KEMAMAN - Pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108 dilihat terbang rendah di kawasan Kampung Yak Yah, Ibok, di sini, sebelum dilihat berasap.

Saksi kejadian, Hafizuddun Yunus, 32, berkata, dia melihat pesawat itu terbang dalam ketinggian kira-kira  1,000 kaki ketika sedang menunggang motosikal berdekatan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal menghala ke Kampung Ibok.

"Saya terkejut lihat pesawat itu terbang sangat rendah lebih kurang jam 11.30 pagi, deruman enjinnya sangat kuat dan saya lihat ia meluncur ke arah sekitar Hutan Simpan Tasik Buku dan Seri Bandi.
"Terdetik di hati saya pesawat tu mcam nak jatuh. Lepas kelibat pesawat tu makin menghilang saya lihat keluar asap," katanya kepada Sinar Harian.

Pesawat itu berlepas dari  Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11 pagi dan terputus hubungan setengah jam kemudian sebelum dua juruterbang berkenaan ditemui meninggal dunia selepas cuba menyelamatkan diri menggunakan payung terjun kecemasan.
Kedua-dua mangaa ditemui di sebuah kawasan hutan paya di Chukai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, operasi mencari menyelamat digerakkan dalam radius 40 kilometer sekitar Kampung Tak Yah.

"Kesukaran kita adalah untuk menentukan kedudukan pesawat yang  terhempas berkenaan. Kita akan mohon bantuan Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.