Uri tersebut diletakkan di sebelah bayi yang diletakkan dengan hanya beralaskan kain batik tanpa memakai baju.
SELEPAS pendedahan demi pendedahan mengenai doula atau peneman semasa bersalin yang menggemparkan negara, seorang pemilik spa terpanggil untuk berkongsi pengalaman berurusan dengan beberapa pelanggannya yang bersalin di rumah menggunakan khidmat doula.
Pengasas Ashrisz Spa, Suryani Zakaria menceritakan kisah pelik beberapa pelanggannya yang menempah pakej berpantang tradisi Melayu kerana tidak mahu orang lain terpengaruh dengan dakyah songsang kumpulan doula di negara ini.
Menurut wanita yang menetap di Kajang, Selangor ini, dia terkedu apabila menerima gambar daripada suami kepada salah seorang pelanggannya mengenai keadaan bayi mereka yang kelahirannya disambut doula.
"Biasanya saya selalu keep in touch dengan klien, bertanya-tanya dan berbual-bual. Saya sempat bertanya mengenai keadaan isteri dan bayinya. Dia beritahu isterinya bersalin di rumah.
"Saya tak cakap apa-apa cuma dengar apa dia kata sebab itu pilihan dia. Tapi saya terkedu apabila lihat gambar yang dihantar (bapa) keadaan bayinya masih bertali pusat belum dipotong dari uri. Hampir 10 tahun saya berniaga ini kali pertama saya melihat kes seperti itu.
"Uri itu pula dibiarkan kering di sebelah bayi yang tak dipakaikan baju atas alasan tali pusat lebih cepat tanggal dan tak perlu tinggalkan sisa tali pusat kemudian tanam semua sekali dengan uri," katanya kepada mStar Online.
Jelas Suryani atau lebih mesra disapa Kak Su, dia turut dimaklumkan oleh kakitangannya yang juga tukang urut atau dikenali ahli terapi mengenai keadaan bayi tersebut yang tidak berhenti menangis semasa sedang mengurut ibu yang baru bersalin itu.
Kak Su berkongsi pengalaman berurusan dengan pelanggan yang bersalin menggunakan khidmat doula dirumah. Foto ihsan Suryani Zakaria.
"Ahli terapi saya beritahu baby tu menangis tak berhenti mungkin perut kembung disebabkan tak berbaju. Namun ibunya istilahkan bayinya sihat kerana pada tanggapannya bayi sakit takkan menangis.
"Bukan itu sahaja, bayi tersebut turut dibiarkan tidur dalam keadaan meniarap sepanjang hari dengan hanya beralaskan kain batik.
"Uri pula berada di sebelah bayi tidak ditanam selagi belum tertanggal tali pusat, kering dan berbau. Mereka percaya bayi perlu ditemani uri yang juga 'kembarnya' sehingga bayi menyusu dengan baik," katanya.
Suryani turut memberitahu dia dimaklumkan ahli terapinya mengenai wanita tersebut yang menunjukkan simptom meroyan.
"Dia ketawa dan senyum seorang ketika diurut. Lebih menakutkan dia siap tenung ahli terapi saya. Namun si suami tak bawa isterinya pergi hospital kerana disangka itu adalah perkara normal.
"Ini kerana doula melarang si ibu mengikut sebarang amalan yang diajar ahli terapi kerana mendakwa dirinya lebih terlatih dan berpengetahuan mengenai hal berkaitan ibu sebelum dan selepas bersalin," katanya.
Dalam pada itu, Suryani turut mendedahkan mengenai keadaan seorang lagi pelanggannya yang terbaring lemah selepas bersalin menggunakan khidmat doula.
"Si suami call last minute minta urutan segera sebab isteri dia bersalin kat rumah. Saya hanya terfikir mungkin tak sempat pergi hospital, tapi kerana kasihan saya aturkan ahli terapi yang berpengalaman.
"Sebaik sampai di rumah pelanggan, ahli terapi lihat ibu terbaring lemah bersalin hari kelima. Kebiasaannya hari kelima ibu dah kuat untuk duduk tapi si ibu tak boleh duduk sebab dia kata sakit.
"Bila pegang nak urut, si ibu cakap tak tahan, pegang sikit pun dah sakit. Badan dia lemah, luka koyak sampai ke punggung dan tak ambil sebarang ubatan," katanya.
Gambar hiasan.
Suryani berkata ahli terapinya turut terkejut selepas dimaklumkan proses bersalin wanita tersebut.
"Terpinga-pinga ahli terapi saya bila si ibu beritahu bersalin di rumah dengan kaedah nature birthkedudukan ala 'doggy style'. Ahli terapi siap tanya dekat saya ada ke bersalin cara macam tu.
"Masa buat rawatan si ibu tak bersedia dan tak nak diurut walaupun sedang mengalami rengat (sakit selepas bersalin umpama senggugut) atau disebut doula sebagai 'surges'. Doula dah pesan nanti akan baik sendiri secara fitrah dan tak perlu buat apa-apa.
"Si suami pula tak kata apa-apa hanya menurut kehendak isterinya. Jadi ahli terapi sempat urut sekali tapi itupun tak boleh urut badan dia sebab terlalu lemah," katanya.
Namun Suryani terkilan walaupun doula tidak berada di rumah wanita itu semasa sedang sakit selepas bersalin, tetapi ajarannya (doula) masih diikuti.
"Doula tak ada masa ahli terapi datang tapi ajaran yang diberikan mereka diguna pakai pelanggan.
"Tugas doula mengajar, ya betul... penerimaan si ibu tanpa dipaksa pun. Macam mana tu? Sebab tu doula tanya salah doula ke," katanya.
Dalam pada itu, Suryani turut pelik kerana mereka yang bersalin menggunakan khidmat doula bukan dalam kalangan orang susah.
Seorang doula sedang memberi penerangan kepada kliennya. Foto ihsan Noor Inora Puteri.
"Saya pun tak faham kenapa bersalin kat hospital tu tak natural. Mereka yang bersalin guna doula ni rumah yang kami pergi semua tahap orang cerdik pandai... gaji mahal.
"Macam mana ya mereka boleh guna khidmat doula? Sebab doula ini bukan calang-calang orang juga. Biasanya cerdik pandai nak banding kami yang tukang urut ini," katanya.
0 Comments