KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dipersoal kerana lari dari kebiasaannya.
Menurut Peguam Adzly Abdul Manas ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi berkata, paling tidak masuk akal apabila pendakwaraya melalui pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa Najib pada jam 3.00 petang esok.
Kenapa Dakwaan Dibuat Petang?
“Kalau ikut kebiasaan sebelum ini, semua kes pendakwaan berkaitan SPRM dibuat pada sebelah pagi tapi berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM kes pendakwaan Datuk Seri Najib hanya akan dibuat pada sebelah petang.
Kaunter Tutup?
“Kaunter ikat jamin biasanya akan ditutup pada jam 4.30 petang dan beliau juga perlukan masa untuk berurusan dengan bank bagi tujuan membuka akaun dan mengira wang tunai jika jumlah wang jaminan banyak.
“Jadi sekiranya Najib gagal menyediakan wang jaminan disebabkan kesuntukan masa besar kemungkinan beliau akan dibawa untuk bermalam di penjara Sungai Buluh,” katanya.
Adzly turut menjelaskan penahanan Najib pada sebelah petang hanya untuk mengambil keterangan adalah sangat tidak wajar.
“Kalau kita tengok dalam kes-kes sebelum ini, siasatan yang melibatkan Lim Guan Eng turut dibuat pada sebelah pagi tanpa melibatkan sebarang tangkapan.
“Tambahan pula Datuk Seri Najib telah memberikan kerjasama penuh dalam kes sebelum ini, jadi pada saya sangat tidak wajar beliau ditahan 1 hari atas alasan untuk merakam percakapan.
“Mungkin ini adalah prosedur baharu yang diperkenalkan oleh pihak SPRM,” katanya lagi.
SPRM melalui satu kenyataan sebentar tadi berkata bekas pemimpin itu akan dibawa ke Bukit Aman dimana dia akan disoal polis dan badan anti-rasuah itu.
Najib kemudiannya akan dituduh esok petang di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Pada Julai, Najib dituduh dengan 3 tuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa berkaitan RM42 juta yang disalurkan ke akaun banknya.
Bulan lepas, dia dituduh dengan 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi yang sama bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 12-28 Februari dan 4-29 Mac tahun depan.
Najib di Facebook berkata dia tidak dapat mendedahkan bukti berkaitan dana RM2.6 billion itu sebelum ini disebabkan permintaan Raja Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz yang mahu ia dirahsiakan.
“Yang dimaksudkan RM2.6 bilion sebenarnya merujuk kepada dana AS$681 juta yang saya terima di dalam akaun peribadi saya pada akhir bulan Mac 2013 iaitu kira-kira sebulan sebelum PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.
“Seperti pernah diulas beberapa kali sebelum ini, saya diamanahkan mengikut perlembagaan parti untuk mencari sumbangan dan mengurus wang parti secara peribadi dan secara khusus. Seperti kebanyakan orang lain, saya ada beberapa akaun peribadi di bank-bank berlainan dan akaun peribadi yang menerima dana ini bukanlah akaun untuk kegunaan peribadi setiap hari tetapi bagi kegunaan aktiviti politik,” katanya.
Najib berkata dana itu, berjumlah AS$681 juta dalam 2 transaksi, iaitu pada 21 Mac dan 25 Mac 2013, kira-kira sebulan sebelum PRU13 bagaimanapun dikembalikan apabila peristiwa 916 tidak berlaku.
Peristiwa 916 merujuk kepada peristiwa yang berlaku pada 16 September 2008 apabila gabungan pembangkang cuba mendapatkan wakil rakyat Barisan Nasional melompat parti selepas PRU12.
“Maka selepas Ambank menggunakan masa seketika untuk menukarkan ringgit dalam akaun saya kembali kepada dolar Amerika Syarikat, semua dana ini dikembalikan kepada sumber yang diterima iaitu syarikat Tanore.
“Oleh kerana kadar pertukaran wang berbeza dengan penyusutan sebanyak 10% dari bulan Mac sehingga Ogos, hanya US$620 dikembalikan berbanding dengan US$681 yang diterima.”
Beliau menambah dia tidak menyimpan RM2.6 bilion itu dan tidak masuk akal wang itu disimpan dalam akaun atas nama sendiri jika mahu mencurinya
Kata kata terakhir Dato Seri Najib Razak
Mereka nak sumbat saya bermalam di lokap malam ini dan seterusnya saya akan dihantar ke penjara sungai buloh esok.Mereka mahu terus menekan saya dari terus bersuara mempertahankan diri saya dari fitnah yang dilemparkan. Saya redha
0 Comments