Siasatan ke atas penyelewengan harta rakyat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin diperhebat dan mendalam, peranan dimainkan Rosmah Mansor juga semakin jelas kelihatan, lapor The Wall Street Journal.
Hasil wawancara dengan penyiasat dan mereka yang rapat dengan isteri perdana menteri yang disingkir, Najib Razak, akhbar berpengaruh itu mengatakan ketaksuban Rosmah mengejar kemewahan adalah faktor utama yang menyebabkan korupsi menjarah kerajaan pimpinan Najib.
Mereka yang rapat dengannya percaya, keinginan Rosmah kepada harta kekayaan bermula apabila beliau didedahkan dengan kemewahan ketika membesar bersama kumpulan elit negara, walaupun latar belakang dan ibu bapanya hanyalah guru sekolah kelas pertengahan.
Beliau digambarkan sebagai pelajar bijak dan berazam tinggi, tetapi sering merasa rendah diri.
Beberapa kawan Rosmah mengatakan bekas wanita pertama Malaysia itu malah merancang untuk berkahwin dengan ahli keluarga Kesultanan Brunei.
Selepas perkahwinan pertamanya dengan ahli perniagaan, Rosmah mengahwini Najib sekitar tahun 1980-an, ketika pemimpin itu masih jadi menteri besar Pahang dan Rosmah bekerja dengan syarikat hartanah.
Pasangan itu dilaporkan sangat setia kepada satu sama lain, dan kritikan dan siasatan skandal kleoptokrat terbesar dunia itu semakin merapatkan hubungan mereka.
Tidak dapat dipastikan sama ada penyiasat percaya Rosmah ada hubungan langsung dengan transaksi rumit menyeleweng dana 1MDB.
Mereka yang mengenalinya berkata yang beliau menyelia penglibatan seorang pembiaya kewangan muda Malaysia yang didakwa Jabatan Kehakiman AS (DoJ) membantu menubuhkan 1MDB dan mengawal selia rompakan ke atasnya.
Agensi AS itu terlibat dalam siasatan 1MDB kerana ia percaya aset di AS adalah antara yang dibeli dengan wang haram. DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset cecah AS$2 bilion (RM8 bilion) termasuklah pesawat peribadi, hartanah mewah dan sebuah syarikat bikin filem diterajui anak Rosmah daripada perkahwinan terdahulu.
Seorang sumber penting dalam siasatan 1MDB di AS menyifatkan Rosmah Mansor lebih mengetahui tentang penyelewengan dana harta negara itu berbanding Najib Razak.
Sasaran utama saman itu adalah aset, bukannya individu walaupun ia turut memasukkan dakwaan terhadap individu yang dipercayai ada kaitan dengan rancangan jahat itu.
Saman itu menyebut sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dana negara diseleweng, menjadikan 1MDB rompakan terbesar pernah disaksikan dunia.
Ogos lepas, DoJ memohon mahkamah menangguhkan prosiding sivil supaya ia boleh memberi tumpuan kepada siasatan jenayah.
Tetapi di Malaysia, peguam negara lantikan Najib “membersihkannya” daripada semua tuduhan salah laku berkaitan 1MDB pada 2016.
Sekutu Najib percaya yang bekas perdana menteri itu hanya terlibat dalam sebahagian daripada rancangan penuh isterinya kerana beliau menumpukan perhatian kepada pemerolehan dana untuk membiaya aktiviti politiknya berbanding perbelanjaan peribadi.
“Isteri ada gambaran lengkap berbanding suaminya,” kata sumber yang dianggap penyiasat AS memainkan peranan utama dalam rompakan harta Malaysia itu.
Mereka yang rapat dengan keluarga Najib-Rosmah mendakwa ketika tekanan semakin hebat disebabkan siasatan skandal itu dipergiat pada 2016, Najib sudah mahu meletak jawatan.
Seorang daripada mereka berkata, Rosmah adalah individu yang menggesanya supaya terus bertahan, menyifatkan tekanan itu sebagai “ujian dari Allah” dan Rosmah sendiri akan mengetuai usaha menghalang siasatan yang sedang berlaku di Malaysia.
Tahun lepas, Rosmah menggaji pelobi Amerika untuk mendesak DoJ mengugurkan siasatan 1MDB, kata sumber.
Sumber sama mengatakan Rosmah mengatur pertemuan antara pelobi itu dengan duta Malaysia ke AS.
Rosmah juga menyelar mereka yang mengkritik tabiat belanja mewahnya sambil menyifatkan kritikan itu bermotif politik.
“Saya beli barang kemas dan pakaian dengan duit saya sendiri. Apa yang salahnya?” tulisnya dalam buku autobiografi terbit pada 2013.
Ketaksuban Rosmah Mansor kepada barang kemas mewah dan batu permata sudah lama jadi kritikan banyak pihak.
Rosmah mengumpul sejumlah koleksi berlian merah jambu, menurut seorang ahli perniagaan Malaysia yang mendakwa membantu Rosmah memilih barangan kemas itu.
Sebutir berlian yang dibelinya bernilai AS$27 juta, menurut DoJ.
Seorang individu yang dipercayai penyiasat AS memainkan peranan penting dalam skandal 1MDB – dan dikatakan membantu pembelian berlian untuk Rosmah- menganggarkan nilai koleksinya mencecah AS$350 juta.
Beberapa kediaman dikaitkan dengan Najib diserbu bulan lepas, hasilnya, RM114 juta wang tunai pelbagai mata wang ditemui, turut dirampas adalah barangan kemas, jam tangan dan 284 bag berjenama mewah dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu, ada antaranya masih dalam kotak asal tidak pernah dibuka, kata polis.
Sumber mengatakan ketika pasangan itu berpindah ke rumah mereka di Kuala Lumpur, beberapa saudara keluarga merasakan kehidupan pasangan itu terlalu mewah untuk orang politik, tetapi suara itu didiamkan selepas Rosmah bengang kehidupannya dipersoal.
Rosmah yang menggunakan gelaran wanita pertama Malaysia [FLOM] itu juga menggunakan ruang pejabat dan mempunyai kakitangan di Jabatan Perdana Menteri, beliau juga mempunyai pengaruh kuat ke atas Najib yang cepat mengalah, kata sumber rapat dengan pasangan itu.
Ketika Lee Kuan Yew, bapa pengasas Singapura bertemu Najib pada 2009, Lee turut meminta Rosmah untuk hadir sama, memberitahu media Singapura, beliau mendengar “cerita” pasangan itu bekerja sebagai satu pasukan.
Seorang ahli perniagaan Malaysia yang bergantung kepada Rosmah untuk pembaharuan lesen kerajaan tahunannya berkata sebilangan bag tangan Hermes Birkin yang dirampas polis di kediaman Najib-Rosmah adalah hadiah daripadanya.
Hubungan dan kemahiran dimiliki Jho Low dikatakan antara punca dia jadi orang kepercayaan Rosmah Mansor dan Najib Razak. Low yang kini jadi buruan dianggap pihak berkuasa Amerika Syarikat dalang utama rompak harta negara 1MDB.
Sumber yang rapat dengan Rosmah mengatakan keinginan mendapat pengiktirafan antarabangsa juga menyebabkan Rosmah melakukan pakatan dengan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low hampir 10 tahun lalu. DoJ mendakwa Low adalah dalang utama rompakan 1MDB.
Low menafikan sebarang salah laku. Malaysia sudah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya. Dia dipercayai berada di China.
Keluarga Low memiliki hartanah berhampiran kediaman Najib di London, dan dia juga berkawan baik dengan keluarga ternama negara Teluk ketika belajar di Wharton School, University Pennsylvania. Rosmah yang memandang tinggi keluarga diraja Arab Saudi terpesona dengan hubungan dimiliki Low dan melantiknya jadi orang kepercayaan.
Pada 2009, Low membantu menubuhkan 1MDB yang bermatlamat menggunakan dana negara untuk memacu pembangunan. Najib memberikan Low kuasa besar mengendalikan 1MDB, menurut mereka yang pernah bekerja di situ.
Low menubuhkan sebuah syarikat palsu, Blackrock – tiada kaitan dengan syarikat terkenal AS – untuk menyembunyikan dana diseleweng dari 1MDB, kata penyiasat.
Dia menggunakan syarikat palsu itu untuk membeli barangan kemas Rosmah, berjenaka kepada kawannya yang “ rock/batu” adalah untuk berlian dan “black/hitam” untuk jiwa bekas wanita pertama Malaysia itu. Sumber mengatakan Low turut menyelia urusan kapal dan pesawat persendirian untuk kegunaan Rosmah.
Ketika siasatan ke atas 1MDB mula tercetus pada 2015, Rosmah mendesak Pejabat Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan mendakwa kekayaan Najib selari dengan “legasi aset keluarga”, menurut sumber yang mengetahui kejadian itu.
Empat adik lelaki Najib kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan ayah mereka, Perdana Menteri Abdul Razak Hussein adalah seorang pemimpin yang bersederhana dan tidak banyak mewariskan harta kepada anak-anaknya.
Rosmah bengang dengan kenyataan itu, mendakwa adik beradik Najib akan jadi punca kejatuhan abang mereka, kata seorang ahli keluarga.
Ketika siasatan terhadap 1MDB giat berlaku di AS, Singapura, Switzerland dan banyak lagi negara seluruh dunia, tidak banyak kemajuan siasatan berlaku di Malaysia apatah lagi selepas beberapa pegawai tinggi kerajaan yang terlibat menyiasat disingkir termasuklah peguam negara, pegawai kanan perisikan polis dan ketua agensi pencegahan rasuah negara.
Dan Low secara sembunyi-sembunyi menuding jari ke arah Rosmah, kata seorang rakannya.
Kata Low: “Dia (Rosmah) peminat tegar barangan kemas. Dari mana dia dapat duit?” –
Sumber ihsan The Malaysian Insight
0 Comments