POLIS belum mengenal pasti haiwan yang meninggalkan kesan gigitan pada kain kafan jenazah bayi yang hilang di Kulim, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi berkata, haiwan terbabit mungkin biawak atau anjing namun masih belum boleh dipastikan lagi.
Katanya, pihaknya sudah menghubungi pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontingen Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam dengan bantuan imam masjid terbabit.
"Hasil pemeriksaan tidak menunjukkan tanda positif dan dipercayai adalah daripada tindakan binatang kerana terdapat kesan gigitan pada kain kafan jenazah terbabit.
"Sebelum kejadian itu, kawasan terbabit hujan dan berkemungkinan menyebabkan tanah mendap sehingga haiwan yang datang ke situ mengoreknya dan membawa lari jasad bayi itu," katanya.
Ahmad Nasir berkata, bayi perempuan itu difahamkan meninggal dunia akibat rotavirus dan setakat ini jasadnya masih belum ditemui.
Tanah perkuburan itu juga berhampiran dengan kawasan hutan berbukit yang berkemungkinan dibawa masuk ke dalam hutan menyebabkan sukar untuk menemui mayat bayi malang itu.
Sementara itu, penggali kubur di tanah perkuburan itu yang enggan dikenali berkata, kehilangan jasad bayi itu hanya diketahui orang awam selepas melihat kain kafan berada di atas tanah perkuburan selain mendapan di kawasan kubur, 7 malam kelmarin.
"Ketika kejadian itu, kebetulan ada majlis tahlil yang diadakan di masjid terbabit yang turut dihadiri ahli jawatankuasa (AJK) masjid.
"Orang ramai kemudian memaklumkan kepada AJK sebelum mereka ke kubur itu dan terkejut melihat kesan mendapan dan kain kapan berselerakan," katanya.
Katanya, AJK masjid dan orang ramai kemudian menggali semula kubur itu untuk mencari jenazah bayi terbabit namun gagal menemuinya.
"Mereka (AJK) masjid kemudian meminta waris jenazah bayi itu membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Ini adalah kejadian kali pertama terjadi di kawasan ini kerana sebelum ini perkara seperti ini tidak berlaku," katanya.
"Kami masih tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.
0 Comments