SEORANG awak-awak bot nelayan warga Myanmar menggantung diri dipercayai kecewa dengan isterinya berkahwin lain, dalam kejadian di tepi sungai Kompleks Perikanan Tok Bali di Pasir Puteh, tengah hari ini.
Lelaki berusia 29 tahun terbabit ditemui mati tergantung pada pokok oleh orang awam kira-kira 1 tengah hari sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, berkata sebelum kejadian, adik mangsa yang berusia 20-an memberitahu, mangsa sempat meluahkan perasaan dan kekecewaan pagi tadi.
“Adik mangsa memaklumkan, mangsa tidak dapat menerima berita isterinya yang berada di Myanmar sudah berkahwin lain dan berita itu dipercayai menjadi punca mangsa membunuh diri.
“Berdasarkan mayat mangsa, kami percaya mangsa mati pagi hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Mohd Azmir berkata, hasil maklumat mendapati, mangsa dan adiknya bekerja di Pelabuhan Tok Bali sejak beberapa tahun lalu sebagai nelayan negeri ini.
“Adik mangsa memberitahu dia dan abangnya tinggal di dalam bot kapal dan hanya singgah di pelabuhan bagi kerja menangkap dan menaikkan ikan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Aniis tindakan lanjut,” katanya.
0 Comments