PENYANYI Syafiq Farhain berkata dia tidak mampu menggambarkan perasaan sedih kehilangan insan tersayang, lebih-lebih lagi apabila individu tersebut ialah bapanya sendiri.
Menurut Syafiq, 24, walaupun tidak dibesarkan sama seperti anak-anak lain, namun pemergian bapanya yang juga seorang penyanyi iaitu Saleem merupakan satu kehilangan yang cukup besar dalam hidupnya.
"Saya tak tahu nak cakap apa, speechless! perasaan saya sama macam orang lain yang sudah tiada orang tersayang.
Syafiq dan bapa, Saleem.
"Walaupun dibesarkan tak sama macam orang lain, namun perginya bapa dari dunia ini buat selama-lamanya adalah satu kehilangan.
"Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan ini dan berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman," katanya kepada mStar Online.
Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Cheras, Selangor pada Ahad.
Syafiq berkongsi berita sedih di laman Instagramnya.
Penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu.
Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah dan dia berada dalam keadaan koma.
Sementara itu, Syafiq berkata dia masih mengingati pesanan bapanya yang meminta dia sentiasa berbuat baik kepada orang sekeliling.
"Dia berpesan nyanyi dengan ikhlas dan sentiasa buat baik dekat semua orang.
"Nak cakap lebih pun saya tak tahu, semoga semua peminat tabah dan doakan yang terbaik untuk arwah," katanya.
0 Comments