Kelibat wanita bertinggung dalam kamera ikut sampai rumah

loading...
Loading...
Kelibat wanita bertinggung dalam kamera ikut sampai rumah
JIKA diperhatikan, kereta-kereta mewah selalunya mempunyai car reverse camera - iaitu satu kamera kecil dipasang pada bahagian belakang kereta dan skrin kecil berada di dashboard kereta.


Apabila hendak mengundurkan kereta, boleh dilihat pada paparan skrin tersebut.
Kereta-kereta mewah biasanya memang sudah siap dipasang car reverse camera ini. Namun untuk kereta-kereta sederhana ke bawah, pemilik boleh juga memasang peralatan kamera ini berasingan di kedai-kedai aksesori kereta.
Fungsi alat ini memang bagus. Memudahkan pemandu untuk nampak bahagian belakang kereta ketika mengundur tanpa perlu menoleh memandang belakang. Tetapi, mungkin juga boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini, seperti kejadian yang dialami oleh Farid.

Begini ceritanya...
Kejadian ini berlaku ketika saya baru membeli kereta Proton Wira, sebuah kereta terpakai. Walaupun hanya kereta terpakai, saya repair dan tambahkan aksesori kereta itu supaya cantik, nampak baru dan sedap dibawa.
Segala alat gantian saya tukar baru, cat pun baru dan macam-macam aksesori saya tambah. Salah satunya adalah car reverse camera. Rasa best bila pasang benda tu.
Apabila nak undur atau parking kereta, tak payah nak pusing kepala tengok belakang. Masuk gear reverse, pandang je paparan skrin pada dashboard. Senang, kan? Terasa macam bawa kereta orang kaya walaupun hanya kereta Wira terpakai saja.
Saya bekerja di sebuah syarikat di Pelabuhan Klang. Suatu malam, saya pulang lambat sebab banyak kerja yang harus disiapkan. Masa itu sudah dekat pukul 2 pagi, baru saya bergerak pulang ke rumah di Kapar.
Jalan raya memang lengang waktu itu. Sewaktu sampai di satu simpang tiga, saya berhenti kerana lampu merah. Ketika itulah entah dari mana arahnya, tiba-tiba melintas seorang wanita yang berjalan kaki di depan kereta saya.
Car reverse camera memudahkan pemandu ketika mengundurkan kereta.
Saya agak tersentak melihat wanita yang berpakaian gaun serba putih itu. Saya tidak begitu nampak wajahnya kerana terselindung di sebalik rambutnya yang panjang mengurai separas pinggang.
Saya tak tahu kenapa, tapi tiba-tiba saya rasa lain macam. Berdiri bulu roma bila melihat wanita itu melintas jalan, dan sekelip mata dia hilang di sebalik celahan pokok-pokok di seberang jalan. Siapa wanita itu? Apa dia buat pukul 2 pagi di kawasan ini?  Saya tertanya-tanya sendiri.
Selepas lampu bertukar hijau dan saya meneruskan perjalanan, persoalan wanita misteri itu terus bermain dalam kepala saya. Memang rasa pelik sangat. Ke mana wanita itu hendak pergi di waktu begitu seorang diri? Lagipun tiada kawasan perumahan ataupun pejabat di kawasan persimpangan lampu merah tadi.
Dalam pada berfikir tentang wanita misteri itu, akhirnya saya sampai di rumah. Saya tinggal di rumah jenis lot kampung yang mempunyai halaman luas.
Saya belok masuk ke halaman rumah. Saya pusingkan terlebih dahulu kereta sebelum mengundur. Di tepi rumah saya ada sebatang pohon mangga yang rendang. Di situlah tempat saya memarkir kereta.
Saya masukkan gear reverse. Saya tak perlu toleh belakang. Saya hanya pandang pada skrin monitor yang dipasang pada dashboard semasa kereta mengundur. Dan ketika saya memandang skrin itu, tiba-tiba saya nampak ada seseorang yang sedang bertinggung di belakang kereta.
Saya tersentak. Jantung terus berdenyut laju. Tadi masa mula-mula mahu mengundur, tidak ada apa pun yang kelihatan. Tiba-tiba saja muncul kelibat orang.
Saya tak berani hendak menjengukkan kepala keluar atau menoleh ke belakang. Saya perhatikan betul-betul pada skrin itu. Jelas, saya nampak kelibat seorang wanita berpakaian serba putih dan berambut panjang. Gayanya seolah-olah sedang mencangkung dengan kepalanya ditundukkan. Saya tak nampak wajahnya.
Saya dah mula takut. Tapi perlahan-lahan saya undurkan juga kereta. Anehnya, penggera kereta tidak berbunyi. Kalau betul ada sesuatu yang dekat dengan bonet belakang kereta, sudah tentu akan keluar bunyi amaran. Habis, siapa wanita itu?

