Demi Anak Dalam Kandungan,Ramirez Toreh Perut Sendiri

Demi Anak Dalam Kandungan,Ramirez Toreh Perut Sendiri

 Kaum Hawa sekalian, cuba korang bayangkan begini…


Korang sedang sarat mengandung. Bila sampai masa nak bersalin, sanggup tak korang ambil pisau dan t0reh sendiri perut yang memboyot? Seluk tangan dan keluarkan bayi dalam rahim sendiri. Sanggup? Huh, bila bayangkan pun dah terasa pedih, ngilu…

Itu memang kerja gila. Tapi, perbuatan gila itulah yang pernah dilakukan seorang wanita Mexico bernama Ines Ramirez Perez.

Kisahnya begini…
Pada tengah malam bertarikh 5 Mac 2000, Ramirez yang hamil bersendirian di rumahnya di Rio Talea, Mexico. Ketika itu dia berasa sakit hendak bersalin. Suaminya tiada kerana keluar.

Rio Talea merupakan sebuah perkampungan yang dihuni lebih kurang 500 penduduk dan di desa ini cuma ada sebuah telefon awam. Nak guna perkhidmatan awam agak sukar kerana kedudukannya amat jauh dari kediaman Ramirez. Hendak ke klinik terdekat pula, jaraknya dalam 80 kilometer dan perlu melalui jalan yang teruk.

Ramirez tak mampu berbuat apa-apa. Dia cuba bertahan sambil menanti kalau si suami akan pulang. Tapi, setelah lebih 12 jam menahan sakit dan si suami belum juga pulang, Ramirez nekad dengan idea gilanya.

Wanita itu ke dapur mengambil sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter. Kemudian dia duduk di sebuah bangku kayu lalu meneguk tiga gelas kecil minuman keras. Dan... bermulalah episod kelahiran mengerikan ini.

Ramirez mula menyiat kulit perutnya menggunakan pisau tadi secara menegak di sebelah kanan pusat sedalam 17 sentimeter. Selepas sejam memotong kulit, lemak, dan otot, rahimnya mula kelihatan.

Ramirez kemudian menghiris rahimnya seakan memotong roti tortilla menyebabkan darah membuak keluar. Apabila rahim terbuka, Ramirez terus mencekup dan mengeluarkan bayinya. Dia kemudian memotong tali pusat bayi menggunakan gunting dan meletakkan anaknya di sisi.

Setelah itu, Ramirez masukkan semula organ dalamannya yang terkeluar tadi ke dalam perut sebaik mungkin. Tak lama kemudian, Ramirez pengsan tidak sedarkan diri. Bila dia terjaga semula, dia membungkus bahagian perutnya yang terbuka menggunakan baju.

Dengan sisa tenaga yang ada, dia menyuruh salah seorang anaknya yang berusia 8 tahun pergi mendapatkan bantuan. Beberapa jam kemudian, pembantu kesihatan desa tiba dan menemui Ramirez terbaring di lantai di samping bayinya yang masih hidup.

Melihat keadaan perut Ramirez terburai dengan bermandi darah, pembantu itu membuat jahitan sementara untuk menutup bukaan. Ramirez dan bayinya dikejarkan ke sebuah klinik menggunakan van untuk mendapatkan bantuan kecemasan yang jaraknya mengambil masa 2 setengah jam perjalanan.

Dari klinik itu pula, kedua beranak itu dipindahkan ke hospital San Pedro dengan ambulans. Pakar perubatan di hospital tersebut, Dr. Galvin yang menerima kes ini terkejut melihat keadaan Ramirez.

Dr. Galvin segera melakukan pembedahan kecemasan. Sepanjang 16 jam pembedahan dijalankan, antaranya proses laparotomi, membaiki uterus, ligasi tuba dan usus bagi melihat sebarang kecederaan. Dinding rahim dan perut ditutup dan dijahit berlapis-lapis.

Seminggu selepas dirawat di hospital, Ramirez menunjukkan perubahan positif. Malah, doktor juga kagum wanita ini tidak mengalami pendarahan dalaman dan keracunan darah. Saiz rahimnya juga kembali normal, luka pulih dan tidak menunjukkan tanda jangkitan. Bayi lelakinya yang diberi nama Orlando juga membesar sihat seperti kanak-kanak lain.

Ramirez diyakini satu-satunya individu yang diketahui telah melakukan pembedahan untuk bersalin sendiri. Kesnya telah direkodkan dalam ‘International Journal of Gynecology & Obstetrics’ untuk edisi bulan Mac 2004.

Apa yang buat Ramirez berani bertindak menoreh perutnya sendiri?

Ujar Ramirez, naluri keibuan yang mendesaknya bertindak gila begitu. Paling penting, dia tidak mahu sejarah lama berulang kembali.

Sebelum kelahiran mengerikan ini, Ramirez mempunyai 8 orang anak. Namun, bayi kelapannya meninggal dunia disebabkan air ketuban pecah dan dia tidak sempat ke hospital untuk bersalin. Disebabkan tidak mahu kehilangan anak lagi, Ramirez berusaha menyelamatkan Orlando, biarpun berdepan risiko nyawanya sendiri yang akan melayang.

Begitulah kasih seorang ibu...

sumber:Mastika

Post a Comment

0 Comments