LEGENDA CIK SITI JALANG YANG BERSUAMI 100 LELAKI
Disebut bahawa nama sebenar wanita ini ialah Siti Aminah. Kisah yang terjadi di Johor ini dikatakan berlaku pada abad ke-17. Apa ceritanya? Mengapa Siti Aminah yang digelar Cik Siti Jalang ini berkahwin sebegitu ramai?
Versi pertama kisah ini yang diceritakan turun temurun penduduk tempatan, wanita ini berasal dari sebuah negeri di pantai timur. Sejak kecil dia dipelihara oleh keluarga bangsawan Bugis di Kota Tinggi, Johor.
Disebut bahawa Siti Aminah ini cantik jelita orangnya. Sebab itu dia menjadi rebutan lelaki tidak kira bujang mahupun sudah berkahwin.
Ibu bapa angkatnya yang bimbang kesucian gadis ini dinodai oleh lelaki tidak bertanggungjawab telah mewariskan ilmu pendinding bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku ke atas Siti Aminah.
Setelah Siti Aminah meningkat dewasa, ramai lelaki menghantar rombongan merisik. Salah seorang daripadanya datang dari golongan keluarga berada telah berjaya menambat hati ibu bapa Siti Aminah, lalu mereka dinikahkan dalam majlis yang meriah.
Tetapi, pada malam pertama bergelar isteri, berlaku peristiwa yang tidak diduga apabila Siti Aminah telah diceraikan oleh suami pertamanya.
Dikatakan punca perceraian berlaku kerana pengantin lelaki tidak puas hati dengan malam pertamanya bersama Siti Aminah. Dakwa lelaki itu, isteri yang dinikahinya bukan seorang wanita sejati kerana gagal menemui sebarang petanda yang menjelaskan Siti Aminah adalah seorang wanita.
Selepas diceraikan dan memegang status janda, Siti Aminah tetap menjadi rebutan lelaki yang mahu memperisterikannya. Namun, perkara sama asyik berulang.
Setiap kali selepas bernikah, perkahwinan Siti Aminah pasti akan berakhir dengan perceraian. Begitulah seterusnya sehingga ke perkahwinannya yang ke-99, yang juga berakhir dengan perceraian.
Namun, apabila Siti Aminah berkahwin untuk yang ke 100 kali, nasib malang tidak lagi menimpanya. Perkahwinan itu kekal hingga ke akhir hayat.
Dikatakan suaminya yang ke 100 itu adalah seorang lelaki yang warak dan tinggi pegangan agamanya. Dikatakan suaminya yang terakhir itulah yang berjaya membuka ilmu pendinding nafsu yang diwarisi oleh keluarga angkat Siti Aminah.
Selain kisah ilmu pendinding ini, ada juga versi lain tentang kisah legenda Cik Siti Jalang ini. Versi ini mengatakan bahawa Siti Aminah bukan diceraikan tetapi disebabkan satu sumpahan yang tidak dapat dielakkan, sesiapa yang menjadi suami wanita ini akan menemui ajal pada malam pertama mereka kerana digigit kala jengking.
Dikatakan semasa hayatnya, Siti Aminah membuat permintaan terakhir pada ahli keluarganya agar jenazahnya nanti dikebumikan jauh dari kawasan kampung. Jenazah Siti Aminah dikebumikan di pinggir sungai Johor di Kampung Tembioh, Kota Tinggi, Johor.
0 Comments