TRAGEDI enam anggota bomba dan seorang pelajar berusia 17 tahun yang ditemui lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong memberi impak besar kepada pengacara Jimmy Shanley.
Jika tragedi Rabu lalu meragut tujuh nyawa, kejadian 34 tahun lalu turut meragut jumlah serupa termasuklah seorang daripadanya bapa kepada pengacara Jimmy Shanley ialah Norjahan Saleh.
Jimmy, 38, berkata peristiwa hitam yahg mengorbankan anggota bomba dan pelajar itu menyebabkan dia terkenangkan kejadian serupa apabila nyawa ayahnya diragut di sebuah lombong di Batu 13 Puchong, daerah yang sama kejadian Rabu lalu.
Keratan akhbar yang melaporkan tentang penemuan mayat arwah bapa Jimmy.
Mengimbas detik itu kata Jimmy, arwah bapanya yang ketika itu bekerja sebagai jurutera kapal korek antara tujuh mangsa yang maut dalam tragedi kapal korek terbalik pada 8 Ogos 1984.
Kejadian menyayat hati tersebut mendapat perhatian pelabagai pihak sehingga dilaporkan pada muka depan akhbar-akhbar tempatan ketika itu.
"Saya sangat sedih dengan berita mengenai enam anggota bomba dan seorang pelajar maut di lombong kerana tragedi itu lebih kurang sama dengan apa yang terjadi pada keluarga saya.
"Arwah ayah saya ketika itu bekerja sebagai jurutera kapal korek antara tujuh mangsa yang terkorban dalam tragedi kapal korek terbalik 34 tahun lalu.
Berita tujuh pekerja lombong maut termasuk bapa Jimmy dilaporkan di muka depan akhbar.
"Setiap kali ada kes lemas, saya teringat ayah tapi tragedi anggota bomba itu lebih dekat dengan saya kerana kejadian berlaku di kawasan yang sama," kata Jimmy kepada mStar Online.
Pada 8 Ogos 1984, sebuah kapal korek milik Sungai Klang Dredging Sdn Bhd terbalik di sebuah lombong yang terletak di Batu 13 Puchong.
Kejadian menyayat hati itu telah meragut nyawa tujuh orang termasuk bapa Jimmy yang terperangkap dalam kapal korek berkenaan dan sukar dikeluarkan kerana mangsa tersepit.
Bagaimanapun mayat Norjan berjaya ditarik keluar dalam keadaan terlungkup dengan bantuan penyelam anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Foto mayat Allahyarham Norjahan Saleh dibawa naik ke atas tebing oleh pasukan polis dengan bantuan pekerja lombong.
Semasa kejadian Jimmy berusia empat tahun dan peristiwa berkenaan sering diceritakan ibunya setiap kali tibanya tarikh 8 Ogos.
Pada Rabu lalu, seramai enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di Taman Putra Perdana, Puchong.
Dalam pada itu, Jimmy yang turut melalui pengalaman yang sama berharap ahli keluarga mangsa lemas bertabah dan kuat mengharungi ujian Allah.
Dia masih lagi menyimpan keratan akhbar berita yang melaporkan tragedi hitam melibatkan bapanya itu.
Foto kenangan Norjan bersama isteri dan lapan anaknya termasuk Jimmy (dipangku bapanya).
"Orang yang melalui sahaja tahu betapa peritnya kehilangan orang tersayang. Apabila melihat anak-anak mangsa terkorban yang masih kecil itu menangis, ia sama seperti macam mana saya menangis ketika dimaklumkan berita kematian ayah sewaktu kecil dahulu.
"Saya faham perasaan mereka yang kehilangan seorang ayah ketika usia masih kecil. Saya berdoa agar ahli keluarga mangsa kuat dan tabah dengan ujian Allah.
"Kalau nak tahu, sehingga kini saya masih lagi simpan semua keratan akhbar yang melaporkan berita mengenai kematian arwah ayah saya," ujarnya.
0 Comments