MEGHAN Markle tidak akan 'tunduk' untuk berjumpa dengan kakak tirinya, Samantha Markle, dakwa seorang rakan.
Rakan kepada Duchess of Sussex itu dilaporkan berkata Samantha 'buat lawak' jika berfikir dia akan dapat bersama dengan keluarga diraja, menurut laporan Daily Mail.
Rakannya itu berkata, kedua-dua beradik itu tidak rapat sama sekali sambil menambah tidak akan ada kemungkinan untuk mereka bersatu.
Dakwaan ini timbul apabila kakak tirinya dikatakan akan terbang ke United Kingdom dalam usaha untuk berdepan dengan Meghan bagi membincangkan tentang kesihatan bapa mereka, Thomas Markle.
Samantha Markle. -foto FoxImageCollection
"Samantha 'syok sendiri' jika berfikir akan ada kemungkinan untuk bersama dengan Meghan atau sesiapa sahaja daripada keluarga diraja mengenai perkara itu.
"Meghan dan Samantha sikit pun tak rapat, mereka tidak pernah dan takkan ada hubungan, terutamanya selepas Samantha membuli dan memberi nama gelaran kepadanya," kata rakannya.
Tambahnya, Meghan telah lama derdepan masalah dengan Samantha yang sangat cemburu dan sentiasa mengambil tahu berapa yang dibelanjakan bapanya untuk Meghan.
Rakannya memberitahu Daily Mail bahawa Meghan mempunyai beberapa perkara lain yang perlu dibimbangkan, termasuk tempat tinggal ibunya Doria Ragland ketika dia datang ke England untuk lawatan panjang.
Samantha kerap menghina Meghan dan memberi gelaran tidak baik kepadanya termasuklah mengeluarkan kenyataan 'jika bapa mereka mati, Meghanlah puncanya'.
Terdahulu bulan ini, Samantha terus menghina Meghan dengan berkata Meghan 'tidak jauh berbeza dengan Trump'.
Samantha yang lantang bersuara dan bapanya, Thomas Markle, 74, telah mengambil keputusan untuk membuat panggilan awam terhadap Meghan, Putera Harry dan keluarga diraja yang lain.
Doria Ragland (kiri) bersama Meghan dan Putera Harry. -fotoMirror
Meghan, bagaimanapun, tetap berdiam diri dan dilaporkan tidak bercakap dengan bapanya sejak perkahwinannya dengan Putera Harry empat bulan lalu.
Tindakan berdiam diri Meghan terhadap perkara itu membuatkan Samantha jengkel dan dia dikatakan telah berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan adik tirinya, menurut pengurusnya, Rob Cooper.
Cooper, dalam satu status di laman Twitternya berkata "Samantha Markle akan datang ke United Kingdom selepas membuat beberapa percubaan secara peribadi untuk mengatur satu pertemuan dengan Duchess of Sussex bagi membincangkan tentang kesihatan bapanya, tetapi Istana Kensington enggan menjawab.
"Saya takut Meghan mungkin tidak menyedari tentang percubaan-percubaan ini, justeru menghebahkannya kepada awam satu-satunya pilihan yang kita ada."
Katanya, Samantha kini berada di Eropah dengan hanya satu penerbangan singkat untuk tiba.
"Ini tak perlu dimaklumkan, kami lebih suka menyimpannya sebagai privasi. Samantha akan datang ke UK minggu ini, sama ada suka atau tidak."
0 Comments