Sunday, 2 July 2017

Ibu Ayah Sering Bergaduh,Aidilfitri Kufli Tiada Makna

loading...
Ibu Ayah Sering Bergaduh,Aidilfitri Kufli Tiada Makna

IBU bapa Kufli sering bergaduh dan bermasam muka sejak dia masih kecil. – Gambar hiasan


KUFLI (bukan nama sebenar), sibuk membersih­kan ruang sebuah mad­rasah di Selangor yang menempatkan golongan pelarian Rohingya. Ini merupakan tahun kedua dia mengambil kesempatan sempena lebaran untuk melakukan kerja amal itu.
Berbeza daripada umat Islam lain, pemuda berusia 29 tahun itu lebih bahagia menyambut Aidilfitri bersama golongan kurang bernasib baik. Ini kerana, dia berang­gapan perkara itu memberi erti sebenar Syawal kepada dirinya.
Kufli mengakui, walaupun menjalani ibadah puasa seperti umat Islam lain, dia tidak teruja me­nyambut Syawal kerana masih dibayangi peristiwa pahit yang pernah melingkar dalam hidupnya.
“Setiap kali hari raya, saya pasti terkenang perceraian yang terjadi antara kedua-dua ibu bapa saya. Hal itu meninggalkan trauma dalam diri sehingga saya jadi tawar hati untuk menyambut leba­ran,” ujarnya menyusun bicara.
Mengimbau kembali kejadian yang berlaku kira-kira lapan tahun lalu, Kufli memberitahu, hubung­an antara ibu dan bapanya mulai renggang ketika dia masih kecil.
Bagaimanapun, punca sebenar di sebalik masalah rumah tangga antara kedua-dua ibu bapanya tidak pernah diceritakan kepada­nya.
“Ibu hanya mengatakan bahawa mereka sudah tidak sehaluan, namun tidak berpisah kerana me­ngenangkan nasib saya dan adik bongsu yang masih kecil serta tidak mengerti apa-apa,” katanya.
Tidur berasingan
Semakin meningkat remaja, anak sulung daripada dua adik-beradik itu menjadi saksi pergolakan rumah tangga kedua-dua orang tuanya.
“Ibu dan ayah memang selalu bergaduh dan bermasam muka. Ayah yang panas baran selalu memukul ibu atas perkara-perkara kecil dan tidak munasabah,” ujar­nya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.
Cerita Kufli, beberapa tahun sebelum kedua-dua ibu bapanya berpisah, mereka sudah berhenti menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
“Saya perasan ayah dan ibu sudah tidak tidur sebilik lagi. Ibu akan tidur di bilik bawah, manakala ayah akan mengunci diri di ­bilik atas.
“Kami tidak pernah makan bersama apatah lagi solat berjemaah. Begitu juga kisahnya di bulan Ramadan. Kalau ada pun masa berbuka puasa bersama, ayah selalu melepaskan kemarahan di meja makan.
“Perkara itu benar-benar membuatkan saya sedih dan kecewa. Saya fikir apa ertinya keda­tangan bulan penuh berkat jika keluarga saya tidak dikurniakan de­ngan kebahagiaan,” tuturnya kesal.
Kekecewaan yang dirasai semakin parah apabila suasana pada hari Raya disambut hambar tanpa solat sunat Aidilfitri dan tradisi bermaaf-maafan.
“Saya masih ingat ibu dimarahi pada pagi raya kerana lambat menghidangkan juadah kepada­nya sedangkan yang me­lakukan kerja memasak dan mengemas hanya ibu seorang.
“Habis pinggan mangkuk pecah dibaling kerana amukannya itu. Hancur hati saya melihat ibu bercucuran air mata mengutip sisa makanan yang jatuh bersepah.
“Kalau ada ahli keluarga atau jiran tetangga datang beraya, sa­yang antara mereka berdua hanya sekadar wayang bagi menutup keretakan hubungan itu,” cerita Kufli.

Seronok beramal
Keretakan rumah tangga kedua-dua ibu bapanya sampai ke kemuncaknya apabila mereka bertengkar lagi beberapa hari sebelum raya tahun 2009 sehingga ibunya dihalau keluar dari rumah pada malam hari raya.
“Saya dan ibu terpaksa bermalam di sebuah hotel tidak jauh dari kawasan perumahan. Ke­esokan harinya, kami pulang untuk melihat keadaan di rumah, namun ibu sebaliknya disambut dengan maki hamun serta kata-kata kesat.
“Bagai orang hilang akal, ayah melafazkan cerai talak satu kepadanya,” kata Kufli.
Jiwa mudanya memberontak dek kerana perceraian itu. Sam­butan Aidilfitri yang mendatang dibiar berlalu pergi tanpa apa-apa pengisian berfaedah.
Dia mengakui bertindak mengikut perasaan selepas menyalurkan rasa tidak puas hatinya dengan melakukan perkara-perkara terlarang seperti minum arak.
“Selepas kejadian itu, saya jadi agak liar. Masa saya banyak dihabiskan dengan berhibur di pusat karaoke atau kelab malam. Ba­yangkan saya lebih suka berparti di disko walaupun pada malam raya,” ujarnya.
Bagaimanapun, pada suatu hari, Kufli terpanggil untuk menyertai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menganjurkan aktiviti kebajikan selepas ternampak ahli-ahlinya memberi makan kepada gelandangan.
“Saya semakin rapat dengan ahli-ahli NGO itu kerana rata-rata mereka juga memiliki kisah hitam serta pengalaman pahit dalam hidup.
“Secara tidak langsung, saya turut menemui kebahagiaan yang dicari selepas seronok dapat berbakti kepada orang yang lebih malang daripada saya. Melihat mereka gembira khususnya pada lebaran sebegini memberi makna begitu mendalam kepada saya untuk menghargai Syawal,” ujarnya.-Agensi

loading...
kongsikan artikel ini

0 comments: