GARA-gara menghasilkan video mengenai makanan tradisi Brunei dengan menggambarkan ia ‘seperti kahak’, seorang Instafamous yang sebelum ini tular kerana sering membuat kejutan terhadap pasangannya teruk dikecam.
Ia turut membangkitkan kemarahan orang ramai kerana makanan yang dinamakan ‘ambuyat’ itu juga sangat sinonim dengan masyarakat di Sabah dan Sarawak termasuk Labuan.
Ambuyat sejenis makanan tradisional bagi kaum Brunei dan Bisaya, malah hidangan yang diperbuat daripada sagu rumbia ini turut dijadikan sajian utama selepas nasi.
“Ambuyat challenge (cabaran). Ini ambuyat... macam telan kahak,” kata Hafiz Mahamad menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada Isnin.
Reaksi Aina selepas memakan ambuyat.
Video yang tular itu menunjukkan isteri Hafiz, Nursyafiqah Aina Abdul Wahab dicabar memakan ambuyat tetapi mengalami kesukaran untuk menelannya kerana saiz makanan itu terlalu besar, dan segelintir netizen melihat seolah-olah isterinya itu geli memakannya.
Hafiz, yang merupakan seorang usahawan memberitahu dia tiada niat untuk menghina makanan tradisi, mahupun mana-mana kaum dan bangsa.
Sebaliknya, pemuda berusia 25 tahun itu membuat video tersebut bagi memperkenalkan makanan tradisi Brunei kepada masyarakat secara umumnya.
“Saya tak kata ambuyat tu macam kahak, tapi sebenarnya saya minta Aina untuk makan ambuyat tu seperti menelan kahak.
“Ambuyat yang dia makan masa tu agak besar jadi sukar untuk masuk ke dalam mulut. Kalau siapa yang tengok video tu, Aina kemudian makan ambuyat yang bersaiz lebih kecil,” katanya kepada mStar Online.
Hafiz dan Aina. Foto Instagram hafizmahamad
Hafiz turut menafikan tanggapan netizen mengenai tindakannya itu seolah-olah mahu memaksa isterinya yang sedang hamil trimester kedua makan.
Menurutnya, ia bukan kali pertama isterinya makan sajian tersebut kerana dia telah menikmatinya bersama ikan pada tahun lalu.
“Reaksi Aina di dalam video tu bukan sebab geli tetapi sebab ia besar sangat. Lagipun kali ini Aina makan bersama tempoyak.
“Aina pula tak biasa makan tempoyak jadi dia sukar untuk makan ambuyat walaupun ia bersaiz kecil,” katanya sambil menambah mereka menikmati sajian itu di sebuah restoran di Brunei sewaktu kunjungan mereka selama dua hari di negara jiran itu untuk pelancaran produk.
Ambuyat (warna putih) merupakan makanan tradisi Brunei, yang turut dinikmati masyarakat Sabah, Sarawak dan Labuan. Foto SIA HONG KIAU
Hafiz bagaimanapun tidak menyalahkan seratus-peratus mereka yang mengecamnya kerana setiap perkongsian di laman sosial akan memberikan pelbagai pandangan dan pendapat yang berbeza.
Mengenai video tersebut, dia menjelaskan bahawa ia dirakamkan bagi melihat reaksi isterinya merasai makanan tradisi itu kerana selama ini laman sosialnya lebih banyak berkongsi momen-momen mereka sebagai suami isteri.
“Kalau ada yang salah faham daripada video tersebut, saya minta maaf. Saya tiada niat untuk menghina makanan tradisi itu, sebaliknya mahu memperkenalkannya kepada orang ramai.
“Bila kita posting memang macam-macam pendapat orang. Tapi kalau orang nak kecam saya, masih lagi boleh terima tapi jangan membabitkan Aina isteri saya, keluarga saya termasuk anak yang dikandung Aina,” ujar Hafiz.
0 Comments