"Pergi!..Jangan Ganggu kami!!"

"Pergi!..Jangan Ganggu kami!!"

"Pergi!..Jangan Ganggu kami!!"
PENGHUJUNG Disember 2013, Norliza Mat Jidin, 47, berpindah ke rumah barunya di Kampung Temok, Maran Pahang.

Rumah itu sebenarnya sudah lama dibina tetapi tidak diduduki dan sekelilingnya terbiar dipenuhi semak samun.

Norliza berhasrat untuk tinggal di situ kerana dekat dengan rumah ibunya. Bersama suaminya, dia membersihkan rumah itu selama tiga hari berturut-turut, barulah siap.
Namun begitu, sewaktu melangkah meninjau lebih jauh ke dalam rumah, dia merasa sungguh seram. Tengkuknya terasa meremang.

Sebaik memasuki ke dalam rumah berkenaan dia merasa ada sesuatu makhluk yang sedang mengikut jejak langkahnya. Makhluk itu yang menghuni di situ mengikut ke mana saja dia pergi.

Bagaimana dia hendak duduk nanti, rasa takut, seram menyelubungi dirinya? Berani kah dia tinggal di situ?

Malam pertama, apa yang ditakutinya terjadi. Tiba-tiba muncul satu unggun api setinggi dua tingkat rumahnya. Terasa bahang sehingga ke atas siling.

Namun, secepat ia muncul api, sepantas itu padam secara tiba-tiba seperti api menyambar petrol. Peliknya rumahnya tidak terbakar.

Malam-malam seterusnya, Liza sekeluarga terus diganggu. Sebaik hendak tidur, kaki anaknya Najiha, 20, mengadu terasa digeletek sesuatu. Bukan sekali dua tetapi kerap kali. Apabila disuluh tiada lipas atau tikus yang merayap. Aduh, geli gelemanlah Najiha apabila digeletek setiap malam.

Malah, katil anaknya Adam turut digoncang, di gegar-gegar ke depan dan belakang. Apabila dia dan suaminya melihat, tiada sesiapa yang melakukannya. Aneh.

Kerap kali saat tiba pukul 12.00 tengah malam, Liza terdengar bunyi bergemercingan seperti ada orang memakai gelang kaki sedang menaiki tangga melangkah naik ke tingkat atas. Dia membuka lampu untuk melihat. Tiada sesiapa naik ketika itu.

Bunyi gelang kaki itu terus berbunyi sehingga beberapa minit sebelum lenyap dengan sendiri.

Sebaik lampu ditutup, kedengaran bunyi berdentum dentang dari dalam rumahnya seperti orang sedang bergusti. Gamat sungguh bunyinya.

Sebaik hendak melelapkan mata Liza terdengar pula bunyi kanak-kanak berlari tidak berhenti-henti dari sebuah bilik, ke bilik yang lain. Kemudian terdengar bunyi bakul kain diseret tanpa tujuan.

Pada mulanya Liza menyangka anaknya yang menarik bakul kain untuk melipat baju.
“Ah, settlelah baju, anak tolong lipat,” bisik hati Liza yang tidur di tingkat bawah bersuara agak kuat.

“Eh, angah tak lipat kain pun,” laung anaknya dari tingkat atas.

Jadi, siapa yang seret bakul kain dan bunyi tapak kaki siapa yang berlari-lari pada tengah malam buta begini, fikir Liza.

“Tolonglah Angah tidur, mak ni dah pening kepala,” laung Liza.

Suasana senyap seketika. Tidak lama kemudian anaknya mengadu PS2 terpasang secara tiba-tiba walaupun sebentar tadi suisnya sudah ditutup.

Apabila Liza dan suaminya melihat, benar suis sudah ditutup mengapa PS2 masih terpasang? Apa yang terjadi sebenarnya? Semua anaknya mula takut hendak menutup PS2.

Kemudian Liza terdengar bunyi kereta mainan bergerak sendiri. Pinggan mangkuk menggelongsor ke lantai.

“Ah, beria betul benda ni mengacau kita,” bisik Liza pada suaminya.

Paling menyeramkan sewaktu sedang mandi dalam bilik air,  Liza terkena objek batu kerikil yang dibaling ke arahnya  entah datang dari mana.

Hari-hari yang dilalui Liza sekeluarga amat menyeramkan akibat pelbagai gangguan yang menakutkan itu. Pernah, sewaktu dia memasak di dapur, tiba-tiba dia terkena percikan air lembahan. Puhh, baunya busuk betul.  Terasa hendak termuntah Liza.

Dari mana datangnya air lembah itu, Liza tidak tahu. Ada ketika dia terdengar duit syiling berdenting dibaling ke tingkap. Apabila di jenguk, tiada duit syiling yang jatuh di lantai. Liza mula rasa seram. Bulu tengkuknya meremang.

Ah siapa pula yang baling ni, bisiknya.  Namun dia pasrah. Ke mana lagi dia hendak berpindah? Inilah rumahnya. Dia tidak ada tempat lagi hendak lari!
***
LIZA lalu menemui suami ibu saudaranya, Pak Mat, 58. Wanita ini mengadu kisahnya asyik diganggu. Tidur pun tidak lena lagi.

Apabila Pak Mat datang, beliau memberitahu mengapa ramainya ‘makhluk asing’ yang tinggal di situ? Kata Pak Mat, makhluk itu sudah beranak pinak dan bercucu cicit. Puncanya, rumah ini sudah lama tidak didiami, tentulah ada makhluk yang menjadi penunggunya!

Lalu Liza meminta bantuan Pak Mat untuk menghalau makhluk yang mengganggu rumahnya.

“Insya-Allah!” kata Pak Mat.

Berjaya kah Pak Mat menangkap hantu-hantu itu?

“Alhamdulillah! Hasil bantuan Pak Mat, hantu tu dah kena sumbat dalam botol!” akui Liza.
Wanita itu dan keluarganya kini boleh tidur nyenyak sejak hantu dan jembalang yang menghuni rumahnya telah dibuang serta disumbat ke dalam botol.

“Kalau nak tahu, tanyalah Pak Mat macam mana dia boleh tangkap hantu-hantu itu!” cerita Liza tersengih.

***
“Saya tangkap pelbagai jenis makhluk aneh…”

SETELAH mendapat info tentang Pak Mat, penulis berjaya menjejaki ‘pemburu hantu’ itu untuk mengetahui bagaimana beliau boleh nyahkan hantu-hantu dari rumah Liza.

Sebaik tiba di perkarangan rumahnya, saya melihat terdapat pelbagai botol disusun di luar. Ketika itu Pak Mat berada di rumah jirannya yang mengadakan kenduri.

Setelah menunggu seketika, Pak Mat agak terkejut apabila melihat kedatangan Mastika ke rumahnya.

Ramai yang bertanyakan kebolehannya menangkap hantu-hantu ini tetapi Pak Mat agak keberatan bercerita, bimbang cerita ini nanti akan di perolok-olokan orang.

Pak Mat bimbang masyarakat tidak boleh terima kaedah menangkap hantu ini dan menyumbat ke dalam botol seolah-olah macam cerita rekaan.

“Pak Mat hanya nak tolong orang. Bila orang datang jemput ke rumah, Pak Mat bantulah, ikhtiar tangkap makhluk-makhluk ni. Macam mana Pak Mat tangkap, itu ada caranya. Adalah bacaannya,” beritahu Pak Mat.

Pak Mat memberitahu dia memohon kepada Allah supaya memudahkan segala urusannya setiap kali menjalankan tugasnya menangkap hantu-hantu itu.

Pernah dia dijemput seorang anak bagi mengeluarkan hantu yang bersemadi di dalam tubuh ayahnya yang hampir menemui ajal.

Sebaik sampai di rumah berkenaan di Kuala Lipis, Pak Mat melihat orang tua berusia 80-an itu terlantar tetapi tidak mahu mati-mati.

Lalu Pak memberitahu kepada anaknya: “Antara dua. Kalau awak sanggup, ayah awak baik atau meninggal…”.

“Tak apa…buatlah!” kata anaknya reda dan meminta Pak Mat menangkap hantu raya yang bersemadi dalam tubuh orang tuanya.

Lalu Pak Mat meminta air untuk dibaca dan dijadikan penawar untuk di minum. Namun, belum sempat air sampai ke mulut, orang tua itu sudah meninggal dunia.

Pernah semasa dijemput ke Chenor di Pahang, Pak Mat diminta membuang hantu di dalam tubuh seorang lelaki yang terlantar.

Pak Mat melihat berbelas ekor hantu jembalang berumah dalam tubuh lelaki tersebut. Satu persatu hantu-hantu itu disumbat ke dalam tiga biji botol sehingga penuh.


Ada hantu yang kecil, besar dan berambut panjang. Mukanya pula hodoh dan bertaring.  Ini hantu jenis jahat dan degil.

Bagi yang tidak tahu, hantu-hantu menurut Pak Mat  boleh mengecil dan membesar. Makhluk ini ada pelbagai jenis bangsa dan puak. Ada jantan dan ada betina.
Apabila dipaksa masuk ke dalam botol, hantu-hantu ini boleh mengecil mengikut lubang yang hendak dimasukinya.

Kesemua hantu-hantu yang ditangkap ini pada penilaian Pak Mat jenis yang suka menghasut, memfitnah, suka hasad dengki, iri hati dan mengajak manusia bermusuh sesama sendiri.

Tidak pernah kah Pak Mat diganggu?

“Pernah!” cerita Pak Mat.

Suatu dinihari, kira-kira pukul 3.00 pagi Pak Mat sedang menonton televisyen di rumahnya. Tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun.

Berdentum dentam. Bunyi itu didengar dalam jarak dua depa sahaja. Pak Mat terus membaca ayat Kursi. Waila hukum…

Pak Mat terus membuat pendinding. Dia tahu itu perbuatan makhluk jin yang hendak mengganggunya. Mujurlah, makhluk itu melarikan diri.  Selamatlah Pak Mat dan keluarga daripada ancaman makhluk berkenaan.

Ada yang ingin tahu apa ayat yang dibaca Pak Mat semasa tangkap hantu-hantu ini?
“Saya baca ayat Nabi Sulaiman…carilah dalam al-Quran semua ada!” kata Pak Mat.
Hmm! Bukankah semua makhluk jin tunduk kepada Nabi Sulaiman?


NOTA: NORLIZA menceritakan semasa datuknya Tok Empat Mat Zin mula-mula hendak membuka Kampung Temok, terjadilah pertarungan hebat antara datuknya dengan jin yang mendiami kawasan berkenaan. Sebelum bertarung dengan ketua jin berkenaan, datuknya terlebih dulu membuat perjanjian.

“Kalau aku menang, tanah ini jadi milik aku dan keturunan cucu cicit aku. Kalau kamu menang, aku cari tempat lain!” begitulah kata-kata perjanjian dengan ketua jin berkenaan.
Sebaik berjanji, Tok Empat Mat Zin  pun bertarunglah dengan ketua jin berkenaan bagi merebut Kampung Temok yang ketika itu masih dipenuhi hutan rimba.

Tok Empat Mat Zin memiliki ilmu kebatinan dan persilatan. Keistimewaan beliau juga boleh melihat wajah-wajah jin yang mendiami kawasan itu termasuk ketuanya.
Pertarungan hebat berlaku. Setelah beberapa ketika bertarung, ketua Jin itu akhirnya mengaku kalah. Kampung Temok menjadi miliknya.

“Kawasan seluas 10 ekar diterokai oleh datuk saya yang menjadi perintis pembukaan kampung berkenaan. Namun setiap kali kenduri kahwin, datuk tidak lupa menjemput ketua jin dan makhluk berkenaan,” cerita Liza.

Ada yang melihat tetamu terlalu ramai yang datang berpakaian purba dengan pedang di sandang di belakang. Kepala pula berlilit kain putih.

Sejak perjanjian dengan ketua Jin berkenaan, Kampung Temok tidak lagi diganggu oleh makhluk berkenaan sehinggalah ke generasi ayah Norliza, Mat Jidin.


Post a Comment

0 Comments