RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki berjalan bersama seorang budak perempuan berusia enam tahun di laluan gelap, tular di media sosial.
Lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak malang tersebut sebelum membunuhnya dengan kejam.
Mayat kanak-kanak itu ditemui di Gwalior, India, selepas dia dilarikan suspek dari sebuah majlis perkahwinan yang dihadiri ibu bapanya.
Menurut polis, wajah kanak-kanak itu mengalami kecederaan teruk akibat dihentam dengan batu.
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki tersebut menarik perhatian kanak-kanak itu dengan sesuatu sebelum membawanya ke sebuah lorong gelap kira-kira pukul 11.30 Khamis malam.
Mangsa dan suspek dilihat berjalan beriringan sebelum gadis itu dilihat cuba melarikan diri.
Suspek turut dirakam kembali secara solo oleh kamera yang sama kira-kira pukul 2.30 pagi.
Menyedari kehilangan kanak-kanak itu, ibu dan bapa mangsa segera membuat laporan polis.
Selepas pencarian selama beberapa jam, polis menjumpai mayat kanak-kanak itu di sebuah kawasan lapang yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi majlis perkahwinan yang dihadiri ibu dan bapa mangsa.
Polis menahan suspek yang dikatakan seorang pekerja katering yang diupah untuk majlis perkahwinan tersebut berdasarkan rakaman CCTV.
Jurucakap polis, Dharmraj Meena berkata suspek menggunakan batu besar untuk memukul muka mangsa sehingga mati.
"Buat masa ini kami berjaya menahan seorang lelaki yang juga kakitangan katering. Kami sedang menyoal siasat suspek untuk mendapat petunjuk baharu," katanya.
0 Comments