Nak lulus atau gagal... Pensyarah KUPTM 'pow' pelajar!

Nak lulus atau gagal... Pensyarah KUPTM 'pow' pelajar!

Nak lulus atau gagal... Pensyarah KUPTM 'pow' pelajar!

KECOH di media sosial apabila pelayar Twitter mendakwa seorang pensyarah wanita sebuah kolej swasta memeras ugut pelajar jika ingin lulus dalam peperiksaan.
Menurut posting bekas pelajar kolej tersebut, dia mendakwa pensyarah terbabit sudah beberapa kali meminjam wang daripada pelajar dan liat untuk membayarnya semula.
Bekas pelajar tersebut turut mendakwa lebih 10 mahasiswa diugut untuk memberikan wang sehingga ada yang mencecah RM500 dengan alasan pihak hal ehwal pelajar (HEP) yang meminta wang tersebut daripada pensyarah itu.
Tangkapan skrin perbualan antara salah seorang mangsa dengan pensyarah tersebut menunjukkan pelajar itu sanggup menyerahkan barangan kemasnya kepada tenaga pengajar yang terdesak ingin menggunakan wang itu.
Pelajar tidak mempunyai pilihan selain memberikan wang yang dipinta atau mendapat markah peperiksaan rendah atau gagal.
Tindakan tidak bermaruah pensyarah wanita itu telah mencalarkan nama baik kolej Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM).
Tambah parah, pihak pengurusan didakwa tidak mengendahkan aduan yang dibuat pelajar sehingga dia terpaksa memilih jalan untuk mendedahkannya di Twitter.
Bagaimanapun, posting tersebut sudah dipadam oleh pemilik akaun Twitter berkenaan selepas ia dimuat naik pada Khamis lalu.
Posting yang sudah dipadam oleh bekas pelajar tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KUPTM, Nordin Ahmad berkata, tindakan tegas telah diambil ke atas pensyarah terbabit dengan menerima peletakan jawatannya serta-merta sebaik kes tersebut dipanjangkan ke pihak pengurusan.
"KUPTM melahirkan rasa sedih dan kesal atas isu pensyarah kolej di Kuala Lumpur yang meminta duit pelajar untuk lulus peperiksaan.
"Pihak kolej telah melakukan siasatan terhadap pensyarah tersebut dan tindakan tegas telah diambil," katanya selepas dihubungi mStar Online pada Sabtu.
Jelas Nordin, pensyarah terbabit turut membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan perbuatan tersebut.
KUPTM mengambil tindakan tegas serta-merta ke atas pensyarah terbabit. - Foto KUPTM
Susulan itu, laporan polis telah dibuat bagi memastikan kes disiasat secara terperinci dan KUPTM sedia memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kes berkenaan dapat diselesaikan.
"KUPTM juga sedang mengambil tindakan untuk memastikan pelajar yang menjadi mangsa terbela.
"Langkah pencegahan juga akan diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments