MYANMAR...KISAH BATU EMAS TERGANTUNG DAN SEHELAI RAMBUT BUDDHA!

MYANMAR...KISAH BATU EMAS TERGANTUNG DAN SEHELAI RAMBUT BUDDHA!

 MYANMAR...KISAH BATU EMAS TERGANTUNG DAN SEHELAI RAMBUT BUDDHA!


KITA semua tentu dah tahu bagaimana Presiden Myanmar, Win Myint dan Aung San Suu Kyi ditahan dalam plot terbaharu rampasan kuasa di Myanmar Isnin lalu apabila pihak tentera di sana menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat atas alasan MENIPU dalam pilihan raya!
Takpelah bab tu. Boleh baca kat gugel kalau nak tahu detail.
Cuma aku nak cerita sikit secebis kenangan ketika aku dan rakan-rakan masuk ke negara tersebut sewaktu junta tentera masih lagi berkuasa kira-kira sembilan tahun lepas.
Disebabkan negara tentera, punyalah seksa nak masuk negara depa masa tu sampai kena pergi ke kedutaan mereka buat visa, interview bagai, hisk!
Oleh kerana tak mahu dilihat 'mencurigakan', kami decide amik pakej sahaja walaupun kami sebenarnya lebih suka 'free n easy' punya konsep. Risau juga kalau kami main sesuka hati je berjalan kat sana nanti dibantainya ditangkap askar kerana dianggap 'spy' satu hal pulak kena menjawab.
Bila dah amik pakej, kenalah follow tour guide, mana depa bawa, kami ikut jelah tak banyak cakap.
Pada hari ketiga di sana, kami diminta bersiap sedia untuk dibawa ke sebuah kawasan pergunungan. Kata tour guide tu: "Tuan-tuan, hari ini kami akan bawa anda ke sebuah tempat di mana ada BATU EMAS TERGANTUNG DAN SEHELAI RAMBUT BUDDHA!"
Kawasan yang dianggap antara paling suci untuk penganut Buddha di negara berkenaan.
Walaupun ia cuma 160 kilometer dari hotel kami di ibu kota Yangon, namun keadaan jalan yang tidak begitu sempurna membuatkan perjalanan mengambil masa hampir empat jam.
So seawal pukul 7 pagi lagi kami dah siap kat lobi hotel. Guide kami kemudiannya memberi penerangan ringkas mengenai tempat tersebut sebelum menaiki van.
Tempat yang akan kami tuju itu ialah PAGODA KYAIKHTIYO.
Dipendekkan cerita, lebih kurang tiga jam setengah, van kami pun memasuki pekan kecil Kyaikhtiyo. Dari bawah kami dah nampak dah pagoda yang dimaksudkan, atas bukit, ketinggiannya kira-kira 1,100 meter atas paras laut!
Rupa-rupanya pagoda setinggi 7.3 meter itu terletak di atas sebuah batu emas, betul-betul di tebing bukit, menjadikannya seolah-olah tergantung.
Ia dipanggil batu emas kerana penganut Budha yang datang ke situ menampal batu itu dengan daun emas sedikit demi sedikit hingga menjadikannya kuning berkilauan.


Kenderaan lain tidak dibenarkan naik bukit berkenaan kecuali trak yang disediakan oleh pihak pengurusan pagoda, macam nak naik Bukit Larut kat Taiping tu le.
Trak itu pula bukanlah trak dalam erti kata sebenar, ia cuma lori pasir yang diletakkan kayu dibelakangnya untuk dijadikan tempat duduk.
Memang thrill beb naik trak tu, dahlah pemandunya bawa trak tu macam Micheal Schumacher, jumlah yang naik pula punyalah ramai, kami disumbat macam tin sardin!
Bila sampai satu tempat nama Yathe Taung (iaitu selepas 45 minit perjalanan mendaki bukit), semua pelancong asing kena turun, kami kena menapak lagi sejam untuk sampai ke puncak, adoyyyyyyyyyyyy...nasib baiklah runding punya runding, si driver setuju teruskan perjalanan hingga ke atas
Kami diberitahu kononnya pihak pengurusan terpaksa buat begitu demi keselamatan pelancong juga…ini kerana jalan ke puncak semakin sempit dan curam, mereka taknak tanggung risiko kalau berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Tetapi hakikatnya depa nak bagi bisnes kat penduduk tempatan, apa taknya, kalau kami memilih untuk berjalan sampai ke puncak, kami terpaksa lalu pelbagai kedai cenderamata yang terletak di kiri kanan jalan, mau tak mau kena gak la beli satu dua souvenir, bijak-bijak.
Selain itu, mereka juga ada perkhidmatan ‘mengusung’ para pelancong yang kepenatan…kita kena bayar dekat-dekat USD 20 sorang jika nak guna perkhidmatan pengusung atau tandu ini, satu lagi lubang bisnes.
Dipendekkan cerita lagi, bila sampai ke pintu masuk pagoda, kami dikenakan sedikit bayaran, orang tempatan dikecualikan.
Akhirnya kami pun sampai ke puncak…dapatlah tengok batu emas dan pagoda yang diperkatakan itu, di kala penganut Buddha sibuk beribadat di tempat suci diaorang tu, kami pula sibuk bergambor.
Rupa-rupanya penganut Buddha percaya batu itu tergantung kerana dibawahnya ada sehelai rambut Buddha yang menyendalnya dari tergolek dan jatuh ke bawah.
Tempat ini memang sangat suci buat mereka, bagi mereka yang tidak berkemampuan atau yang nak lebih adventure, mereka sanggup ikut 'trail' dengan berjalan kaki hampir empat jam lamanya untuk sampai ke batu itu.
So bila terbaca kisah rampasan kuasa tentera di Myanmar ni, aku lebih terbayang batu tergantung tu daripada citer Suu Kyi semua ni. Bagi aku baik tentera ke, Suu Kyi ke, sama je perangai. Ada tak menambah, tiada tak berkurang untuk rakyat mereka. Period!

sumber:

Syahril A. Kadir

Post a Comment

0 Comments