JIKA anda orang luar dan melalui lebuh raya Kulim-Baling pada lewat malam, berhati-hati terutamanya jika nampak ada gerai makan di tepi jalan.
Jika lapar sekalipun, tahanlah dahulu. Kalau berhenti, mungkin anda sedang mengisi perut di warung yang tidak wujud pada mata kasar manusia.
Pernah berlaku beberapa tahun dahulu, sekumpulan pengkaji sejarah datang ke Baling, Kedah untuk melakukan kajian.
Setelah seharian menjalankan tugas, mereka pulang ke rumah penginapan yang disediakan, berdekatan dengan lebuh raya ini.
Sebelum itu salah seorang penduduk kampung yang mengiringi mereka pernah berpesan. Katanya: “Kalau hendak keluar makan malam, nanti belok ke kiri bila tiba di jalan raya. Jangan makan di jalan sebelah kanan,” begitu pesannya.
Awalnya, mereka menyangka tujuan penduduk itu memberitahu supaya mereka tidak tersesat jika keluar makan nanti.
Apabila malam, perut sudah berkeroncong, kumpulan pengkaji itu keluar dari rumah penginapan untuk makan malam.
Ketika mereka berada di tepi jalan, mereka menoleh ke kiri dan kanan lalu terpandang sebuah warung makan tidak jauh di sebelah kanan mereka.
Laluan dari arah Baling ke Sungai Petani berdekatan Kuala Pegang inilah dikatakan terdapat warung misteri pada waktu malam.
Kerana lapar, mereka terus berjalan ke arah warung itu. Mereka terlupa tentang pesan penduduk kampung sebelum itu.
Warung itu kosong, tiada pelanggan. Tapi, mereka tidak berasa aneh.
Maklumlah, kedai kampung di tepi lebuh raya pula, bukan setiap masa ada pelanggan.
Lagi bagus tak ada orang, bolehlah pesanan makanan mereka cepat sampai.
Mereka duduk dan memesan makanan. Memang tiada yang aneh pun. Warung makan itu biasa-biasa saja. Tidaklah begitu besar, sekadar cukup memuatkan beberapa buah meja untuk pelanggan duduk.
Pekerja yang mengambil pesanan mereka juga nampak biasa, tiada yang pelik. Cuma tak banyak bercakap saja.
Sudah makan dan perut kenyang, mereka membayar bil dan berjalan pulang semula ke rumah penginapan mereka. Malam itu mereka semua tidur lena.
Keesokan pagi setelah bersiap, mereka keluar untuk menyambung tugas di tapak kajian.
Sampai di hadapan jalan utama, mereka hairan apabila kawasan di sebelah kanan mereka kosong. Mana gerai tempat mereka makan semalam?
Penduduk setempat jarang kena. Sebab itu kalau ada orang luar datang bermalam ke sini, kadang-kadang kami pesan jangan berhenti kalau nampak warung di tepi jalan.
HAMZAH MURAD
PENDUDUK KAMPUNG
Mereka bertanya sesama sendiri dengan rasa hairan. Mereka yakin di situ mereka makan malam tadi.
Tapi kini kawasan itu kosong. Takkanlah pemilik warung semalam sudah membuka papan, tiang dan bumbungnya?
Tak masuk akal langsung. Kalau warung itu dirobohkan sekalipun, pasti ada kesannya. Ini tidak, kawasan itu berpasir lapang, bagai tiada sebarang binaan pernah wujud di situ.
Ketika bertemu semula dengan penduduk kampung yang berpesan kepada mereka sebelum itu, mereka bertanyakan tentang warung tersebut.
“Kan pakcik dah pesan, jangan pergi ke arah kanan. Kenapa kamu tak ikut pesan pakcik,” ujar penduduk tersebut.
Akhirnya baru mereka tahu kenapa. Dikatakan sebelum itu sudah beberapa kali berlaku orang luar yang lalu di situ waktu malam akan nampak sebuah warung dan singgah makan di situ.
Hakikatnya, penduduk setempat tahu tidak pernah wujud warung di tepi lebuh raya itu.
“Semasa jalan Kulim-Baling baru dibuka dulu, memang selalu dengar kisah warung misteri ni.
Hamzah Murad berkata, biasanya orang luar yang tidak biasa melalui kawasan Kuala Pegang akan ternampak warung misteri itu.
“Yang peliknya, selalu yang kena adalah orang luar yang lalu di situ pada waktu malam. Mereka nampak gerai tu, berhenti makan. Esok siang bila lalu semula, tak ada pun warung tu.
“Penduduk setempat jarang kena. Sebab itu kalau ada orang luar datang bermalam ke sini, kadang-kadang kami pesan jangan berhenti kalau nampak warung di tepi jalan tu.
“Kalau nak berhenti makan pun, tunggu betul-betul hingga sampai ke kawasan pekan atau kampung,” ujar Hamzah Murad, 50, salah seorang penduduk Baling yang tahu tentang kisah warung misteri itu.
Menurut Hamzah, jika dari arah Baling menuju ke Sungai Petani, pemandu akan melalui sebuah kawasan bernama Kuala Pegang.
Selain kilang getah, tepi jalan di kawasan itu hanya banyak hutan belukar. Selalunya di kawasan inilah gerai misteri itu muncul di tengah malam.
“Dulu memang dengar kisah gerai misteri itu. Tapi tak ada pula yang muntah atau jatuh sakit lepas makan di situ. Tak pastilah apa yang mereka makan sebenarnya.
“Semasa lebuh raya itu baru dibuka dulu, kisah ini memang selalu kedengaran. Tapi kini sudah jarang berlaku. Mungkin juga kerana sekarang sudah ramai yang melalui jalan tersebut.
“Kawasan sekitarnya juga sudah banyak berubah dengan wujudnya binaan baru seperti kilang. Berbeza dahulu, jalan itu sunyi dan agak menyeramkan juga waktu malam,” ujar Hamzah.
Hmmm... mungkin kerana persekitarannya sudah sibuk, warung misteri itu tidak muncul lagi. Atau mungkin ia sudah mendapat ‘lokasi’ baru yang lebih sunyi?
Apa-apa pun, sesiapa yang hendak melakui jalan ini perlu berhati-hati.
0 Comments