PETALING JAYA: Tidak keterlaluan jika diangkat sebagai salah satu menu popular negara ini, asam pedas sememangnya digemari ramai dan sinonim dimasak menggunakan ikan sebagai bahan utama.
Namun, kelainan yang ditampilkan oleh seorang wanita dengan memperkenalkan asam pedas rambutan baru-baru ini pantas mendapat perhatian netizen.
Menerusi group Masak Apa Hari Ni.. di laman Facebook, Supiah Husein memuat naik beberapa keping gambar hidangan itu.
Selain Facebook, paparan skrin hidangan berkenaan turut dimuat naik di laman Twitter oleh seorang netizen sehingga mendapat hampir 20,000 ulang kicau (retweet).
Rata-rata netizen mengakui pelik dengan pemilihan rambutan sebagai bahan utama masakan itu.
Selain Facebook, paparan skrin posting itu turut ditularkan netizen ke laman Twitter.
Selain pujian atas idea kreatif itu, terdapat juga segelintir netizen yang beranggapan ia merupakan satu hidangan yang tidak masuk akal.
"Yang ni memang unik. Saya belum pernah jumpa, rambutan yang masam ke yang manis sedap buat asam pedas," komen Suhaila Samsu.
"Dah tak ada benda lain ke nak masak, macam duduk dalam hutan pula," tulis seorang lagi pengguna Facebook.
"Tahu la musim buah, tapi janganlah nak upgrade sangat. Hari tu ada mak cik buat cekodok rambutan, dia suruh makan tapi emm...," tulis @peahsempoi di Twitter pula.
Menerusi entri terbaharu di Facebook miliknya, wanita itu telah membuat kenyataan susulan berhubung posting hidangan itu yang tular dan mendapat kecaman netizen.
Menurut Supiah, ia merupakan posting pertamanya dalam kumpulan masakan itu dan dia tidak menyangka akan mendapat perhatian seperti ini.
Antara komen-komen netizen mengenai pemilihan rambutan sebagai bahan utama masakan asam pedas wanita itu.
"Tak pernah pun post masak-masak kat sini, sekali try, huhh memang kena bawanglah.
"Ada yang cakap pelik masakan ni. Apa yang pelik pun tak tahu, agaknya yang cakap tu celik-celik biji mata mak bapak bagi makan spaghetti kot.
"Saya orang susah, apa ada di sekeliling itulah jadi makanan. Lagipun kita orang Malaysia kan. Cintailah buah tempatan dan pelbagaikan hidangan," jelasnya di Facebook.
Asam pedas merupakan hidangan Melayu popular di negeri Melaka, Johor dan beberapa negeri lain di Malaysia.
Kebiasaannya, ia dimasak menggunakan ikan parang, ikan merah, ikan tenggiri, ikan jenahak dan beberapa jenis ikan lain.
0 Comments