PETALING JAYA: "Mungkin Allah beri mereka syahid akhirat," demikian cerita pengurus jenazah, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid tatkala melihat mayat enam anggota bomba umpama sedang tidur dengan wajah mengukir senyuman.
Muhammad Rafieudin yang merupakan Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ) bertanggungjawab menguruskan enam anggota bomba yang maut dalam tragedi pusaran air deras di Taman Putra Perdana, Puchong.
"Alhamdulillah mula-mula saya buka kain, saya lihat keadaan jenazah dalam keadaan baik.
"Tiada luka, malahan ada diantara wajah mereka yang tersenyum... seperti sedang tidur.
"Mungkin kerana tugas yang digalas adalah mulia, kerana itu Allah SWT beri mereka syahid akhirat," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Menurut Muhammad Rafieudin, pasukannya mengambil alih tugas menguruskan jenazah kira-kira pukul 2.30 pagi hingga selesai kafan sekitar pukul 7.20 pagi sebelum dihantar ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk disembahyangkan.
Jelas beliau, proses menguruskan jenazah berjalan lancar walaupun mereka dihimpit perasaan sayu ketika mengenangkan kebanyakan mangsa meninggal pada usia muda, iaitu antara 20an dan 30an.
"Rata-rata wira yang meninggal dunia umurnya muda. Ia mengingatkan tentang tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Itifaqiyyah, saya turut terlibat menguruskan jenazah mereka ketika itu.
"Perasaan itu sama, terutamanya apabila saya terpaksa berdepan banyak pihak dan melihat anggota keluarga dalam keadaan hiba.
"Tadi saya turut menghantar dua jenazah anggota bomba untuk dibawa menaiki kargo ke Sabah dan Sarawak... jenazah dalam keadaan ringan," katanya.
Dalam kejadian pukul 9 malam Rabu, kesemua enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM itu lemas selepas bergelut dalam pusaran air deras.
Mereka yang terkorban adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
Dua lagi mangsa bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
0 Comments