Dory Dan Anak-anak Di Serang Kuasa Ghaib

Dory Dan Anak-anak Di Serang Kuasa Ghaib


 Dory Dan Anak-anak Di Serang Kuasa Ghaib

Permulaan kisah ini berlaku pada tahun 1974, tentang seorang ibu tunggal bernama Doris Bither yang tinggal di Culver City, California bersama empat orang anaknya. 

        

Tidak banyak informasi yang diketahui tentang Doris, kecuali berdasarkan maklumat yang diperoleh para penyiasat pada tahun 1974. Pada tahun itu ketika disiasat, Doris berusia 30-an dan merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. Semua anak-anaknya adalah hasil hubungan dengan lelaki yang berbeza. 

Doris digambarkan seorang wanita kaki botol dan mengalami tekanan perasaan kerana sering didera secara fizikal oleh teman-teman lelakinya.  Untuk memulakan hidup baru dan lari daripada keganasan teman lelakinya, Doris membawa anak-anaknya berpindah dari Santa Monica ke sebuah rumah di Culver City.  

Sebagai seorang ibu yang tertekan, mengalami masalah kewangan dan kesukaran untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri, Doris berharap dengan berpindah akan membuka lembaran baru dalam hidupnya. Tetapi, sebaliknya berlaku.

Sebaik Doris berpindah ke sebuah rumah di alamat 11547 Braddock Drive, ada ‘sesuatu’ yang menanti dan membuat hidup Doris bertambah parah.

Rumah yang diduduki Doris di Culver City pada masa kini. Di sini Doris dan anak-anaknya diganggu dan diserang entiti misteri.

Sehari selepas berpindah, Doris didatangi seorang wanita tua tidak dikenali. Wanita itu memberi tahu dia pernah tinggal di rumah tersebut dan memberi amaran, ada kuasa jahat dalam rumah itu sebelum berlalu pergi. Mulanya, Doris tidak percaya. Namun, apabila mula berlaku perkara-perkara aneh dalam rumah tersebut, Doris mula terfikir tentang amaran wanita tua itu.

Doris dan anak-anaknya mula diganggu. Lampu terbuka dan tertutup sendiri. Barangan dalam rumah juga bergerak dan beralih sendiri, termasuk bunyi-bunyi aneh yang mula kedengaran. Ia tambah menakutkan apabila mereka sekeluarga mula melihat bayangan dan penampakan aneh dalam rumah tersebut.

Pada mulanya, mereka hanya melihat lintasan atau sosok bayangan yang sekelip mata hilang. Namun lama-kelamaan, penampakan itu kian jelas menunjukkan diri. Ada kalanya ia muncul seperti kepulan asap yang membentuk seakan satu lembaga seperti manusia. Kadangkala, ia muncul duduk di sudut rumah memerhatikan Doris dan anak-anaknya.

Pada mulanya, memang mereka takut. Namun akhirnya mereka tidak menghiraukan kemunculan entiti itu.  Tetapi keadaan mula berubah apabila entiti itu mula bertukar menjadi sesuatu yang menakutkan. Ia bukan saja menjatuhkan dan melempar barang-barang dalam rumah tersebut, bahkan mula mencederakan Doris dan anak-anaknya. 

Keluarga itu bukan saja ditolak, dipukul, malah juga dicakar dan digigit sehingga tubuh badan Doris dan anak-anaknya sering mempunyai kesan lebam dan cakaran. Gangguan itu berlaku setiap masa, tanpa mengira siang atau malam.

Doris percaya dia dan anak-anak diganggu poltergeist. Bukan hanya Doris, malah jiran-jiran mereka juga sering melihat bayangan aneh di persekitaran rumah Doris. Lebih menakutkan, Doris mendakwa entiti itu turut merogolnya.

Tidak tahan dengan gangguan itu sehingga mencederakan mereka sekeluarga, Doris mula mencari bantuan. Kebetulan ketika berada di sebuah kedai buku, Doris terdengar perbualan dua lelaki yang bercerita tentang rumah berhantu. Dari situ dia menyapa dan membawa perkenalan dengan Kerry Gaynor, seorang pengkaji paranormal dan rakan sekerjanya, Dr. Barry Taff dari UCLA (University of California Los Angeles). 

Pada hujung tahun 60-an, satu unit khas diwujudkan di bawah pemantauan UCLA bagi mengkaji fenomena aneh dan misteri yang sukar diperjelas dengan logik akal fikiran, termasuk berkaitan hantu atau gangguan entiti misteri. Dr. Barry antara orang yang terlibat dalam unit ini. 

Pada 22 Ogos 1974, Kerry dan Dr.Barry tiba di rumah Doris untuk melakukan pemeriksaan. Pada mulanya, mereka menyangka keluarga itu hanya mengalami gangguan ringan sahaja. Namun tanggapan mereka berubah. Apatah lagi bila melihat kesan cakaran, lebam-lebam dan parut yang banyak pada tubuh Doris dan anak-anaknya, selain dakwaan Doris bahawa dia turut dirogol oleh entiti tersebut.

Kata Doris lagi, mengikut perhatiannya, ada tiga jenis ‘hantu’ yang mengganggu mereka. Tetapi menurut anak Doris pula, ada empat jenis poltergeist yang menghuni rumah tersebut.             

