Pasukan penyelamat dan 13 mangsa yang terperangkap di gua Tham Luang sangat bernasib baik kerana misi tersebut nyaris saja menemui kegagalan.
Penyelam mendedahkan, pam air yang digunakan untuk membantu operasi pecah sejurus sejam selepas mangsa terakhir dikeluarkan dari gua.
Bagaimanapun, ketika kejadian tersebut berlaku, beberapa penyelam dan anggota penyelamat masih berada sejauh 1.5 kilometer di dalam gua untuk membersihkan peralatan.
Tiga orang penyelam Australia yang terlibat dalam operasi tersebut memberitahu The Guardian, pam utama secara tiba-tiba pecah menyebabkan air di dalam gua terus meningkat secara mendadak.
Mereka yang bertugas pada ‘chamber three’ atau ruang tiga di dalam gua tersebut berkata, mereka mendengar jeritan dan melihat semua orang sedang bergegas berlari keluar dari gua bagi menyelamatkan diri.
”Jeritan mula kedengaran apabila pam utama pecah dan semua berlari keluar kerana air mula naik di dalam gua”, kata salah seorang penyelam.
Sekurang-kurangnya seratus pekerja berada di dalam termasuk tiga angota Navy Seals Thailand dan pasukan perubatan yang selama ini bertungkus-lumus dalam operasi menyelamatkan mangsa terperangkap.
Selepas sejam, kesemua mereka berjaya keluar dari gua dengan selamat menandakan operasi menyelamat juga telah berakhir.
0 Comments