Saturday, 1 July 2017

NORMADIAH…SENIWATI NEGARA YANG SAMPAI KE AKHIR HAYAT TIDAK PEROLEH KERAKYATAN MALAYSIA

loading...
NORMADIAH…SENIWATI NEGARA YANG SAMPAI KE AKHIR HAYAT TIDAK PEROLEH KERAKYATAN MALAYSIA

Komitmen jitu kepada profesionnya sebagai pelakon harus dicontohi oleh setiap pelakon generasi baru.
Begitu juga dengan kesetiaannya yang terus menyala dalam bidang seni sehingga ke nafas yang terakhir menunjukkan betapa minat Allahyarham Normadiah tidak pernah luntur.
Kesemuanya itu kini tiada lagi. Tiada lagi wajah bintang yang cukup dikenali kerana watak-watak garang untuk mencurahkan pengalamannya kepada pelakon generasi muda.
Normadiah pergi menemui Ilahi pada pukul 2.15 petang Rabu di kediamannya di Subang Jaya kerana sakit apendiks kira-kira 17 tahun lalu.
Pemergian seniwati itu sememangnya suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada suami tersayang, pelakon veteran Aziz Jaafar dan anak-anaknya, bahkan juga dunia seni tanah air turut merasakan kehilangan ‘sebutir bintang’.
Dilahirkan pada 14 Ogos 1933, Allahyarham Normadiah lahir dalam keluarga penganut agama Kristian dengan nama asal Edith Sumampo dan berasal dari Menado, Sulawesi Selatan.
Ketika usianya mencecah 18 tahun, beliau memeluk agama Islam dengan nama Norma Abdullah.
Sebelum bergelar pelakon, Allahyarham Normadiah lebih dulu meraih pengalaman seni melalui kumpulan bangsawan dan aktif menari.
Allahyarham mula aktif berlakon filem apabila bangsawan semakin suram dan beliau mencuba nasib di Singapura dengan bekerja di Happy World.
Normadiah mencuba nasib dalam filem menerusi filem Seniwati arahan A.R Tompel pada tahun 1953 dan A.R Tompel juga bertanggungjawab menukar nama Norma Abdullah kepada Normadiah.
Bermula dari detik itu, bintang Normadiah semakin mendapat perhatian. Satu demi satu filem lakonan Allahyarham mendapat perhatian umum.
Antara filem lakonan Allahyarham yang meninggalkan kesan kepada penonton pastinya Lela Manja di mana Normadiah menjadi ibu tiri yang bengis.
Lakonannya dalam filem tersebut menyebabkan ramai peminat setia filem Melayu turut terbawa-bawa membencinya, sedangkan pada hakikatnya Normadiah merupakan seorang wanita dan ibu yang cukup penyayang dan mudah didekati.
Tidak kurang pula filem Semerah Padi. Beliau berjaya mempamerkan lakonan yang cukup cemerlang sebagai isteri yang curang terhadap suaminya.
Pun begitu, ada juga yang pernah bersimpati apabila menonton kembali filem Si Tanggang di mana Normadiah menjadi ibu malang apabila anaknya Si Tanggang (lakonan Datuk Jins Shamsuddin), yang berkahwin dengan puteri raja sehingga menjadi kaya-raya, enggan mengaku dia sebagai ibunya.
Selain itu, lebih 100 filem lain (antaranya Panggilan Pulau, Bujang Lapok dan lain-lain) dibintanginya selain turut merakamkan suara dalam 50 buah lagu.
Seniwati ini turut mencipta rekod kerana sejarah tersendiri sepanjang bergelar anak wayang. Beliau merupakan seorang pelakon serba boleh dan menjiwai setiap watak dengan cukup berkesan sekali.
Tawarkan apa sahaja watak, baik yang menyayat hati sehinggalah kepada yang bengis, Normadiah tidak pernah mengecewakan.
Beliau juga pernah berganding bahu dengan Allahyarham P. Ramlee menubuhkan kumpulan Panca Sitara pada tahun 50-an.
Sumbangan beliau yang sukar untuk dilupakan oleh segelintir daripada masyarakat Malaysia pula ialah apabila beliau turut bersama-sama rombongan artis lain berlepas ke Congo pada tahun 1961 untuk menghiburkan anggota tentera Malaysia yang berkhidmat di sana.
Apa yang pasti kehilangannya sukar dicari ganti. Perginya Normadiah melenyapkan segala watak ceria dan watak garang yang pernah mewarnai dunia seni tanah air.
Pemergian Normadiah juga membawa sama perasaan terkilannya kerana selepas lebih 30 tahun memohon taraf kerakyatan Malaysia, beliau masih tidak memperolehnya sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.
Semoga roh Allahyarham akan dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
loading...
kongsikan artikel ini

0 comments: