Pakaian Muhammad Adib ketika operasi terakhir pada malam kejadian masih tergantung di rak pakaian di balai

Pakaian Muhammad Adib ketika operasi terakhir pada malam kejadian masih tergantung di rak pakaian di balai

Pakaian Muhammad Adib ketika operasi terakhir pada malam kejadian masih tergantung di suatu sudut rak pakaian di balai:


SUBANG JAYA: Nombor ‘17476′ pasti akan menjadi kenangan kepada rakan-rakan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia, malam Isnin.


Nombor berkenaan merupakan nombor badan (nombor anggota) Muhammad Adib yang mesra dengan panggilan ‘Mat Dib’ dalam kalangan rakan setugas sepanjang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pemergian Muhammad Adib, 24, setelah 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) akibat cedera parah dipercayai diserang sekumpulan perusuh dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor bulan lepas, diratapi rakyat Malaysia khususnya anggota keluarga dan rakan-rakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Rakan setugasnya, Mohd Khairul Hafiz Mansor, 25, berkata Allahyarham terkenal dengan sikapnya yang sentiasa murah dengan senyuman dan tidak pernah berkira ketika menjalankan tugas.

“Allahyarham jenis pendiam, tetapi bila dia (Muhammad Adib) sudah kenal, pasti semua orang senang dengan perangai dia kami dah anggap dia macam adik kami sendiri.

“Sehingga sekarang senyuman manis dia ketika berada di balai ini sentiasa dalam ingatan semua rakan,” katanya ketika ditemui Bernama di BPP Subang Jaya, Selasa.

Lebih memilukan, ketika tinjauan Bernama di BPP itu kelihatan pakaian rintangan api milik Muhammad Adib masih tergantung di suatu sudut rak pakaian di balai berkenaan.

Pakaian lusuh berwarna jingga itu merupakan antara pakaian dibawa bersama Muhammad Adib ketika operasi terakhir Allahyarham pada malam kejadian.

Mohd Khairul Hafiz berkata walaupun Allahyarham sudah tiada, kenangan sepanjang bertugas bersama akan kekal terpahat dalam diri setiap anggota di balai itu.

“Allahyarham telah meninggalkan kita semua, namun semangat juangnya yang tidak pernah putus asa akan dijadikan suntikan baharu buat kami untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya sambil memegang pakaian operasi Allahyarham.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah, kira-kira 1.45 tengah hari Selasa. – BERNAMA



                                  khairul.ashx?w=830&h=553&crop=1


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Tabung Wira Merah untuk waris Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi.

JBPM dalam kenyataan berkata orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui cek, Electronic Fund Transfer (EFT) dan tunai.

“Sumbangan boleh disalurkan di atas nama akaun bank Akauntan Negara Malaysia – KPKT – T di nombor akaun 16010000876715 di Bank Muamalat Malaysia Berhad,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat JBPM Siti Rohani Nadir di talian 013-2488994 atau 03-88927652 untuk sebarang pertanyaan.

JBPM mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan dan penghormatan yang diberikan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam semalam, selepas cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.



                         45563427615783c70f130faec5440ebe.jpeg


— Bernama

Post a Comment

0 Comments