Brian, salah seorang anak Doris menceritakan, dia sering mendengar suara aneh dari bilik ibunya yang hanya bersebelahan dengan biliknya.            

“Saya boleh dengar bila makhluk itu menyerang ibu di biliknya. Saya dengar bunyi barang-barang dilemparkan dan jeritan ibu. Selepas itu ibu keluar bilik dengan kesan lebam pada seluruh tubuhnya. Malah kami juga pernah melihat sendiri ibu dicampak dan dipukul. Kita boleh dengar bunyi pukulan dan tamparan, tapi kita tidak nampak siapa yang melakukannya. Hanya ibu yang menjerit kesakitan dan kemudian muncul kesan-kesan kebiruan. Malah kami juga sering terasa ditolak, digigit dan dicakar. Tidak ada seorang pun daripada kami yang tidak diserang,” ujar Brian.       

Selama beberapa bulan, pasukan penyiasat melakukan kajian di rumah Doris. Mereka cuba mengesan aktiviti paranormal yang berlaku di rumah tersebut. 

Kebiasaannya, kejadian paranormal yang dirakamkan mereka tidak bahaya apatah lagi mendatangkan kecederaan. Namun keadaan ini berbeza dengan situasi di rumah Doris. Para pengkaji itu melihat sendiri objek dalam rumah Doris terapung atau bergerak sendiri. Juga bunyi-bunyi aneh yang sering kedengaran dalam rumah tersebut.

Mereka berpendapat, apa yang mengganggu Doris dan anak-anaknya bukan aktiviti poltergeist yang biasa, sebaliknya ada kuasa jahat yang menghuni rumah tersebut, bahkan dengan jelas ia mampu menyerang keluarga Doris secara fizikal.  Malah, Doris dijadikan sasaran utama entiti tersebut.

Saksi mendakwa mereka melihat sendiri bagaimana Doris diserang sesuatu yang tidak dapat dilihat. Doris ditumbuk, ditampar, ditolak ke dinding sehingga cedera.

Dr. Barry turut menjemput jurugambar profesional dan satu kumpulan penyiasat paranormal untuk turut sama dalam penyiasatan di rumah Doris. Mereka berkumpul di bilik tidur Doris. Doris diarahkan untuk memarahi entiti dalam bilik tersebut.

Tidak lama kemudian, muncul satu kabus kehijauan yang kemudian membentuk seakan satu bayangan lembaga bertubuh seperti manusia, tapi tidak berkaki dan bertangan. Salah seorang penyiasat dalam bilik itu jatuh pengsan apabila melihat entiti tersebut.

Walaupun ramai saksi melihat sendiri kejadian aneh itu, namun kelibat entiti itu tidak muncul dalam rakaman mereka. Tetapi, ada gambar yang tampak aneh di mana Doris sedang duduk di katil dan ada satu lengkungan cahaya pelik di atas kepalanya.  Bila diperiksa, cahaya itu bukan kesan dari lampu dalam bilik tersebut, juga bukan kesan pantulan kerana ia tidak selari dengan sudut bilik. 

Jalur cahaya aneh yang dirakam di atas kepala Doris semasa siasatan peranormal di rumahnya.

Walaupun berbulan-bulan siasatan dilakukan, namun ia tidak mampu menjelaskan aktiviti paranormal di rumah Doris. Anak-beranak itu terus diganggu. Beberapa tahun kemudian, Doris berpindah ke tempat lain. Namun dia mendakwa entiti jahat itu masih mengikutinya walau ke mana saja dia berpindah. Doris juga pernah mendakwa dirinya hamil akibat perbuatan entiti tersebut, namun ia terbukti palsu.

Selepas itu, Doris menyepikan diri dan tidak diketahui apa kisah selanjutnya, sehinggalah dia dikhabarkan meninggal dunia. Menurut anaknya Brian, ibunya meninggal dunia pada tahun 1995 kerana sakit jantung.

Jika ditanya pandangan Dr. Barry yang terlibat dalam siasatan entiti aneh di rumah Doris, beliau enggan percaya apa yang berlaku disebabkan ‘hantu’ atau gangguan entiti jahat.

Dr. Barry lebih percaya pada teori bahawa apa yang berlaku kepada keluarga Doris disebabkan pemikiran minda manusia bawah sedar dan keupayaan psikokinesis, iaitu kebolehan untuk menggerakkan objek dengan minda.

Pun begitu, bagaimana seseorang itu sanggup mencederakan diri sendiri? Bagaimana objek-objek dalam rumah itu bergerak dan terlempar sendiri? Mana mungkin Doris, seorang kaki mabuk dan hidup tertekan mampu menggerakkan objek dengan kuasa mindanya?

Lagi satu, bagaimana dengan anak-anak Doris yang turut mengalami kesan lebam dan cakaran? Tiada penjelasan kukuh untuk persoalan ini.

Filem ‘The Entity’ yang diilhamkan daripada kisah Doris

Kes Doris hangat diperkatakan ketika itu. Malah, kisah ini turut menjadi inspirasi kepada filem ‘The Entity’ yang diterbitkan pada tahun 1983. 

Persoalannya yang masih tidak terjawab sehingga kini, mengapa entiti tersebut menzalimi Doris dan anak-anaknya?

– X-FILES

Post a Comment

0 Comments