LALUAN arah utara dari Slim River ke Sungkai ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan kebakaran sebuah lori tangki minyak di KM372 Lebuhraya Utara-Selatan pagi Sabtu.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang mahu ke utara dinasihati menggunakan laluan alternatif sebelum sampai ke Slim River.
Jurucakap PLUS ketika dihubungi Bernama berkata kemalangan berlaku pada pukul 8.50 pagi kira-kira 50 meter selepas Plaza Tol Slim River, melibatkan dua buah lori.
Sebuah lori terbabit turut melintangi lebuh raya dua lorong itu, katanya.
Pemandu lori tangki minyak tersebut dipercayai rentung.
Sementara itu, berdasarkan sebuah video yang dikongsi netizen di Facebook memaparkan kejadian seorang individu dipercayai pemandu lori tersebut terbakar hidup-hidup.
Kelibat individu terbakar itu dirakam sedang terbaring di atas lebuh raya dalam keadaan masih lagi bernyawa.
Mangsa seolah-olah cuba memadamkan api pada badannya manakala api pada lori tangki minyak itu terus marak.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak dalam satu kenyataan mengesahkan seorang pemandu lori maut dalam nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan barang-barang runcit dengan lori tangki minyak.
“Setibanya jentera kami di tempat kejadian, didapati dua lori terlibat dalam kemalangan dan terbakar serta terdapat seorang mangsa maut.
“Maklumat mangsa, bangsa, agama tidak dapat dikenal pasti, kami akan kemas kini selepas mendapat info terkini,” katanya.
Operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan ringkas berkata dipercayai lori tangki telah melanggar belakang lori membawa muatan barang runcit itu di lorong kecemasan lalu terbakar serta menyebabkan seorang maut.
0 Comments