Kiri: Dr Mahathir ketika bergelar perdana menteri pada 2018. Kanan: Beliau ketika menjadi ahli Parlimen pada 1970. - Instagram @chedetofficial
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui gaji sebagai ahli Parlimen masih rendah berbanding sektor swasta, namun beliau tidak bercadang untuk menaikkan pendapatan bulanan wakil rakyat di seluruh negara.
Kata Dr Mahathir, walaupun gaji tersebut dianggap rendah berbanding golongan profesional di sektor swasta, namun mendakwa ia bukan terlalu kecil buat ahli Parlimen.
"Tentang menaikkan gaji (ahli Parlimen), saya tahu gaji terlalu rendah jika dibandingkan dengan sektor swasta.
"Kami tidak mahu gaji (ahli Parlimen) terlalu rendah berbanding sektor swasta, jadi kami ingin merendahkan gaji sektor swasta," katanya yang kedengaran bagaikan berseloroh itu telah menggamatkan sidang media berkenaan.
Sidang media itu diadakan selepas sesi taklimat Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa gaji yang diterimanya semasa bergelar perdana menteri sebelum ini adalah mencukupi dan tidak pernah menggunakan wang tersebut.
"Ketika saya menjadi perdana menteri, gaji semasa saya letak jawatan adalah RM20,000 sebulan.
"Saya simpan gaji saya. Itulah duit yang saya ada sekarang sebab semuanya dibayar oleh kerajaan," jelas Dr Mahathir.
Jelas beliau, biarpun nilai itu sangat rendah berbanding gaji yang diperolehi oleh kakitangan di Proton, tapi ia dianggap lebih daripada cukup.
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak menggunakan gajinya selama 29 tahun kerana kerajaan telah memberikan rumah, kenderaan dan membayar elaun perjalanan, bil elektrik serta air.
Sebelum ini, mStar online pada Jumaat melaporkan, selepas pemotongan gaji asas jemaah menteri sebanyak 10 peratus diumumkan, Dr Mahathir mengumumkan satu lagi pemotongan sebagai salah satu langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, pemotongan tersebut membabitkan elaun keraian semua penjawat awam berpangkat Jusa A dan ke atas berkuat kuasa Julai ini.
Manakala, semua ahli Parlimen daripada kerajaan akan diberikan peruntukan sebanyak RM500,000 dan RM200,000 untuk Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen.
0 Comments