Lenyap Bagai Pompeii,Dua Kampong Di Telan Bumi

Lenyap Bagai Pompeii,Dua Kampong Di Telan Bumi

Lenyap Bagai Pompeii,Dua Kampong Di Telan Bumi

Kuala Lumpur: Lenyap ditelan bumi apabila sekurang-kurangnya dua kampung dengan kapasiti penduduk mencecah ribuan orang berkemungkinan ditimbus hidup-hidup selepas tsunami melanda Palu, Sulawesi, Jumaat lalu.
Sehingga kini, khabar berita mengenai nasib penduduk Kampung Petobo dan Balaroa itu masih tidak diketahui kerana bantuan belum tiba di kawasan berkenaan yang didapati terjejas teruk hingga menyebabkan semua jalan terputus hubungan.
Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Lazis Wahdah, Salehuddin Abdul Karim adalah antara individu terawal tiba di kawasan berkenaan dan dia mendengar rintihan penduduk meminta pertolongan di celah runtuhan.
Kebanyakan penduduk melarikan diri tanpa mempedulikan mayat yang bergelimpangan di celah runtuhan serta ada antara mereka cuba menggali menggunakan tangan untuk menyelamatkan ahli keluarga yang tertimbus.




“Sebaik tiba di kampung berkenaan, penduduk menjerit dan menyatakan bahawa terdapat kira-kira 200 pelajar sekolah yang sedang menyertai aktiviti perkhemahan turut tertimbus dengan runtuhan tanah dan sehingga kini nasib mereka tidak diketahui.
“Bantuan pula tiada berikutan sukar untuk ke kampung berkenaan kerana terputus hubungan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


SEORANG lelaki berjalan di Kampung Petobo yang teruk. FOTO EPA
Dia bersama 106 sukarelawan lain sukar membantu kerana kekurangan peralatan dan kebanyakan mayat mangsa pula ditimbus dan lumpur hitam setinggi lima meter.
“Bayangkan perkampungan ini dan Petobo hilang sekelip mata dan ia adalah penempatan paling teruk akibat gempa.
“Rumah tenggelam hingga lapan meter, ada yang lima meter. Nasib penduduk masih tidak diketahui, mungkin juga ramai berjaya melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, jurucakap NGO sama, Nasruddin Abdul Karim berkata, hanya 20 peratus daripada 3,000 ke 4,000 penduduk di kawasan perumahan tertua di bandar Palu, Perumahan Nasional Balaroa yang selamat.
Menurutnya, meskipun sudah empat hari, kurang daripada 10 mayat yang dapat dikeluarkan dari kawasan perumahan yang padat itu.

PASUKAN penyelamat mengangkat mayat penduduk. FOTO Reuters
“Tanah sudah setinggi bumbung rumah dan hanya 20 peratus daripada keseluruhan penduduk yang selamat. Kami sendiri tidak mampu untuk mencari mereka yang masih tertimbus berikutan gempa bumi masih berlaku dan tanah di kawasan itu bergerak ke dalam.
“Operasi mengeluarkan mayat dilakukan dalam risiko yang cukup tinggi dan saya percaya kebanyakan penduduk yang masih belum ditemui sudah meninggal akibat ditimbus tanah dan runtuhan rumah,” katanya.
Beliau berkata, mayat yang tertimbus itu juga sudah mula berbau di kawasan Balaroa dan persisiran pantai di Palu dan keadaan cukup pilu apabila ramai yang sukar mengesan insan tersayang dalam keadaan itu.
Nasruddin bersama kumpulannya antara yang terawal tiba di bandar Palu dan Donggala di Pulau Sulawesi, Jumaat lalu sedih kerana gagal mengeluarkan mayat yang berada di bawah runtuhan meskipun sudah berbau.

PENDUDUK kampung Balaroa berjalan di atas celah runtuhan kampung mereka yang terjejas teruk. FOTO AFP
Katanya, masalah utama yang dihadapi mangsa adalah kekurangan makanan selain kesukaran menghantarkan bantuan selepas terputus hubungan.
“Ada antara penduduk terpaksa mencari sisa makanan di sebalik runtuhan kerana ketika ini sumber bahan mentah itu terhad.
“Semua laluan utama ke kawasan berkenaan tidak boleh dilalui oleh kenderaan akibat tanah runtuh manakala talian telekomunikasi dan bekalan elektrik terputus sejak Jumaat lalu.
“Kemusnahan begitu teruk sehingga kawasan penempatan yang padat dengan penduduk bertukar kepada lapang dengan kebanyakan kediaman ditimbusi lumpur serta tanah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments