PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendapat perhatian selepas bertindak memberhentikan sidang media yang dilakukannya untuk seketika bagi memberi laluan kepada azan berkumandang.
Ketika itu, sidang media diadakan pada lewat tengah hari Selasa semasa masuknya waktu Zohor.
“Tunggu, kita tunggu dulu sampai habis azan,” katanya kepada pemberita secara ringkas di Kementerian Kewangan di Putrajaya.
“Kita tunggu dulu sehingga selesai azan,” ulang Guan Eng sebelum sidang media senyap seketika bagi menghormati azan.
Rakaman sidang media tersebut tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang memuji tindakan Guan Eng kerana menghormati azan.
Sementara itu, pegawai media Guan Eng, Rahmah Ghazali menerusi statusnya di Facebook berkata, sidang media tersebut secara kebetulan berlaku sedikit lewat.
“Sidang media kali ni lewat sikit dan kebetulan azan zohor berkumandang ketika beliau memberikan kenyataan media (sebab surau ada tazkirah hari ni jadi mereka guna pembesar suara).
“Aku yang dalam bilik tu dah panik… terus berlari keluar beritahu pengawal kalau boleh perlahankan sedikit suara azan tu.
“Lepas masuk balik bilik sidang media, semua orang, termasuk Lim Guan Eng, tengah senyap tanda menghormati azan. Aku terus terkedu,” ujar Rahmah.
0 Comments