Pelajar cemerlang tanpa dokumen tak sabar masuk kelas

Pelajar cemerlang tanpa dokumen tak sabar masuk kelas

Pelajar cemerlang tanpa dokumen tak sabar masuk kelas
Tiga bulan lalu, peguam N Surendran membangkitkan pahit getir beberapa individu yang tidak mendapat kerakyatan, termasuk seorang pelajar cemerlang STPM Roisah Abdullah.
Roisah menjadi pelajar terbaik di sekolahnya dengan keputusan 3A dan 1B, namun Surendran berkata masa depannya malap kerana tidak berstatus warganegara.
Bagaimanapun sejak kisah itu dibangkitkan ke pengetahuan umum, nasibnya bertukar dan dia kini bakal memulakan kelasnya di sebuah universiti swasta minggu depan.
Ketika dihubungi, dia berkata kini sedang melalui minggu orientasi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).
"Program orientasi hari ini untuk mengenali universiti dan membawa kami sekitar Kuala Lumpur. Saya seperti tiba-tiba masuk bandar.
"Ia menyeronokkan - ada perbincangan tentang kehidupan di kampus dan hal-hal berkaitan.
"Ya (saya teruja untuk memulakan kelas). Ini kali pertama saya ke universiti maka saya teruja untuk belajar dan memulakan kehidupan universiti," katanya.
Kegembiraan Roisah jelas terzahir melalui suaranya ketika perbualan telefon dengan Malaysiakini ini.
Pada sidang media 12 Mac lalu, Surendran berkata Roisah lahir di sebuah klinik di Klang. Ibunya warga asing manakala identiti bapanya tidak diketahui. Dia kemudian diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu.
Dia pernah beberapa kali memohon kewarganegaraan, kali terakhir pada Mac 2013. Dia akhirnya menerima jawapan menerusi surat bertarikh 16 Januari 2018 yang menyatakan permohonannya ditolak.
Surendran berkata, mengikut undang-undang Rosiah sepatutnya mendapat taraf warganegara secara automatik kerana lahir di negara ini.
Dalam sidang media sama, Roisah berkata dia telah membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian di universiti awam menerusi sistem Unit Pusat Universiti (UPU), tetapi tidak menaruh apa-apa harapan.
Selepas kisahnya dibangkitkan, dia berkata mendapat tawaran UniRazak dan University of Reading Malaysia, walaupun tidak membuat permohonan di kedua-duanya.
"Saya terkejut selepas dapat tawaran dari dua universiti swasta. Saya hanya mahu menyelesaikan masalah kerakyatan untuk memohon dengan UPU. Selepas berita saya disiarkan, saya terima panggilan daripada UniRazak dan University of Reading," katanya.
Dia kemudian memilih UniRazak yang menawarkannya ijazah sarjana muda perakaunan dengan biasiswa penuh dan elaun bulanan.
Menurut laporan Bernama Mac lalu, Roisah juga ditawarkan tempat di Universiti Utara Malaysia.
Walaupun gembira untuk memulakan kehidupan kampus, Roisah berkata ada satu perkara yang lebih mengujakannya - untuk mendapat status warganegara Malaysia.
"Peguam saya beritahu ia bukan masalah besar dan akan ada berita baik.
"Sebenarnya, saya lebih teruja dengan IC (berbanding memulakan kelas) kerana walaupun di universiti swasta, anda tetap perlukan IC," katanya lagi.
Peguam Latheefa Koya yang turut mewakili Roisah mengesahkan mereka dalam usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan Roisah.

Post a Comment

0 Comments