Friday, 14 July 2017

Kuasa Doa Dalam Keluarga Besar Norman Hakim

loading...
Kuasa Doa Dalam Keluarga Besar Norman Hakim

Aktor kacak dan duta produk kesihatan, Norman Hakim ini bukan sahaja bahagia dengan kehidupan bersama isteri tersayang, Memey Suhaiza dan dua anak mereka, Muhammad Darwisz Hakim, 4, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2, malah kebahagiaan tersebut turut dikongsi bersama tiga anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Abby Abadi, Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, serta Maria Danisha Hakim, 9.


Menelusuri kisah rumah tangga pasangan merpati sejoli ini, nyata mereka punyai resipi tersendiri dalam mencorak syurga kecil mereka.

Norman dalam sesi temu bual bersama penulis turut berkongsi rahsia bagaimana mengekalkan kebahagian serta hubungan baik dengan bekas isterinya, Abby Abadi.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagia dan bersyukurnya saya dengan nikmat dan rezeki yang dikurniakan olehNya. Saya juga percaya apa jua yang berlaku adalah ketentuannNya.
Alhamdulillah, jika kita bersabar dan reda dengan segala dugaan, InsyaAllah Dia akan membalas dengan ganjaran yang setimpal.

 Segala percaturan yang Dia lakukan cukup cantik dan dalam masa yang sama, kita kena berpegang teguh pada doa.

“Jangan pandang remeh pada senjata kita yang satu ini. Walaupun kita tidak berdoa secara langsung,tetapi gerak hati atau nawaitu kita betul-betul ikhlas dan berserah pada Yang Maha Esa, maka  ia boleh jadi sebagai satu doa.

Ukhuwah dalam keluarga adalah kurniaan dari Allah swt. Ia bukan sekadar untuk kita  sebagai ibu bapa semata-mata , sebaliknya untuk anak-anak jua.

Kami mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang baik. Kami mahu anak-anak bahagia dan hidup dalam penuh kasih sayang. Jujur nya keluarga kami memang penuh dengan kasih sayang,”ungkap Norman Hakim lagi.

Amalkan konsep bersyukur

Mengulas mengenai didikan yang diterapkan kepada anak-anak sehingga membolehkan dua anaknya,  Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim memasuki sekolah tahfiz sejak mereka berusia 10 tahun, akui pelakon berusia 41 tahun ini, segalanya berlaku dengan aturan Yang Maha Esa.

“Kadang-kadang apa yang terbaik kita lakukan Allah beri yang lebih baik. Jadi, kita kena amalkan konsep bersyukur dalam hal ini.

"Jujurnya, perasaan saya bercampur baur antara gembira dan hiba kerana fasa pertama di mana nak lepaskan mereka duduk di asrama bukan mudah. Memandangkan sejak kecil mereka sudah biasa berada depan mata saya. Jadi apabila nak masuk asrama itu menjadi cabaran buat saya.

“Tetapi apabila mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut, saya perlu berdepan dengan fasa lain pula di mana terpaksa membiarkan mereka berdikari sendiri dan dalam masa yang sama berjauhan dengan kami.

Jadi saya berserah pada Allah untuk menjaga anak kami dan  berikan yang terbaik untuk nak dan keluarga kami. Sementelah Danish bakal terbang ke Turki pada Oktober depan untuk mengambil peperiksaan dan menyambung pelajaran selama setahun di sekolah Mekke Quran Kursu di Isparta, Turki.

Sukar untuk saya ungkapkan perasaan saya dengan situasi ini. Mungkin apabila sampai masa tersebut, baru saya boleh ceritakan situasi yang saya alami.

“Setahun Danish akan berada di  sana sendiri berdikari tanpa ditemani saudara mara atau famili terdekat. Hanya ditemani kawan-kawan dan itu yang saya tidak dapat bayangkan situasi tersebut. 400 pelajar dari seluruh dunia berkumpul dan saya tahu Danish boleh lakukannya kerana boleh nampak peningkatan kematangan dari sehari ke sehari. 

Walau di campak ke mana sekalipun dia boleh berdikari dan boleh sesuaikan diri dengan keadaan.

“Bayangkan ketika umur 10 tahun, kami tidak menyangka Danish boleh mengharungi cabaran waktu awal-awal memasuki sekolah tahfiz,” jelas Norman lagi yang memutuskan untuk menghantar kesemua anaknya ke sekolah tahfiz pada usia 10 tahun.

Malah, anak keempatnya Muhammad Darwisz Hakim yang berusia empat tahun telah mula didedahkan dengan sistem pelajaran tahfiz di Tadika yang dia belajar kini.

Duduk semeja berbincang
Norman yang merupakan duta minuman kesihatan Ephyra bagi tahun keempat turut dilantik sebagai duta syarikat pengurusan perkahwinan, Mahligai Impian mengakui sebagai ayah, dia hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga.

“Soal memilih bidang agama, ini semua kuasa doa. Apabila kita berdoa sentiasa memohon untuk dikurniakan kebaikan baik untuk kita dan juga penyambung legasi keluarga.

Apa jua keputusan dan benda baik yang berlaku semuanya datang dari atas sana dan Allah menggerakkan kami untuk buat keputusan dan ia keputusan bersama dengan Abby, saya dan Memey. Kami duduk semeja dan berbincang untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

“Jika sebelum ini ibu bapa berikan yang terbaik untuk kami, jadi kini tiba masa kami pula untuk berikan yang lebih baik untuk anak-anak.

Jadi perkara asas adalah pegangan agama itu penting kerana daripada situ lahirnya nilai-nilai kerohanian dalam diri kita dan dapat beri sepenuh pengisian kepada anak-anak.

Jadi secara tidak langsung selepas ini jika mereka sudah besar dan membuat keputusan sendiri, insya-Allah apa jua bidang yang mereka pilih, jati diri tetap kuat dalam diri,” Ulas Norman lagi.
loading...
kongsikan artikel ini

0 comments: