Malang nasib seekor anjing yang dianiaya oleh pemiliknya yang tidak bertanggungjawab merantai lehernya dengan rantai besi pendek di hadapan rumah, menyebabkan haiwan itu tercekik.
Dalam kejadian Lucena, wilayah Calabarzon, Filipina itu, anjing malang itu bukan sahaja kehausan dek dijemur di bawah cahaya matahari terik, malah terseksa dalam keadaannya yang tidak dapat duduk mahupun baring dengan sempurna.
Seorang wanita yang bimbang melihat keadaan anjing itu, cuba memaklumkan perkara itu kepada tuan empunya haiwan. Tetapi usahanya sia-sia apabila pemiliknya enggan mengambil peduli dan membiarkan saja anjingnya dalam keadaan terseksa seperti itu.
Nemie Zaballero Caruruca, individu yang merakam video itu dari tingkat atas kediamannya berkata, sebelum ini dia sendiri pernah cuba melepaskan anjing tersebut. Namun, kolarnya telah dikunci dengan mangga.
Apa yang dia mampu lakukan hanya meletak bekas tong untuk dijadikan sebagai tempat bergantung sementara dan membasahkan anjing itu yang kepanasan.
Menurut Nemie, anjing itu dirantai oleh pemiliknya dalam keadaan seperti itu setiap hari.
"Ini anjing jiran kami. Saya tak tahu bagaimana dia tergamak memperlakukan anjingnya seperti ini di bawah cuaca panas terik ini setiap hari. Kalau kamu tidak mampu menjaga haiwan ini, berikan saja kepada orang lain," tulis Nemie pada kapsyen video.
0 Comments