Monday, 3 July 2017

Jeritan Terakhir Wanita Hamil

loading...
Jeritan Terakhir Wanita Hamil

KEPERITAN ditanggung Abdul Mukmin Ahmad, 35, suami Siti Nor Munirah Abu Bakar, 31, hanya dia dan Tuhan yang tahu kerana hanya mampu melihat isterinya maut dalam kebakaran di Jalan Kepong, Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, hari ini.
Dia sedang bekerja di bengkel membaiki kusyen milik abangnya tidak jauh dari rumah itu sebelum bergegas ke kediaman terbabit selepas dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
Namun, api sudah marak menyebabkan Abdul Mukmin hanya mampu melihat rumah musnah bersama isterinya yang dinikahi empat bulan lalu, terperangkap.
Pekerja bengkel membaiki kusyen berkenaan, Ridhwan Rajak, 30, berkata sedang bekerja bersama Abdul Mukmin apabila pemilik bengkel terbabit, Abdul Hakam, 40-an, datang memaklumkan rumah keluarganya terbakar.
"Abdul Hakam meminta pekerja bengkel serta suami mangsa mengambil tangga untuk menyelamatkan Siti Nor Munirah tetapi tidak berjaya kerana api sedang marak.
"Saya sempat mendengar jeritan mangsa tetapi tidak berdaya membantu. Air paip yang dipancutkan ke rumah itu juga tidak mampu memadamkan kebakaran," katanya.
Sementara itu, ibu mentua dan adik ipar mangsa terpaksa mengekori jentera bomba untuk tiba di rumahnya selepas mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan pulang.
Minah Endut, 62, berkata dia bersama anaknya, Rabiatul Adawiyah Ahmad, 25, terpaksa mengikut jentera bomba untuk cepat tiba.
“Saya dan anak perempuan ke sebuah pasar raya kira-kira 3 petang untuk bertemu seseorang bagi membayar wang majlis kenduri kahwin dan menyambut menantu.
"Bagaimanapun, kira-kira 4 petang saya menerima panggilan telefon beritahu rumah terbakar," katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, setibanya di rumah, dia mendapati rumah papan dua tingkat berkenaan sudah hangus terbakar.
"Saya kemudian menyedari menantu tiada di pekarangan rumah sebelum meminta anggota bomba mencarinya dan mereka menemui mayatnya yang rentung di tingkat bawah rumah.
"Ketika kejadian, seorang lagi anak saya (Abdul Muklis Ahmad, 27) sedang tidur tetapi berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah terbakar," katanya.
Menurut Minah, dia mengadakan majlis sambut menantu pada Rabu lalu selepas mangsa bernikah dengan Abdul Mukmin pada Mac lalu bersama majlis perkahwinan seorang lagi anaknya.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Siti Nor Munirah yang berasal dari Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu ditemui rentung dipercayai selepas terperangkap dalam rumah dua tingkat berkenaan.
Mayatnya ditemui anggota bomba kira-kira 6 petang dan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.
loading...
kongsikan artikel ini

0 comments: