Misteri Perigi lama bawah ruang tamu

Misteri Perigi lama bawah ruang tamu

Misteri Perigi lama bawah ruang tamu

Apabila pasangan suami isteri, Colin dan Vanessa Steer berpindah ke rumah teres impian mereka pada tahun 1980-an, mereka menyedari terdapat sedikit mendapan pada lantai di ruang tamu.
Ketika Colin menggantikan lantai di rumahnya yang terletak di Plymouth, Devon, England, dia memutuskan untuk menggali sedikit tanah di situ untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku dan dia terkejut apabila menemui sebuah perigi.
Pasangan tersebut yang mempunyai tiga anak kecil pada masa itu, telah memutuskan untuk menutup perigi berkenaan demi keselamatan mereka sekeluarga.
Namun, selepas Colin bersara daripada tugasnya dalam perkhidmatan awam, dia memutuskan bahawa sudah tiba waktunya untuk melihat sekali lagi perigi berkenaan.
Dia kemudian mendapati lubang itu jauh lebih besar daripada apa yang dia fikirkan sebelum ini.
Jumpa pedang
Menurut Colin, lubang berkenaan dipenuhi dengan tanah, namun dengan bantuan rakan-rakannya, dia berjaya menggali sehingga sedalam kira-kira lima meter.
“Saya teringin menggalinya untuk melihat sama ada terdapat periuk emas di bahagian dasar perigi, jadi apabila saya bersara itulah perkara yang saya lakukan,” katanya.
Colin menjelaskan, dia lebih suka jika perigi itu berada di luar rumah kerana kerja-kerja penggalian akan dapat dilakukan dengan lebih mudah.
“Menggunakan tangga dan baldi pada sistem takal, ia memerlukan sekitar enam bulan untuk mencapai kedalaman sekarang.
“Perigi ini kini selebar 76.2 sentimeter dan masih boleh digali sedalam kira-kira dua meter lagi,” katanya.
Tambahnya, dia menemui sebilah pedang yang mempunyai sarung kulit di dalam perigi itu pada kedalaman kira-kira satu meter.
“Sebab itulah saya ingin menggali sehingga ke dasar perigi. Siapa tahu apa yang ada di bawah sana?
“Saya ingin mencari sesuatu di bawah sana, sesuatu yang dapat menggembirakan saya,” kata Colin.
Jelasnya lagi, di juga tidak mengetahui sejak bila perigi itu wujud.
“Mungkin ada beberapa kotej atau ladang di sini sebelum ini. Saya harap saya mempunyai mesin masa untuk kembali ke masa silam dan melihat apa yang ada di sini pada masa itu,” katanya.
Bom lama
Perigi itu kini menjadi buah mulut kawan-kawan dan dan keluarga pasangan berkenaan, malah ada antara mereka yang membaling syiling dan membuat hajat.
Perigi dan pedang berkenaan bagaimanapun bukan satu-satunya benda yang ditemui pasangan berkenaan di rumah mereka.
Pada tahun 2012, Colin membina sebuah bangunan kecil di bahagian halaman belakang rumahnya sebelum menemui dua butir bom lama buatan Jerman.
Skuad pemusnah bom kemudian menggosongkan kawasan berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan dua butir bom lama itu dapat dilakukan.
Kedua-dua bom lama itu kemudian dimusnahkan di sebuah lokasi yang selamat.
Pemilik temui telaga di ruang dalam rumah dan mula menggalinya untuk menyiasat rahsia telaga lama itu.

Post a Comment

0 Comments