PENEROKA Rancangan Tanah Felda Perasu, Gua Musang, menghadapi kesulitan menghantar jenazah ke tanah perkuburan setiap kali berlaku kematian kerana tidak mempunyai van jenazah.
Keluarga terbabit hanya meminta ihsan penduduk yang mempunyai lori untuk membantu menghantar jenazah ke tanah perkuburan terletak di rancangan tanah berkenaan.
Sehubungan itu, peneroka, Mohd Zain Hassan, 61, merayu individu berkemampuan atau agensi kerajaan supaya dapat menyumbangkan van jenazah untuk rancangan tanah itu.
Mohd Zain mengakui keadaan akan bertambah sulit untuk menghantar jenazah ke tanah perkuburan apabila hujan menyebabkan keranda jenazah basah.
Katanya, kebanyakan rancangan tanah lain sudah ada van jenazah atas sumbangan pelbagai pihak, tetapi Felda Perasu masih belum mempunyai walau satu van.
"Kami peneroka Felda Perasu rasa sedih juga kerana setiap kali ada kematian, terpaksa meminjam lori kayu milik peneroka untuk hantar jenazah ke tanah perkuburan," katanya.
Ismail Ibrahim, 59, pula berkata, jenazah menantunya yang meninggal dunia baru-baru ini juga terpaksa dihantar ke tanah perkuburan menggunakan lori ihsan peneroka.
Dia berkata, tak dapat dibayangkan sampai bila peneroka rancangan tanah itu terpaksa berdepan dengan masalah berkenaan.
"Kini sudah 30 tahun rancangan tanah terbabit dibuka, namun van jenazah yang menjadi keperluan peneroka belum disediakan.
"Sebenarnya perkara itu boleh diselesai pihak pengurusan tertinggi Felda kerana agensi itu adalah yang terbesar di negara ini, tetapi malangnya tidak mengambil berat soal perkara itu," katanya.
0 Comments