Peristiwa itu sudah hampir 20 tahun berlalu, namun ia masih segar dalam ingatan lelaki berusia 45 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Rozi.
Kerana peristiwa itu, Rozi berubah. Kerana peristiwa itu, barulah dia ingat pada Tuhan, pencipta sekalian alam.
“Walau dah lama berlaku, sampai sekarang kalau nak cerita pun saya masih takut. Menggigil rasanya bila teringat semula kejadian tu,” ujar Rozi.
Semuanya bermula dari satu tragedi lebih kurang 20 tahun lalu. Ketika itu lebih kurang pukul 10.00 malam, Rozi dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah habis bekerja di sebuah chalet di Besut, Terengganu.
Rozi memandu kereta untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Setiu, Terengganu. Kebetulan isterinya yang sarat hamil juga turut serta ketika itu, duduk di sebelahnya.
Malam itu hujan turun agak lebat. Ketika melalui sebatang jalan berbukit, Rozi perasan dari arah bertentangan ada sebuah kereta yang dipandu agak laju.
Apabila kereta itu semakin hampir, entah bagaimana kereta itu tiba-tiba terbabas masuk ke arah bertentangan lalu menghentam kereta dipandu Rozi.
Akibat kemalangan itu, isteri Rozi cedera parah dah patah tulang bahu. Mujurlah kandungannya selamat. Pemandu kereta itu juga parah. Tetapi yang lebih teruk ialah Rozi yang koma akibat kemalangan tersebut.
Kecederaan Rozi serius. Sebatang besi tertusuk di kepalanya, hampir mengenai bahagian otak. Betisnya patah. Tulang paha dan bahu lari dari kedudukan asal. Ketika itu, doktor memberitahu peluang Rozi untuk hidup hanya 50-50.
“Tiga bulan saya terlantar koma di hospital. Semasa koma itu, ada sesuatu yang berlaku. Mungkin ramai tidak percaya apa yang saya lalui. Orang di luar nampak saya koma, tapi saya merasakan diri saya telah dibawa ke satu alam lain,” cerita Rozi.
Apa yang dilihatnya semasa koma?
Kata Rozi, dia melihat sebuah dataran luas terbentang yang tidak berpenghujung. Ia dipenuhi jutaan manusia yang berpakaian serba putih, tidak kira lelaki atau wanita. Riak wajah mereka tampak ketakutan. Bagai menanti saat untuk dihukum.
Rozi dibawa melihat sebuah lagi tempat, dipertontonkan suasana manusia yang mahu melintasi sebuah jambatan panjang. Namun, jambatan itu terlalu kecil dan halus. Di bawahnya pula ada api yang sedang marak menyala. Rozi tertanya-tanya, apakah itu titian sirat?
Rozi lihat ramai manusia cuba lalu di titian itu, tapi ramai yang jatuh. Mereka menjerit-jerit disambar api yang ganas menjulang dari bawah.
Rozi juga diperlihatkan bagaimana manusia berada dalam keadaan gelap di dalam tanah. Tanah itu akan menghimpit hingga tulang-temulang berbunyi bagai dipatah-patahkan.
Ada banyak lagi keadaan yang menakutkan dilihat oleh Rozi di alam tersebut. Namun tidak sanggup dia hendak menceritakan semua siksaan yang dilihatnya itu. Apakah itu alam kubur? Rozi tidak tahu. Namun, dengan hanya melihat alam itu sudah cukup membuat dirinya ketakutan.
“Lepas sedar dari koma, saya jadi takut. Saya akui, sebelum kejadian itu, saya bukan seorang hambaNya yang baik. Solat pun tak buat. Tak ingat langsung pada Tuhan.
“Tapi sejak apa yang saya lihat semasa koma itu, ia membuatkan saya berubah. Tak tahulah itu alam kubur atau alam neraka, tapi ia betul-betul menginsafkan saya. Orang hendak percaya atau tidak, terserah. Tapi itulah peringatan Tuhan yang menyedarkan saya. Saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bertaubat semula,” cerita Rozi yang menganggap kejadian itu sebagai satu teguran Tuhan buat dirinya yang lalai.
0 Comments