Angin Sejuk iringi Jenazah Adik Amir

Angin Sejuk iringi Jenazah Adik Amir



Angin Sejuk iringi Jenazah Adik Amir

 JENAZAH seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dipercayai menjadi mangsa dera selamat dikebumikan di Jasin, Melaka, tengah hari Isnin.

"Alhamdulillah Zubaidi Amir Qusyairi telah selamat dikebumikan di Jasin, Melaka," demikian kata salah seorang ahli keluarga angkat Allahyarham menerusi laman Instagramnya, tuhfahnazira.

"Babai adik," ujar Tuhfah Nazira menerusi aplikasi story di Instagram berserta emoji berbentuk hati dan lambai tangan.

Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek atau lebih mesra dengan panggilan Amir, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh di Jasin.


Dilaporkan, jenazah yang dituntut pada pagi Isnin oleh waris keluarga ibu kandungnya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka telah dibawa ke Madrasah As Syakirin di Simpang Bekoh untuk dimandikan dan disolatkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.



Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar dekat Padang Bekoh. foto Bernama

Keluarga angkat Allahyarham dihujani ucapan takziah daripada netizen termasuk mereka yang mengenali keluarga itu.

"Alhamdulillah... prosesnya sangat mudah diiringi angin, sejuk, tenang. Anak syurga. Amin," kata seorang pengikut Tuhfah Nazira.

Terdahulu, Tuhfah Nazira memaklumkan bahawa keluarganya berharap agar jenazah dapat dikebumikan di Selangor, namun reda dengan keputusan waris untuk mengebumikan arwah di Melaka.

Wanita itu turut berharap agar semua pihak mendoakan ibunya, Norlida Abu Hassan agar diberikan kekuatan apabila jenazah diputuskan dikebumikan di Melaka, bukan di Rawang, Selangor sebagaimana yang dihajati.



Luahan salah seorang ahli keluarga angkat arwah di Instagram.

"Doakan umi kuat dengan keputusan di Melaka. Kami sekeluarga tiada hak dan kuasa apa-apa, kami sekeluarga berharap pada kuasa Allah saja.

"Apa yang kami boleh buat melainkan dengan pujuk rayu kepada pihak sana," katanya yang memaklumkan bahawa pihaknya telah berusaha untuk mendapatkan keizinan daripada waris agar jenazah dikebumikan Selangor.

"Kami mungkin kalah dengan mereka tentang itu, tetapi kami menang di hati Amir dan semua. Allahuakhbar," tambahnya.

Untuk rekod, keluarga Tuhfah Nazira yang menetap di Rawang memelihara Amir selama enam tahun sebelum menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibu kandungnya yang menetap di Melaka, pada Oktober lalu, selepas wanita berkenaan mahu mengambil semula anak lelakinya itu.



Ibu angkat arwah, Norlida Abu Hassan, 50, (depan, tiga kanan) memeluk erat bantal busuk milik kanak-kanak itu ketika hadir pada majlis pengebumian. foto Bernama

Terdahulu, dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Berdasarkan hasil bedah siasat, polis mendedahkan terdapat luka kecil baharu sebesar tiga sentimeter di bahagian belakang kepala kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera selain lebam dan kesan kecederaan pada anggota badan mangsa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman pada Ahad, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa selama kira-kira 11 jam.

Post a Comment

0 Comments