Berikutan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak meminta rakyat supaya menghormati institusi raja berpelembagaan di negara ini.
Ini termasuklah tidak mempertikaikan keputusan Sultan Muhammad V untuk tidak menghebah-hebahkan perkahwinan baginda di khalayak ramai.
"Sesungguhnya perkahwinan itu adalah jodoh dan rahsia ketentuan Allah, maka siapalah patik sekalian untuk mempertikaikan jodoh tuanku.
"Patik sekalian mendoakan perkahwinan ini bahagia hingga ke anak cucu," katanya dalam satu kenyataan.
Sultan Muhammad V bercuti sejak Nov lalu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan yang berakhir 31 Dis lalu.
Pada bulan yang sama, tular gambar perkahwinan baginda dengan bekas ratu cantik Rusia, Oksana Voevodina di media sosial.
Berita perkahwinan itu juga mendapat liputan pelbagai media antarabangsa.
Setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak istana, walaupun Sultan Muhammad V telah kembali ke Kelantan.
Persepsi negatif
Menurut Farhash, kebelakangan ini wujud pihak tertentu cuba mewujudkan persepsi negatif mengenai institusi diraja melalui media sosial.
"Namun tuanku tidak pernah menyuarakan kemurkaan kepada rakyat Malaysia.
"Patik sekalian akan sentiasa mengingati titah baginda ketika sesi pembukaan dewan rakyat di mana semua ahli parlimen diminta duduk dan jangan lari sebagai gurauan bagi meredakan situasi yang tegang selepas PRU14.
"Patik menjunjung kasih di atas keputusan untuk mempercepatkan proses pengampunan kepada Anwar Ibrahim dan membebaskan beliau serta mereka di bawah perkara 42(1) perlembagaan persekutuan.
"Inilah sifat tuanku yang harus diteladani semua pemimpin supaya tidak melengahkan sesuatu yang baik hanya kerana zahir ia boleh wujud fitnah," katanya yang menyifatkan baginda sebagai raja berjiwa rakyat.
Sultan Muhammad V ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016, menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Kedah.
Peletakan jawatan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara semalam.
0 Comments