AIR tenang jangan disangka tiada buaya. Demikianlah pepatah Melayu yang sering diungkapkan masyarakat dalam menggambarkan bahayanya sang bedal.
Namun berbeza bagi buaya di Kesang Laut, Tangkak Johor yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan manusia kerana perjanjian yang telah dibuat suatu ketika dahulu.
Kewujudan reptilia itu bukanlah ancaman berikutan buaya yang telah wujud sejak sekian lama di Sungai Kesang itu tidak pernah mengganggu penduduk.
Dikatakan terdapat kira-kira 100 ekor buaya di sungai itu dan sebahagian replitia tersebut dianggarkan berukuran sehingga 20 meter.
Awas! Papan tanda mengenai kewujudan habitat buaya di jeti dipasang bagi memberi peringatan kepada pengunjung di Sungai Kesang, Tangkak, Johor.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Sumber Perikanan Kesang, Rosman Selamat, 48, kewujudan sang rangkak itu tidak pernah menggusarkan nelayan setiap kali ke laut ekoran kelibat haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk.
“Sejak kecil lagi, kami memang mengetahui kewujudan buaya di sungai ini. Jadi apabila dewasa dan menjadi nelayan, ia seolah-olah menjadi sebati dalam kehidupan kami.
“Malah, kami tidak pernah mendengar ada penduduk dibaham buaya. Buaya ini dah macam rakan kami. Berpuluh tahun kami bekerja, kelibatnya mesti muncul, namun dia tidak memberi ancaman.
Jambatan yang menghubungkan antara Kesang, Tangkak dan Merlimau, Melaka sering menjadi tempat buaya berehat.
Menurut cerita lama, nelayan terdahulu pernah membuat perjanjian dengan buaya iaitu mereka akan melepaskan anak buaya yang tersangkut dijaring.
Jadi buaya dewasa tidak akan ganggu nelayan menangkap ikan. Itu juga yang selalu saya pesan kepada nelayan agar melepaskab anak buaya yang tersangkut di jaring,” katanya kepada mStar ketika ditemui di Jeti Pengkalan Kesang Laut baru-baru ini.
Seakan-akan menghormati nelayan yang hendak ke laut ujar Rosman, buaya di kawasan itu akan melarikan diri sebaik terdengar bunyi enjin bot.
Menurut cerita lama, nelayan terdahulu pernah membuat perjanjian dengan buaya iaitu mereka akan melepaskan anak buaya yang tersangkut dijaring.
ROSMAN SELAMAT
“Kami juga tidak gerun setiap kali hendak pasang pukat kerana buaya ini tidak akan menghampiri kami.
“Sebaik mendengar bunyi bot, dia lantas menghilangkan diri dan pergi ke tempat lain. Kelibatnya hanya akan timbul apabila kami mematikan enjin, namun buaya itu tidak datang dekat,” jelasnya.
Namun itu adalah fenomena kira-kira empat tahun lalu. Kini semuanya telah berubah.
Tapak kaki buaya yang dapat dilihat dari kawasan persisiran Sungai Kesang, Tangkak bersempadan dengan Merlimau Melaka.
Akhir-akhir ini, katanya, buaya-buaya terbabit seolah-olah berubah 'sikap' selepas habitat lamanya di hulu Sungai Kesang telah musnah selepas kawasan tersebut terlibat dengan projek pengairan.
“Kalau dulu habitat mereka berada di hulu sungai ini dan kami mudah nampak kelibatnya di kawasan tersebut. Malah, kami juga pernah jumpa berpuluh-puluh biji telur buaya di kawasan berkenaan.
“Kini tidak lagi selepas habitat itu musnah empat tahun lalu menyebabkan kelibat buaya hanya dapat dilihat pada masa tertentu iaitu ketika berenang atau mencari makan. Tempat tinggal baharunya kini tidak lagi kami ketahui,” katanya.
Spesis buaya yang kelihatan sebelum ia hilang sebaik menyedari aksinya dirakam.
Keadaan itu ujar Rosman, menimbulkan kebimbangan kepada nelayan apabila reptilia terbabit kini sering berlegar hingga berdekatan dengan jeti akibat lupusnya habitat mereka.
“Kalau dulu buaya ini berenang di kawasan tengah sungai antara sempadan Kesang dan Merlimau, Melaka.
“Kini sejak habitatnya musnah, sang bedal ini berenang hingga ke kawasan jeti dan ia membimbangkan nelayan kerana ada antara kami yang akan turun ke tepi sungai untuk membasuh bot pada waktu petang,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan nelayan terjamin, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang papan tanda peringatan kewujudan buaya kepada orang awam termasuk pengunjung yang gemar beriadah di jeti berkenaan.
Rosman menunjukkan pesisiran Jeti Pengkalan Nelayan Kesang Laut yang kini mulai didatangi buaya selepas habitat mereka musnah akibat projek pengairan pada 2015.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tangkak, Abdul Alim Abd. Shukor berkata, setakat ini, tiada lagi kes penduduk atau pengunjung luar menjadi mangsa sang bedal itu.
“Haiwan ini tidak akan mengganas jika cukup makan dan mungkin kerana itu, buaya ini tidak pernah menganggu manusia.
“Keunikan fenomena ini sebenarnya boleh mendorong kaum nelayan menambah pendapatan jika mereka menyediakan perkhidmatan membawa penumpang menaiki bot.
“Selain keunikan buaya di kawasan itu, pengunjung juga boleh didedahkan dengan aktiviti penangkapan kupang di sungai berhampiran. Saya percaya seandainya aktiviti ini dilakukan secara serius, ia pasti membawa hasil lumayan,” ujarnya.
Beliau turut menasihati pengunjung agar sentiasa menjaga kebersihan sungai dan tidak menganggu buaya-buaya berkenaan.
0 Comments