google-site-verification: google49101574a282e593.html

Sabtu, 19 Ogos 2017

Hanez Suraya Bingung Semakin Kurus

Loading...
Hanez Suraya Bingung Semakin Kurus

KUALA LUMPUR: Pelakon Hanez Suraya, mengakui, pernah tertekan dan kebingungan apabila berat badannya berterusan merosot selepas melahirkan anak sulung, Putri Aleesya.


Isteri kepada Romie Razin Adilha itu berkata, berat badannya kini lebih ringan berbanding sebelum mendirikan rumah tangga hingga sering berdepan pertanyaan mengenai susuk tubuhnya yang semakin kurus.


“Ramai yang mengambil berat apabila bertanya mengapa saya begitu kurus. Berat badan saya kini di bawah 50 kilogram. Saya tidak melakukan apa-apa rawatan pelangsingan badan, tidak juga mengambil ubat kurus, malah jarang bersenam.

“Ia mula menurun selepas selesai tempoh berpantang. Pada mulanya, saya sangka itu perkara biasa tetapi apabila berat semakin merosot, saya mula resah,” kata pelakon yang mencipta populariti selepas membintangi drama Love You Mr Arrogant.


Hanez yang tidak lagi aktif berlakon berkata, disebabkan terlalu tertekan dan risau, beliau pernah menangis apabila kebanyakan baju dalam simpanannya semakin longgar serta tidak lagi cantik apabila disarungkan.

“Selama ini, saya memakai baju saiz M, tetapi kini bertukar XS. Ada seluar yang bersaiz kecil tetapi masih terasa longgar apabila disarungkan.


“Pelbagai aktiviti yang saya lakukan untuk menaikkan semula berat badan, termasuk makan dalam jumlah lebih besar.

“Semua usaha itu bagaimanapun tidak berhasil. Alhamdulillah, biarpun semakin kurus, saya tidak berdepan apa-apa masalah kesihatan,” katanya.

Hanez yang kini menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan tudung di bawah jenama Everyday KL itu juga bersyukur, rumah tangganya terus bahagia dan dipenuhi kasih sayang.

Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie pada Mac 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.-Bharian

Tiada ulasan:

>