Hanya pisang lenyek juadah Aidiladha

Hanya pisang lenyek juadah Aidiladha

Hanya pisang lenyek juadah Aidiladha

JIKA setiap rumah di Malaysia dipenuhi juadah istimewa pada pagi Aidiladha, lain kisahnya buat pelarian di kem Dadaab di Garissa, Kenya, yang hanya memakan pisang lenyek.
Mereka bukan saja kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan malah juga tiada air bersih untuk diminum.
Pengalaman itu disaksikan sendiri wartawan bersama jurugambar Fariz Iswadi Ismail yang tiba di kem menempatkan 242,988 pelarian dari Somalia dan Sudan selepas menempuh perjalanan hampir 21 jam dari Malaysia sempena Program Kembara Korban Edisi ke-11 anjuran EZ Qurban Sdn Bhd.
Jujurnya, sebelum menjejakkan kaki di sini, wartawan agak yakin walaupun dalam kedaifan pelarian kem berkenaan yang semuanya muslim mempunyai sedikit bekalan makanan asas yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO).



Ternyata telahan wartawan meleset sama sekali sebaik mendapat kebenaran masuk ke kawasan kem itu.
Mana tidaknya, wartawan dimaklumkan pihak pengelola kebanyakan pelarian tiada bekalan makanan dan hanya minum air bagi mengisi perut.
Bagi mencari kesahihan dakwaan itu, wartawan kemudian menghampiri seorang ibu tunggal Aminah Hassan, 42, berasal dari Sudan.
Menurut Aminah, selepas kematian suami dan tiga anaknya empat tahun lalu, dia kini hidup bersama anak bongsunya, Said Husaini, 4.
"Juadah kami pagi Aidiladha adalah pisang lenyek.
"Ini rezeki pada pagi Aidiladha di mana seorang penduduk tempatan (muslim Kenya) hadiahkan kami seikat pisang setiap keluarga," katanya yang sudah mendiami kem pelarian itu sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, jika tiada sumbangan pisang maka tiada makanan di rumahnya ataupun jiran berdekatan.
"Selalunya tiga hari sekali baru ada makanan... kadang-kala seminggu sekali. Itupun selepas terima bantuan daripada UNHCR. Jika ada roti pun sudah memadai untuk kami sekeluarga," katanya.

KANAK-KANAK pelarian Somalia menunaikan solat Aidiladha di kem pelarian Dadaab. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Wartawan kemudian menghampiri satu lagi keluarga selepas mendengar tangisan kanak-kanak.
Selepas memperkenalkan diri, wartawan dan jurugambar dijemput masuk ke khemah mereka.
Ketua keluarga itu yang mahu dikenali sebagai Ahmed, 43, berkata, tiada sambutan Aidiladha di seluruh kem berkenaan.
"Nak beraya dengan apa, makan sendiri (dan keluarga) pun tak lepas," katanya.
Menjawab soalan wartawan, apakah juadah di pagi Aidiladha keluarganya, Ahmed berkata:"Tuan pasti terkejut."
Ahmed lantas bangun dan menarik tangan wartawan keluar daripada khemah miliknya sebelum dibawa ke kawasan dapur.
"Inilah makanan kami pagi raya," katanya sambil menunjukkan ke arah satu periuk kecil yang terletak di atas dapur kayu luar khemahnya.
"Air," perkataan itu terpancul keluar dari mulut wartawan selepas melihat isi periuk berkenaan.
Ahmed berkata, itu bukanlah air biasa tetapi buat keluarganya, ia adalah sup.
Tanpa sedar, wartawan dan jurugambar menitiskan air mata sebelum bergerak ke khemah lain.
Hasil pemerhatian dilakukan di kebanyakkan khemah, paling 'hebat' makanan yang ada bagi sesebuah keluarga itu adalah sepotong roti.

KANAK-KANAK pelarian Somalia ketika menunaikan solat Aidiladha. FOTO ihsan pembaca
Terdahulu, wartawan bersama rombongan EZ Qurban menunaikan solat sunat Aidiladha di padang bola Sekolah Rendah Dadaab.
UNHCR Kenya sehingga Julai 2017 merekodkan, 434,310 pelarian ditempatkan di kem Dadaab dan Kakuma.
Mengikut pecahan, pelarian dari
Somalia (288,296), Selatan Sudan (107,806), DR Congo (13,450), Ethiopia (17,891), Sudan (2,952) dan
Lain-lain (3,915).
Sementara itu, Pengurus Pengiklanan EZ Qurban Sdn Bhd Nor Adzimah Hassanuddin berkata, keadaan pelarian di kem berkenaan sangat daif.
"Pelbagai bantuan diperlukan mereka termasuklah makanan dan air bersih. Apatah lagi perubatan," katanya.
Menurutnya, hasil tinjauan dilakukan kem berkenaan pihaknya akan meneruskan bantuan lain di sini seperti pengagihan akikah.
Pengarah Urusan EZ Qurban Sdn Bhd Ustaz Azhar Ab Shukur berkata, sebanyak 150 ekor lembu yang diamanahkan untuk ibadah korban di kem berkenaan berjaya diagihkan dengan sempurna.
"Saya saksikan sendiri amanah diberikan rakyat Malaysia disampaikan kepada penerima," katanya.

Post a Comment

0 Comments