“KALAU 20 TAHUN DULU SAYA BERKAHWIN…..” – EBBY YUS

“KALAU 20 TAHUN DULU SAYA BERKAHWIN…..” – EBBY YUS

“KALAU 20 TAHUN DULU SAYA BERKAHWIN…..” – EBBY YUS

Pelakon dan pelawak Ebby Yus, 54, sebelum ini memberitahu mengenai keadaan dirinya selepas disahkan mengalami kebocoran pada buah pinggang dan berada pada tahap tiga sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid yang masih hidup solo tidak mahu bergantung harap dan susahkan keluarga kerana memahami keadaan mereka juga turut mempunyai komitmen lain.

“Kalau 20 tahun dulu saya berkahwin, sekurang-kurangnya sekarang ada yang jaga dan uruskan makan serta pakai saya terutama apabila sakit.

“Namun, saya anggap ini adalah takdir dan ketentuan Allah SWT. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana masih ada adik-beradik yang sentiasa bantu dan berikan sokongan moral.
“Sejak saya sakit, adik-beradik suruh duduk dengan mereka. Tapi, saya menolak sebab faham mereka juga ada keluarga dan komitmen lain.

Klik untuk gambar besar

“Saya tak nak bergantung harap sepenuhnya dengan mereka. Walaupun sebenarnya mereka okey, tapi takkan saya nak jadi macam ‘raja’ di rumah. Jadi tak manis pula. Malah, adik perempuan sudah siapkan bilik untuk saya tinggal dengannya.

“Cuma, saya sudah terbiasa duduk bujang sejak bertahun lamanya. Di rumah ini saya tinggal dengan rakan dan ada adik bongsu datang teman. Adik-beradik lain berulang-alik datang melawat,” katanya.

Dalam masa sama, Ebby yang ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur, hari ini, meluahkan rasa syukur apabila dibawa untuk menunaikan ibadat umrah pada 28 Januari ini.
“Saya terharu apabila seorang rakan nak bawa saya ke Tanah Suci Makkah. Kalau ikutkan dari November lalu lagi, tetapi ditunda sebab keadaan cuaca yang sejuk. Saya pula tak boleh terlalu sejuk.

“Sejujurnya, lima sen pun saya tak ada nak pergi ke sana. Rezeki Allah, saya dapat tawaran kerja bagi menggantikan Bell Ngasri dalam sebuah program untuk dua episod. Jadi, ada juga duit poket dan bekalan ke sana.

“Dalam masa sama, rakan belikan kain ihram, tali pinggang, jubah dan macam-macam lagi. Malah siap pelawa kalau ada barang keperluan yang tak lengkap mereka nak belikan.

“Adik-beradik dan anak saudara juga bantu. Malah, turut mengadakan majlis kesyukuran untuk saya. Alhamdulillah, Allah permudahkan untuk saya,” ujarnya.
Ebby yang juga pelakon sitkom ‘Jenaka Kampung Kalut’ (JKK) di TV3 berkata, itu adalah kali pertama dia akan mengerjakan ibadat umrah.

“Walaupun keadaan kesihatan belum okey, tetapi saya tawakal saja. Saya berdoa semoga segalanya dipermudahkan dan dapat mengerjakan ibadat umrah dengan lancar.

“Paling penting, saya nak ada perubahan ke arah yang lebih baik dalam diri. Saya tak nak orang nampak sama saja. Dari segi kesihatan, saya hanya mampu berdoa.

“Jika Allah takdirkan sembuh, saya sangat bersyukur. Sebaliknya, saya akan terus berdoa dan reda. Lagi pula doktor sudah maklumkan, sakit buah pinggang saya ini susah nak sembuh lagi,” tuturnya.

Selain penyakit pinggang tahap tiga, Ebby juga disahkan menghidap jantung lemah, diabetes, darah tinggi, gastrik, masalah saraf dan prostat.

Post a Comment

0 Comments