Arwah neneknya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan tidak seberapa arwah datuk, Abdul Mutalib Rosithullah yang hanya bekerja sebagai juru dandang di hospital berkenaan.

“Saya pernah menemani arwah opah pergi mencuci sebesen besar pakaian jiran di kuarters. Walaupun dia nampak keletihan, dia hanya tersenyum sahaja membuat kerja-kerjanya,” kata pelakon berusia 45 tahun ini mengimbas kenangan lalu.

 Malah masih segar dalam ingatan Zarina apabila mereka sekeluarga kerap kali terpaksa menikmati nasi berlaukkan garam, gula atau susu semasa zaman kanak-kanaknya.

Tidak pernah merungut dengan juadah yang disediakan arwah nenek, tambah Zarina, dia juga tidak meminta lauk pauk ‘mahal lagi mewah’ asalkan makanan itu mengenyangkan, sudah memadai buatnya.

“Kalau nak makan lauk pauk seperti ayam atau daging setiap hari, jangan haraplah. Hanya pada acara-acara tertentu saja kami sekeluarga dapat makan yang sedap sebegitu.
“Justeru kalau ada lauk sedap macam itu, kami sekeluarga berebut. Masa itulah akan ada yang menyembunyikan lauk di dalam timbunan nasi,” katanya.

Dalam pada itu, Zarina juga tidak dapat melupakan ketegasan arwah datuknya kerana lelaki itu seorang yang sangat mementingkan disiplin dan mengawal ketat tingkah lakunya.
 Mengakui gentar dengan arwah datuk yang terkenal dengan sikap pemarahnya, Zarina memberitahu, kerana itu dia amat berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

“Arwah datuk sangat menjaga anak perempuan. Dia tidak suka kami berkawan dengan lelaki. Dia takut kalau ada apa-apa yang tidak baik berlaku.

“Jadi dari kecil sampai berusia belasan tahun, saya tidak dibenarkan berkawan dengan mana-mana lelaki.