LELAKI yang menjumpai bayi perempuan yang masih bertali pusat di tepi jalan berhampiran Flat Sri Anugerah di Larkin, Johor Bahru pagi Rabu lalu berhasrat menjadikan bayi itu sebagai anak angkat.
Ahmad Fauzi Ismail, 28, berkata dia sudah ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk bertanyakan tentang proses pengambilan anak angkat.
"Saya pergi pejabat JKM sebab nak tanya proses nak jadikan bayi perempuan tu sebagai anak angkat. Saya dah ambil borang tapi tak sempat nak sediakan dokumen dikehendaki.
"Lagipun saya kena buat pemeriksaan kesihatan. Jika tak ada aral melintang saya akan hantar borang tersebut di pejabat JKM dekat bangunan KWSP Ahad ini," katanya kepada mStar.
Walaupun peluang untuk menjadikan bayi perempuan itu sebagai angkat agak tipis, bapa kepada seorang anak lelaki itu akan berusaha menghantar borang permohonannya.
Bayi perempuan yang masih bertali pusat diletakkan di dalam sebuah beg sebelum ditinggalkan di kawasan semak.
"Kakitangan JKM beritahu saya kena tengok pada urutan. Orang yang mohon ramai sangat. Lagipun kes ni dah viral jadi proses sedikit berbeza. Apa pun keputusannya saya kena terimalah.
"Buat masa ini saya akan cuba hantar permohonan dulu. Siapa tahu ada rezeki saya nanti. Saya cuba ikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Tapi saya tak naklah berharap sangat takut nanti kecewa," katanya.
Menurut mekanik berusia 28 tahun itu, dia terdetik mahu menjadikan bayi itu sebagai anak angkatnya kerana sudah lama menunggu kehadiran cahaya mata kedua.
Memang sedih waktu lastjumpa. Saya rasa macam saya pula bertanggungjawab. Kalau ikutkan hati memang tak bagi mereka ambil. Tapi kita ada undang-undang. Saya terpaksa buat report polis bimbang jika berlaku apa-apa ke atas bayi itu nanti saya pula yang kena.
AHMAD FAUZI ISMAIL
MEKANIK
"Sebenarnya saya memang lama dah nak ambil anak angkat tapi bila tengok baby tu hati saya kata saya betul-betul nak dia. Apatah lagi baby girl, comel pula tu lagi lah kita teringin.
"Lagipun saya dan isteri memang nak sangat baby cuma belum ada rezeki lagi. Isteri saya dah dua kali gugur dan saya ada anak lelaki seorang berusia dua tahun lapan bulan," katanya.
Menceritakan perasaannya apabila mendekati beg berisi bayi perempuan itu, Ahmad Fauzi berkata dia terkejut dan pada masa sama menggigil.
Ahmad Fauzi bersama isteri dan juga anaknya.
"Masa jumpa tu terkejut, tak tahu nak cakap macam mana perasaan tu. Menggigil jugalah sebab mula-mula tu tak percaya. Saya takut juga mana tahu ada ular sebab kawasan semak tu tebal memang tak nampak sangat bahagian dalam.
"Waktu buka beg memang betul ada baby dalam tu. Semua semut dah hurung dia. Keadaan baby tu dah kejung mungkin dah lama sangat menangis," katanya yang dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu oleh seorang wanita kira-kira pukul 10.30 pagi.
Jelas Ahmad Fauzi lagi, sebaik sahaja mencapai beg itu dia terus membawanya ke bengkelnya yang terletak di Jalan Sri Anugerah, Larkin.
"Kebetulan sebelah bengkel saya ada mini mart. Jadi saya beli susu dan apa yang patut. Saya dan staf lap-lap badan baby tu dan bagi dia minum susu.
"Lepas minum susu tu barulah nampak dia ada tindak balas dan ok sikit. Mungkin sebelum tu lapar agaknya sebab ditinggalkan semalaman," katanya.
Ahmad Fauzi turut terkilan dengan perbuatan ibu bapa bayi itu yang sanggup membuang anak kandung sendiri.
"Lepas bagi susu saya tengok muka baby tu... memang comel budaknya. Ada gaya macam kacukan peranakan. Masa tu timbul perasaan marah kenapalah mak ayah dia sanggup buang anak sendiri.
Bayi perempuan itu dipercayai ditinggalkan semalaman di dalam beg tersebut.
"Bila tengok dia bersungguh-sungguh hisap susu tu saya tiba-tiba jadi sebak. Mata dia nampak berair macam nampak dia sedihlah. Saya pun sebenarnya tak sanggup nak biarkan dia dibawa pergi ambulans.
"Memang sedih waktu last jumpa. Saya rasa macam saya pula bertanggungjawab. Kalau ikutkan hati memang tak bagi mereka ambil. Tapi kita ada undang-undang. Saya terpaksa buat report polis bimbang jika berlaku apa-apa ke atas bayi itu nanti saya pula yang kena," katanya.
Difahamkan bayi tersebut dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan susulan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
0 Comments