Saya tersentak. Jantung terus berdenyut laju. Tadi masa mula-mula mahu mengundur, tidak ada apa pun yang kelihatan. Tiba-tiba saja muncul kelibat orang.

MOHD FARID

Saya nak teruskan mengundur, tapi saya mulai takut sebab kelibat wanita serba putih itu masih kelihatan dalam paparan skrin. Kalau dia bukan manusia sekalipun dan saya terus mengundur dan melanggarnya, saya risau nanti anak bini saya pula dikacaunya.
Saya berhenti, tidak jadi untuk teruskan mengundur. Kelibat wanita itu masih kelihatan, bagaikan sengaja menunggu apa yang ingin saya lakukan seterusnya. Saya mati akal.
Nak keluar dari kereta pun kaki terasa lemah. Memang saya menggigil ketakutan ketika itu. Yalah, siapa pula wanita yang muncul dalam waktu dinihari begitu. Bertinggung pula di belakang kereta. Dah tentu bukan manusia.
Saya pejam mata dan cuba baca apa saja ayat-ayat suci al-Quran yang terlintas dalam fikiran. Tapi bacaan semua berterabur. Saya tak mahu tunggu lama. Saya mahu cepat masuk ke dalam rumah.
Saya tak jadi untuk terus undurkan kereta. Biarlah kereta tetap di situ, tak masuk ke tempat sepatutnya. Pantas saya menolak gear pada kedudukan P (parking). Selalunya bila gear dialihkan ke bahagian lain selain reverse, paparan pada skrin akan hilang.
Tapi anehnya, walaupun saya sudah tetapkan kedudukan gear kereta pada P, paparan pada skrin tidak juga padam. Skrin masih menyala memperlihatkan kelibat wanita berbaju putih yang bertinggung itu.
Kali ini saya betul-betul panik. Saya terus tekan hon kereta bertalu-talu. Biarlah kalau jiran tetangga bangun sekalipun. Saya tak kisah. Saya terlalu takut dan tak dapat mengawal diri lagi. Tangan pun menggeletar ketika menekan hon.
Tak sampai seminit, lampu perkarangan luar rumah saya terpasang. Bini saya yang terjaga kerana mendengar bunyi hon kereta memasang lampu dan membuka pintu rumah.
Nampak saja bini buka pintu, saya terus meluru keluar kereta dan berlari masuk ke dalam rumah. Enjin kereta pun saya tak sempat matikan.
Bini saya terkejut melihat keadaan saya yang panik seperti dikejar perompak. Saya tak berani hendak ceritakan apa yang terjadi ketika itu kepada bini saya. Enjin kereta pun saya biarkan saja hidup. Sampai ke pagi, saya tak dapat lelapkan mata. Nak ke tandas dalam rumah pun saya rasa takut sangat.
Selepas Subuh, isteri saya yang keluar bagi mematikan enjin kereta. Pagi itu setelah hari cerah, barulah saya ceritakan apa yang berlaku kepada isteri. Kerana terkejut juga, saya demam tiga hari.
Isteri bawa saya berjumpa seorang pengamal perubatan Islam untuk pulihkan semangat saya. Kata perawat itu, ada sesuatu yang ikut saya pulang malam itu.
Lalu saya teringat dengan wanita aneh yang melintas jalan malam itu. Adakah ‘dia’ yang mengikut saya sampai ke rumah dan bertinggungg di belakang kereta?
Apa yang pasti, sejak kejadian itu saya tak mahu lagi menggunakan car reverse camera. Alat itu saya tanggalkan. Biarlah saya menoleh ke belakang untuk undurkan kereta. Pengalaman itu buat saya takut untuk memandang skrin monitor tersebut. Saya trauma.
*Pengalaman di atas diceritakan oleh Mohd Farid dari Kapar, Klang, Selangor kepada penulis. 

Post a Comment

0 Comments