“TAK ada siapa buat kisah aku. Baik buat cepat sebelum aku mati,” itulah kata-kata terakhir bekas personaliti TV3, Datuk Mahadzir Lokman seakan-akan membayangkan dirinya akan pergi buat selama-lamanya.
Kata-kata tersebut disampaikan Dale ketika bertemu Pengarang Meja Wanita Berita Harian, Jami’ah Sokri yang berkesempatan bertemu dengan Allahyarham seminggu lalu.
“Kami baru saja berkenalan sejak tiga minggu lalu tapi arwah cepat mesra. Masa arwah minta supaya cepat buat kisah hidupnya sebelum dia meninggal tu saya memang tak terfikir pun mengenai kesakitan Dale dan kematian kerana sepanjang perbualan pada pertemuan itu, dia begitu ceria apabila bercerita mengenai pelbagai topik,” katanya.
Menurut Jami’ah, dia tertarik untuk menulis kisah hidup Mahadzir atau lebih dikenali sebagai Dale selepas melihat foto-foto Allahyarham ketika bertugas di stesen TV semasa berkunjung ke kediaman beliau baru-baru ini.
“Pada Jumaat lalu, Dale menjemput saya dan beberapa rakan untuk makan malam di rumah beliau.
“Ketika saya berada di rumah itu, saya melihat ada ruang di bawah tangga yang dipenuhi dengan foto-foto beliau ketika bertugas di TV3 sebagai pembaca berita.
“Berulang kali beliau beritahu bahawa beliau adalah pembaca berita pertama di TV3. Dari situ saya tertarik untuk menulis kisah kehidupannya,” kata Jami’ah ketika dihubungi mStar Online.
Dale yang berusia 61 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 6 pagi Jumaat selepas menunaikan solat Subuh.
Tambah Jami’ah lagi, dia tidak sangka pertemuan itu merupakan kali terakhir bertemu dengan Allahyarham.
Katanya, dalam pertemuan mereka itu, arwah kelihatan lemah dan memakai gelang hospital kerana masih berulang-alik untuk mendapatkan rawatan.
“Saya tak sangka itu adalah pertemuan kali terakhir kami. Memang nampak arwah sakit dan lemah.
“Tapi dia tak bercerita mengenai kesakitannya. Hanya saya lihat dia masih memakai gelang hospital sebab masih menjalani rawatan,” ujarnya.
Menceritakan lebih lanjut, kata Jami’ah, Dale ada menghubunginya pada Isnin lalu untuk memberitahu beliau akan ke Sabah untuk berjumpa Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.
Pertemuan pertama Jami’ah (dua dari kanan) bersama Dale serta kenalan lain pada minggu lalu .
“Beliau ada hubungi saya pada Isnin dan berborak lebih satu jam. Beliau ada beritahu nak ke Sabah untuk jumpa Datuk Seri Shafie Apdal.
“Katanya ada urusan dengan ketua menteri itu. Saya pun cadang nak buat temu bual itu selepas beliau pulang dari Sabah,” katanya.
Jami’ah memberitahu dia baru sahaja mengenali Allahyarham sejak beberapa minggu lalu dan pernah bertemu sebanyak tiga kali sahaja.
“Sepatutnya kami pergi ke pertunjukan fesyen” – Farel Gafar, Sahabat baik Mahadzir
Sementara itu, sahabat baik kepada Mahadzir, Farel Gafar turut meluahkan rasa terkejutnya menerusi laman Instagram setelah menerima perkhabaran duka itu.
Dia sewaktu dihubungi mStar Online menjelaskan baru sahaja berjumpa dengan bekas pengacara itu sekitar tiga hari lepas.
Farel memuat naik foto kenangan bersama Allahyarham Mahadzir.
“Sepatutnya kami pergi ke pertunjukan fesyen, tapi kami lepak-lepak santai di rumah arwah di Petaling Jaya dari pukul 5 petang sehingga 9 malam.
“Tak ada apa-apa tanda pelik, dia macam biasa sahaja. Cuma akhir-akhir ini dia selalu ajak lepak datang ke rumahnya.
“Tapi sebelum pulang pada malam itu, saya yang menghantarnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebab dia ada pemeriksaan kesihatan sehari sebelum berangkat ke Kota Kinabalu,” jelas pemuda berusia 31 tahun itu.
Menurut Farel, dia hilang kata-kata dan hampir pengsan sewaktu menerima berita pemergian Mahadzir, sekitar 10 pagi, Jumaat.
Biarpun terkejut dan sukar mempercayai pemergian sahabatnya itu, Farel berkata dia akan sentiasa berpegang kepada segala nasihat dan pesanan yang pernah disampaikan Mahadzir kepadanya.
“Saya akan ingat sampai bila-bila pesanan dia pasal persahabatan. Dia kata berkawan kena jujur, ikhlas dan jangan ada cakap-cakap belakang.
“Saya mendoakan dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman sebab dia sangat baik dan sentiasa berusaha mengeratkan silaturrahim antara kawan-kawan,” katanya lagi.
Pada tahun lalu Mahadzir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.
Ketika ini keluarga personaliti itu sedang menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
sumber: mstar
Kejayaan adik-beradik: Kisah Datuk Mahadzir Lokman-Ida
MENERIMA kunjungan Datuk Mahadzir Lokman dan adiknya, Ida Neliaty pejabat Kumpulan Media Karangkraf amat mengujakan penulis. Maklumlah, bersua wajah dengan seseorang yang cukup menawan personalitinya dan sering disebut-sebut di dalam majlis berprestij negara. Kehadiran mereka berdua adalah untuk menghiasi ruangan fokus kali ini dalam bicara kejayaan pasangan adik beradik.
Sewaktu berlangsungnya sesi fotografi, sesekali terselit bisikan halus kedua-dua beradik ini. Membetulkan posisi gaya masing-masing untuk tampil hebat. Tangan si abang merangkul lembut pinggang si adik. Bagi Datuk Mahadzir, acara ini pasti sudah biasa baginya.
Cuma gandingan bersama si adik yang baru kali pertama diadakan mencuit sedikit rasa kekok pada si adik. Mereka pertama kali digandingkan dalam sesi fotografi tema adik-beradik sukses untuk fokus bulan ini, Datuk Mahadzir atau Dale dan adiknya, Ida Lokman.
Sedia maklum, suku abad menceburi bidang pengacaraan melayakkan Datuk Mahadzir dinilai sebagai pengacara yang cukup hebat apabila diberi peranan dalam mengacara majlis-majlis berprestij. Adiknya, Ida Lokman merupakan Pengarah Urusan syarikat Niche Retailing yang menguruskan jenama antarabangsa.
“Kami terdiri daripada enam beradik namun dibesarkan dibesarkan lima beradik kerana abang nombor dua meninggal dunia pada tahun 50-an. Yang sulung, allahyarhamah Fauziah meninggal kerana barah payudara. Seterusnya seorang abang dan kakak, saya, Dania dan paling bongsu iaitu Ida.
“Jarak umur yang sulung dan kedua lima tahun. Yang ketiga hingga kelima beza umur hanya dua tahun. Jadi kami bertiga agak akrab memandangkan jarak usia yang tidak terlalu ketara. Waktu kecil-kecil dulu, kamilah paling banyak bermain bersama selepas mengaji. Sebagai abang, saya paling suka ‘membuli’ mereka.
“Saya juga sering mengingatkan mereka agar belajar berdikari. Jangan hanya bergantung harap pada emak dan abah. Saya juga menggalakkan mereka banyak makan ikan supaya otak cerdas. Nak tahu tak, Ida paling tak suka makan ikan. Saya terpaksa berdiri di sebelahnya untuk memastikan ikan itu habis dimakan,” kongsi Datuk Mahadzir mengenai adik kesayangannya itu.
Ujian
Pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. “Sayalah orang pertama yang Ida hubungi ketika suaminya terjatuh di majlis sambutan hari lahir anak saudara kami. Ketika itu, saya dalam perjalanan ke majlis Piala Sri Hendon di Shang Ri La Hotel. Kata Ida, suaminya sudah stabil setelah dirawat doktor, saya kembali tenang meneruskan tugas sebagai pengacara majlis,” ujar Datuk Mahadzir kembali menyambung cerita.
“Ketika sedang mengacara, salah seorang krew di lokasi menghampiri saya bertanyakan alamat rumah. Setelah menyebut alamat rumah, dia bertanya pukul berapa jenazah adik ipar akan dibawa ke rumah. Cubalah bayangkan perasaan saya ketika itu setelah mengetahui suami Ida sudah meninggal dunia. Sedangkan dua jam lalu, Ida memaklumkan keadaannya sudah stabil.
Cuma saya lambat dimaklumkan mengenai perkara itu kerana telefon telefon di’off’ ketika sedang mengacarakan majlis. Patutlah saya pelik melihat arwah Datin Hendon berbisik dengan tetamu-tetamu lain semasa saya sedang mengacarakan majlis.
Waktu itu, baru lima peserta membuat persembahan. Masih ada lima lagi menunggu giliran. Dalam keresahan saya masih meneruskan tanggungjawab. Saya tidak boleh menangis atau berhenti hingga mengganggu majlis itu.
Dalam peristiwa lain, Tuhan terus menguji saya ketika sedang mengacarakan majlis musabaqah al-Quran di Terengganu. Selepas time break, teman pengacara yang merupakan seorang ustaz menepuk bahu saya meminta saya ‘on’ telefon. Telefon berbunyi dan kedengaran suara memaklumkan kakak saya meninggal dunia.
Bayangkan betapa sayunya perasaan saya ketika itu. Apatah lagi ketika itu saya menyarungkan baju Melayu rona hijau gelap yang dihadiahkan olehnya. Pun begitu, saya tidak beredar kerana kerja masih belum selesai. Penyudahnya, sepanjang majlis saya terpaksa mengawal rasa sedih agar berjaya melaksanakan tanggungjawab hinggalah selesai dan bergegas pulang ke rumah.
Seterusnya ketika pemergian bapa kesayangan, Datuk Lokman Musa meninggal yang meninggal kerana kanser prostat. Walaupun tika itu, bapa saya sudah nazak tetapi saya perlu mengacarakan majlis penutup Sukan Komanwel 1998. Bayangkan semua ahli keluarga berada di sekeliling membaca surah Yasin.
Saya bertanya pada emak, adakah saya perlu pergi atau tidak dan emak mengatakan dia tidak tahu kerana sedang sayu. Abah pula cakap, ‘Apa saja jadi kat aku, engkau pergi juga.’ Walaupun sebak namun saya terpaksa pergi juga untuk mengacara majlis itu.
Inilah sebahagian kisah sedih dalam perjalan kerjaya saya. Pengajarannya daripada kejadian inilah membuatkan saya menjadi seorang yang gigih, sabar dan tidak pernah berputus asa. Setiap dugaan punya hikmah disebaliknya.
Biarpun dalam hari di serbu ombak kesedihan, komitmen untuk melaksanakan setiap tanggungjawab yang diberikan tetap dipikul dengan baik tanpa banyak alasan walaupun berhadapan dengan masalah peribadi.”
12 skru
Dalam rancak bercerita, Datuk Mahadzir menunjukkan parut di lengan kanannya. Sebanyak 12 skru berada di bahagian tulang tangan kanan akibat terjatuh ketika menjadi pengacara di sebuah kompleks terkemuka tanah air.
Malah, dia sanggup menahan sakit dan mengacarakan majlis dengan tangan berbalut dan bengkak. Doktor mengesahkan tangan saya patah dan diberi cuti sakit hampir dua minggu.
“Saya terjatuh jatuh menyebabkan tangan kanan patah dan tulang tertonjol. Sepuluh minit selepas itu, saya gagahkan untuk menyambung tugas mengacara majlis ‘Jualan Mega’ di Bukit Bintang Plaza. Saya menyangkut jari di butang baju untuk menampung tangan yang masih dalam kesakitan. Selepas habis mengacara, saya menjalani rawatan.”
Kagum
Percaya atau tidak, fotografi ini tidak akan berjaya dilaksana tanpa jasa baik adiknya, Ida yang mengaturkan pertemuan petang itu. Memang benar, bukan mudah untuk bertemu pengacara yang satu ini termasuklah Ida yang sentiasa terikat dengan komitmen jadual kerja yang padat sepanjang minggu. Saat diminta berkongsi kisah membesar bersama arwah suami dan abang kesayangannya, Ida tersenyum dan mula mengimbau kenangan itu.
“Arwah suami sering menyuntik semangat dan keyakinan semasa beliau masih hidup. Arwah membantu saya membesarkan anak-anak sewaktu mereka masih kecil. Contohnya jika saya ke luar negara untuk membeli di waktu saya mengandung lapan bulan dan terbang lagi ketika bayi kami baru berumur tiga bulan.
Bagaimanapun setelah pemergian suami pada tahun 2003, saya bekerja keras untuk membesarkan tiga orang anak dengan bantuan keluarga. Paling penting, penglibatan saya dalam dunia retail takkan bermakna tanpa sokongan emak dan arwah ayah terutamanya Abang serta adik-beradik lain sangat menyokong. Masakan tidak, selama bertahun-tahun Abang membantu saya menguruskan acara biar pun Abang terikat dengan komitmen lain.
Bagaimanapun kesudian Abang mencuri masa membantu saya cukup membuatkan saya terharu. Abang sentiasa membantu saya untuk mempromosikan semua jenama yang saya kendalikan dengan setiap orang yang Abang jumpa. Abang sentiasa berkongsi maklumat dan sebagainya untuk memastikan semua yang dikenali dimaklumkan tentang apa saja perkara yang terkini.
Abang juga seorang yang tajam fikiran. Masih saya ingat lagi, sewaktu kami mengembara ke Bali, Indonesia, abang mudah untuk menguasai bahasa negara itu. Sebagai contoh, dia mudah berkawan dan tiada masalah berkomunikasi dengan orang di sana. Dia banyak bertanya tentang budaya dan menguasai percakapan dengan mudah. Memorinya juga bagus dan kebolehannya itu cukup mengagumkan.”
Anak
“Saya juga beruntung kerana anak-anak memahami kerjaya saya. Mereka bijak menjaga diri. Anak sulung saya, Mohamed Mikhail Arieffin Nazrin, 25 (Pembantu Eksekutif kepada Pengarah untuk syarikat penerbitan berurusan dalam maklumat teknikal bagi kejuruteraan).
Yang kedua, Mohamed Ashmeir Arieffin Nazrin, 22 kini di tahun akhir di ACCA in Sunway College dan Nur Marishka Yasmin Nazrin, 19 kini bersekolah di Raffles College of Higher Education dalam jurusan Advanced Diploma in Fashion Marketing and Management.
Seringkali juga, pabila saya tidak kembali dari kerja dan waktu sudah jam 10 malam, mereka akan menghubungi saya untuk memeriksa samaada saya ok dan sudah makan malam atau tidak. Pernah juga, ketika saya pulang ke rumah dalam kepenatan dari bekerja, anak perempuan saya, Marishka akan mengurut kaki dan tangan yang istimewa. Saat jarinya yang gebu dan lembut melakukan urutan, saya yang kepenatan akan kembali tenang dan terasa sungguh nyaman.
Di samping itu, anak-anak saya juga merupakan pendengar yang baik dan kami banyak berbincang bersama-sama yang saya fikir ia adalah sangat penting untuk berkongsi tentang pengalaman dan pencapaian terbaharu. Saya amat bertuah mempunyai mereka dalam hidup saya.
Selepas pemergian suami tercinta, saya mengambil alih membesarkan anak-anak. Ternyata, mereka cukup memahami dan menyokong kerjaya saya. Tambahan pula, saya kerap ke luar negara setiap bulan Januari dan Mac, Julai dan Oktober ke Paris, Milan dan Hong Kong untuk membeli. Kadang-kadang dalam setahun, hampir dua bulan saya berjauhan dengan mereka kerana urusan kerja.”
Paris
Sekadar makluman, arwah bapa mereka, Datuk Lokman Musa pernah dilantik sebagai Duta dan Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO. Keluarganya pernah tinggal di Paris dari tahun 1978 hingga 1983. Arwah ayahnya juga mahir berbahasa Sepanyol, Itali, Portugis, Yunani dan Jepun.
“Di Paris, saya bersama arwah bapa dan ibu manakala Abang bersekolah di negara lain. Masih saya ingat, jika keluar membeli barang dapur, pasti saya pulang lewat.
“Saya curi masa menjenguk ke beberapa kedai untuk melihat barang kesukaan. Malah saya menyimpan keinginan untuk memilikinya,” kata Ida yang menyambung persekolahannya di England selepas itu.
“Sejujurnya saya beruntung kerana pengalaman berhijrah ke luar negara semakin mematangkan saya. Secara jujurnya, saya anggap Paris ibarat rumah kedua. Malah disebabkan saya kerap ke sana, saya boleh bertutur dalam bahasa Perancis walaupun tidak sefasih abang.
Setidak-tidaknya, jika ada orang mengata mengenai diri saya, saya faham juga! Paling penting, kita tahu untuk bertanya arah jalan dan memesan makanan di restoran supaya kita tidak mudah tertipu.
Kebolehan itu menjadikan saya muda untuk bertutur dengan masyarakat sekeliling. Paling penting, saya akan faham jika ada yang bercakap tentang diri saya. Juga memudahkan saya bertanyakan arah jalan dan memesan makanan di restoran. Tiada yang boleh menipu saya (sambil tersenyum).”
Pakar
Pengalaman yang dimiliki selama 27 tahun dalam dunia peruncitan fesyen (fashion retail) meletakkannya di kedudukan tersendiri. Pengalaman kelas pertama berkhidmat di Harrods Dept. Store, London selama lima tahun dirasakan cukup berharga kerana didedahkan pada dunia retail yang cukup mencabar.
“Seterusnya saya berkhidmat di Apcot Group of companies dimana saya sebagai Pengurus Butik untuk Charles Jourdan. Saya juga berpengalaman sebagai Retail Manager untuk Charles Jourdan, Polo Ralph Lauren, St. Dupont Boutiques di Kuala Lumpur. Selain itu saya pernah menjawat posisi sebagai Pengurus Jenama untuk Apparel World Sdn Bhd seperti Kenzo, GFF by Gian Franco Ferre, Intershoes of New York,” ujarnya lagi.
Di Valiram Group, wanita perkasa ini menyandang jawatan Pengurus Jenama untuk Asprey of London dan Chloe KL Boutique serta Chloe Singapore Duty Free di Changi Airport hingga Jun 2009. Sejak peralihan dan berada di posisi Pengarah Urusan di Niche Retailing sejak Julai 2009, beliau sering berurusan dengan pengetua jenama, membeli barangan, pengubahsuaian kedai konsep juga termasuk tugas pengendalian Operasi Pemasaran.
“Antara projek menarik di NRSB saat memulakan Leo Boutique untuk lelaki. Saya lahir dengan idea keseluruhan konsep, nama butik, susun atur dan rangkaian produk. Butik berkonsep pertama di Malaysia ini yang mempunyai 19 jenama fesyen kasut dan produk kulit untuk lelaki dari Itali dan Perancis.
Tawaran pelbagai jenama membuatkan pelanggan-pelanggan kami mempunyai pelbagai pilihan pelbagai produk terutamanya kasut dari kasut kerja, petang, sporty dan kasut kasual untuk hujung minggu. Paling utama, pengalaman membeli-belah yang ditawarkan menjanjikan keselesaan dengan ruang peribadi tersedia di pusat sehenti ini. Kemudian Antoinette (butik wanita) dibuka untuk bersaing dengan Leo Boutique. Ia hadir berdasarkan permintaan dari pelanggan-pelanggan wanita tetap kami.
Masakan tidak, sebelum ini jenama ini tiada di Malaysia. Selain itu, kami menitikberatkan perkhidmatan pelanggan terbaik dan kepuasan pembeli keutamaan kami. Sikap ini saya terapkan dalam diri semua kakitangan di Niche Retailing.
Di samping itu, tanggungjawab sebagai fashion buyer memerlukan saya ke luar negara untuk memenuhi undangan pentas peragaan. Saya akui di Malaysia tidak ramai fashion buyer yang hanya memahami tren namun tidak arif dengan selera pembeli. Segelintirnya hanya mahu berada di sebalik tabir dan enggan bertemu pelanggan di hadapan.
Di samping itu, sebagai fashion buyer, saya perlu arif tren untuk enam bulan akan datang sebelum membeli. Untuk itu saya sering ke luar negara untuk tahu apa yang terkini dan place the order untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia.”
0 Comments