KISAH pengakhiran hidup gadis Maghribi, Amina Filali, 16, cukup menyayat hati. Bagi remaja ini, pilihan untuk membunuh diri pastinya sesuatu yang sukar.
Namun, hanya cara itu yang dianggap boleh membebaskan dirinya daripada penderitaan akibat dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah merogolnya.
Ibu Amina, Zohra Filali dengan kebenaran hakim sebuah mahkamah di bandar Tangiers memaksa Amina menerima Mustafa Salek, 25, sebagai suami.
"Amina pernah mengadu dia diserang oleh seorang lelaki yang 10 tahun lebih tua daripadanya di sebuah hutan. Lelaki itu mengancamnya dengan pisau. Amina memang diperkosa lelaki itu," cerita si ibu, Zohra.
Membesar dalam keluarga petani miskin di Larache, kawasan pesisir pantai yang tandus di utara Maghribi, Amina terus dibawa berjumpa keluarga Mustafa. Zohra menuntut agar kedua-duanya dinikahkan.
"Saya perlu menikahkan Amina dengan lelaki itu kerana saya tidak mahu masa depannya gelap.
"Ia aib yang sangat besar. Saya juga tidak mahu keluarga kami menjadi bahan cemuhan orang kampung.
"Lagipun, jika tidak Mustafa, siapa lagi yang ingin memperisterikan Amina?" ujar Zohra selepas seminggu anaknya membunuh diri baru-baru ini.
Keluarga Mustafa pada awalnya enggan menerima Amina. Keadaan itu menyebabkan Zohra membawa anaknya ke klinik untuk diperiksa. Doktor memberitahu Amina sudah hilang dara tetapi puncanya tidak dijelaskan.
Didesak
Bapa Amina, Lahchen yang yakin Amina telah dirogol pergi ke bandar Tangiers untuk meminta keadilan bagi pihaknya.
"Namun, pendakwa raya mendesak saya supaya menikahkan Amina dengan lelaki yang merogolnya.
"Apa boleh buat, saya tidak mampu melawan undang-undang negara. Saya tidak pernah bersetuju dengan pernikahan ini," kata Lahcen yang mempunyai enam anak lain berusia antara lima hingga 23 tahun.
Perkahwinan paksa yang bertujuan untuk menutup aib itu bagaimanapun gagal.
"Keluarga Mustafa bukan orang senang. Mereka juga hidup susah seperti kami. Mereka tidak menerima anak kami sebagai menantu sebaliknya menganggapnya satu beban.
"Amina dan suaminya tinggal di pondok usang bersebelahan rumah keluarga Mustafa.
"Amina sering pulang ke sini dan mengadu suaminya yang menganggur sering memukulnya. Begitu juga dengan ibu mertuanya. Namun saya menyuruhnya bersabar," beritahu Zohra.
Pada 10 Mac lalu, kira-kira tiga bulan setengah selepas mahkamah mengesahkan pernikahannya, Amina meracun dirinya sendiri dengan meminum racun tikus.
Selepas beberapa jam terbaring di hospital, keadaannya bertambah baik dan Amina meminta yogurt daripada ibunya.
Malangnya, tiga jam kemudian, Amina disahkan meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan di atas bukit berhampiran rumahnya.
"Dahulu saya fikir masa depan Amina akan gelap dan dia tidak akan berkahwin sampai bila-bila. Alangkah bagusnya jika saya tidak memaksanya berkahwin dan biarkan dia duduk di rumah sahaja," luah Zohra.
Keadaan yang menimpa keluarga Amina mencetuskan kemarahan banyak pihak. Ramai yang mahu sistem perundangan keluarga Maghribi dikaji semula.
Jabatan Kehakiman Maghribi bagaimanapun menegaskan, Amina bukan mangsa perundangan berat sebelah, sebaliknya gadis itu setuju untuk dinikahkan.
Kehormatan
Namun, kenyataan itu tidak dapat diterima masyarakat Maghribi. Ramai yang mempertikaikan undang-undang bahawa perogol boleh dibebaskan jika bersetuju berkahwin dengan mangsa.
Dalam masyarakat konservatif Asia Barat, kehormatan keluarga diletakkan kepada perempuan.
Hubungan seks luar nikah merupakan aib paling besar buat keluarga dan ia hanya dapat dipulihkan melalui perkahwinan.
Selain Maghribi, penyelesaian seperti itu turut diamalkan di Afghanistan. Malah, di Afghanistan mangsa rogol turut dikenakan tindakan.
Tahun lalu seorang wanita Afghanistan, Gulnaz, 21, dihukum penjara kerana berzina secara paksa selepas dia dirogol secara ganas oleh sepupu suaminya.
Penyerang Gulnaz dihukum penjara selama tujuh tahun. Mujurlah Presiden Hamid Karzai kemudian memberi pengampunan dan membebaskan Gulnaz dari Penjara Badam Bagh di Kabul.
Sebenarnya, undang-undang yang hampir sama dengan Maghrgibi turut diguna pakai di Perancis melalui Fasal 475 Pindaan Undang-Undang Keluarga 1962.
Ia menetapkan 'penculik' yang merujuk kepada penyerang atau perogol mangsa bawah umur tidak akan didakwa jika dia menikahi mangsanya.
Sementara itu, versi Arab Saudi pula merujuk golongan ini sebagai 'menculik atau menipu' mangsa bawah umur.
Apa pun istilahnya, ia akhirnya membawa kepada kahwin paksa gadis bawah umur. Tidak mustahil ia akan mengulangi lagi tragedi Amina Filali.
agensi
agensi
0 Comments