datin Seri Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Beliau juga mahu ahli perniagaan, Low Taek Jho membayar semua wang yang didakwa diseleweng dari syarikat itu, kepada 1MDB.

Beliau juga mahu Datin Seri Rosmah dan ahli perniagaan, Jho Low, memberi pampasan kepada 1MDB atas dakwaan penyelewengan dana dan penggunaan barang kemas itu, serta memulangkan baki wang kepada syarikat itu.

Katanya, Jho Low menerusi ejennya, Tan Kim Loong, membeli barang kemas itu daripada Loraine Schwartz di New York pada harga AS$27.3 juta, iaitu wang yang didakwa dicuri ahli perniagaan itu.

Samannya berdasarkan dakwaan yang Datin Seri Rosmah tidak mampu memperoleh hak milik ke atas barang kemas itu, walaupun ia diberikan kepadanya sebagai hadiah.

Post a Comment

0 Comments