Beliau merupakan ayah kepada Putera William dan Putera Harry serta bakal pewaris takhta kerajaan British menggantikan Ratu Elizabeth.
Namun, belumpun diangkat menjadi Raja, Putera Charles yang kini berusia 69 tahun sebenarnya sudah lama mempunyai perangai seperti seorang raja di istana.
Dalam sebuah dokumentari baru Amazon Prime iaitu "Serving the Royals: Inside the Firm," putera raja itu dilaporkan hidup bersenang-lenang dan terlalu dimanjakan di Clarence House sehingga para pekerja istana menggelarnya "putera manja."
Bekas butler Puteri Diana, Paul Burrell mengatakan yang beliau telah dibesarkan dalam kehidupan serba mewah, sehingga segala-galanya disediakan untuk Putera Charles dan tidak mempunyai pilihan atau pendapat peribadi seperti orang kebanyakan yang lain.
Baju tidurnya perlu digosok rapi setiap pagi, tali kasutnya juga perlu digosok sehingga leper, penutup tab mandi perlu berada pada kedudukan yang khusus dan suhu air juga perlu berada dalam keadaan suam.
Pembantu valet Charles juga perlu memicit ubat gigi sepanjang satu inci di atas berus giginya setiap hari.
Malah, menurut Paul, pernah terjadi suatu peristiwa apabila Charles membuat panggilan kepadanya dari perpustakaan. Charles memberitahu yang sepucuk surat dari Ratu Elizabeth telah terjatuh ke dalam bakul sampah di tepinya dan meminta Paul datang segera untuk mengutip surat itu semula.
Bawa bilik tidur
Sementara itu, buku "Rebel Prince, The Power, Passion and Defiance of Prince Charles" yang ditulis oleh Tom Bowers baru sahaja dikeluarkan pada bulan Mac 2018. Penulisan yang terhasil daripada temu bual dengan lebih 120 orang berbeza ini juga ada memberikan gambaran tentang permintaan-permintaan luar biasa daripada putera raja itu.
Buku itu mendedahkan kisah bagaimana Putera Charles ingin menghadiri jamuan makan malam di rumah rakannya yang terletak di Timur Laut England. Tuan rumah dimaklumkan lebih awal bahawa seorang pembantu akan tiba dengan sebuah trak untuk menghantar barang-barang khusus untuk kegunaan Putera Charles. Barangan yang dibawa adalah seperti set lengkap bilik tidur Charles dan Camilla, termasuklah katil ortopedik dan linen tempat tidur sendiri.
Selain itu, pekerjanya juga membawa sebuah radio kecil, beberapa gulung tisu tandas jenama Kleenex Premium Comfort, wiski Laphroaig, beberapa botol air minuman dan dua landskap Pergunungan Scotland. Putera Charles juga dilaporkan akan sentiasa membawa tempat duduk tandasnya sendiri ke mana sahaja beliau pergi dan akan menukar pakaian sehingga lima kali sehari.
Pertemuan dengan media
Pada tahun 2015, satu laporan mendakwa yang putera raja British ini hanya akan bersetuju untuk bertemu dengan pihak media sekiranya mereka menandatangani sebuah kontrak setebal 15 muka surat.
Antara klausa yang terdapat dalam kontrak tersebut adalah hak milik mutlak pihak istana untuk mengedit bahan media dan sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kandungan, mereka berhak untuk menghalangnya daripada disiarkan atau dihebahkan.
Satu pendedahan yang agak baru juga menceritakan bagaimana proses panjang menyeterika sehelai kain cadar bersaiz bujang sahaja bagi keluarga diraja ini memakan masa sehingga 60 minit dan kain cadar ini tidak boleh mempunyai sebarang kesan kedutan selepas digosok.
Pendedahan itu dibuat melalui satu segmen dalam dokumentari "Queen of the World" yang memaparkan bagaimana proses untuk memastikan linen tempat tidur Putera Charles dan Camilla berada dalam keadaan cantik sempurna bagi perjalanan mereka ke Kanada di mana mereka menginap di Rideau Hall di Ottawa, iaitu kediaman rasmi bagi jeneral gabenor negara itu.
Menurut ketua pengurusan kediaman itu, Christine MacIntyre, terdapat cadar istimewa yang khusus hanya boleh digunakan oleh ahli keluarga diraja dan ia disimpan rapi serta hanya dibawa keluar apabila mereka berada di situ sahaja. Setiap helai cadar mengambil masa lebih satu jam untuk diseterika.
Selepas menempuhi perjalanan yang panjang, mereka akan dimanjakan dengan sebuah katil yang tidak terasa seperti katil di hotel dan seolah-olah berada di dalam bilik tidur sendiri.
Sumber: Express UK
0 Comments