Walaupun Pakatan Harapan memenangi kerusi yang mencukupi dalam pilihan raya umum ke-14 untuk membentuk kerajaan persekutuan, ketidakpastian berlaku berhubung pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada hari berikutnya.
Istiadat mengangkat sumpah pada mulanya dijadualkan pada 11 pagi 10 Mei, tetapi kemudian ditunda hingga jam 5 petang. Spekulasi mula bertiup bahawa mungkin terdapat percubaan untuk menghalagnya daripada secara rasmi dilantik sebagai perdana menteri.
Akhirnya, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada jam 9.30 malam itu.
Menurut isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mereka menunggu di Istana Negara selama lima hingga enam jam sebelum upacara itu akhirnya dimulakan.
"Kami pernah ke Istana Negara sebelum ini, tapi hanya untuk masa yang singkat, dan kami bersedia.
"Tetapi kali ini kami tidak bersedia, dan kami tidak tahu yang kami akan berada di sana selama enam jam.
"Ia sangat sejuk. Kami seperti berada dalam peti sejuk. Itulah sebabnya anda nampak tangan suami saya menggeletar.
"Bukan kerana dia gementar, ini kerana kami sangat sejuk," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Semasa siaran secara langsung istiadat angkat sumpah itu, warga maya memberi komen mengenai tangan Dr Mahathir, yang kelihatannya menggeletar. Ramai yang menyangka ianya tanda gementar.
0 Comments