Header AD

Nilai segulung ijazah pada hari ini.Setiap Pelajar Wajib Tahu

loading...
loading...
Nilai segulung ijazah pada hari ini

PENYERTAAN dalam aktiviti sukan turut memberi nilai tambah kepada seseorang pelajar IPT ketika mencari peluang pekerjaan. – Gambar hiasan



 SEPTEMBER merupakan bulan yang sangat signifikan dan mendebarkan bagi sebahagian besar masyarakat di Malaysia.
Debaran ini akan lebih dirasai oleh golongan pelajar yang baru sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau program matrikulasi.
Ini kerana pendaftaran baharu untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam negara ini akan bermula pada bulan itu.
Bagi mereka yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian, sudah pasti kegembiraan dan keceriaan akan terpancar jelas pada wajah mereka.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ramai antara mereka yang sudah mula berangan-angan untuk menggenggam segulung ijazah sebaik melangkah masuk ke mana-mana IPT.
Bagaimanapun, setiap daripada mereka harus memahami bahawa segulung ijazah yang diperoleh kelak bukanlah satu jaminan untuk kebahagiaan hidup pada masa hadapan.
Ini adalah disebabkan nilai segulung ijazah pada hari ini sudah jauh berbeza dengan nilainya pada zaman sebelum ini.
Pada hari ini, segulung ijazah hanya berperanan untuk membolehkan seseorang pelajar itu dipilih atau tidak bagi menghadiri temu duga.
Bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pula, pihak majikan akan melihat kepada elemen lain yang sering kali tidak tercatat di dalam transkrip ijazah yang diperoleh pelajar itu.
Oleh itu, sangat penting bagi setiap pelajar untuk mengetahui tiga perkara utama tentang segulung ijazah yang bakal mereka peroleh nanti.
1. Kunci untuk temu duga
Setiap pelajar perlu sedar bahawa segulung ijazah yang diperoleh adalah sangat penting untuk membolehkan mereka dipanggil menghadiri temu duga bagi sebarang jawatan yang dipohon.
Semakin tinggi keputusan akademik yang diperoleh, semakin tinggilah peluang untuk dipanggil bagi menghadiri sesi temu duga itu.
Bagaimanapun, kejayaan dalam sesi temu duga itu pula bergantung kepada sejauh manakah pelajar itu mampu menunjukkan kebolehan mereka dalam pelbagai bidang seperti komunikasi, kepimpinan dan khidmat profesionalisme.
Kehebatan dan kemampuan mereka dalam bidang itu akan meningkatkan lagi peluang untuk mendapatkan jawatan atau pekerjaan yang dipohon.
Ramai dalam kalangan pelajar pada hari ini berpendapat bahawa dengan memiliki keputusan akademik yang baik, mereka pasti akan memperoleh pekerjaan yang diidamkan.
Namun, realitinya pada hari ini sudah berubah. Hanya dengan memiliki segulung ijazah yang baik tanpa sebarang kemahiran insaniah, mereka sebenarnya berhadapan dengan kesukaran untuk bersaing dalam alam kerjaya.
Inisiatif daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi menerusi pelaksanaan Intergrated Commulative Grade Point Average atau iGCPA adalah langkah yang tepat untuk memastikan ijazah yang diperoleh pelajar bukan sahaja mampu mempamerkan kecemerlangan akademik turut mencerminkan kehebatan pelajar itu dalam kemahiran lain.
2. Kemahiran insaniah
Kemahiran insaniah atau softskills merupakan elemen utama yang dilihat oleh majikan pada hari ini.
Antara kemahiran insaniah yang amat diperlukan oleh majikan ialah komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah selain kerja berkumpulan.
Kemampuan seorang pelajar mempamerkan kemahiran insaniah ini kepada bakal majikan semasa proses temu duga dijalankan mampu untuk membolehkan mereka mendapatkan jawatan atau pekerjaan yang ditawarkan.
Oleh itu, setiap pelajar perlu memastikan komponen kemahiran insaniah ini dapat dimiliki sebelum mereka menamatkan pengajian di universiti.
Kemahiran insaniah ini boleh didapati melalui pelbagai aktiviti di luar bilik kuliah seperti aktiviti kokurikulum, persatuan, seminar dan badan beruniform.
3. Nilai tambah
Selain kemahiran insaniah, majikan juga seringkali melihat nilai tambah yang dimiliki oleh setiap calon sebelum mereka dipertimbangkan untuk jawatan yang ditawarkan.
Antara nilai tambah yang diinginkan oleh majikan pada hari ini ialah sijil penyertaan atau pengiktirafan yang diperoleh oleh pelajar serta bidang bukan akademik.
Aktiviti dalam pertolongan cemas, selam skuba dan kesukarelawan adalah antara contoh bidang yang boleh disertai oleh pelajar untuk tujuan mendapatkan sijil berkenaan.
Kursus yang memberikan sijil seperti ini boleh disertai melalui program atau bengkel yang dianjurkan oleh badan dan agensi dari dalam dan luar negara.

KEMAHIRAN insaniah boleh didapati melalui pelbagai aktiviti di luar bilik kuliah. – Gambar hiasan


Rumusan
Memang tidak dinafikan bahawa segulung ijazah itu sangat penting dalam menembusi pasaran kerjaya pada hari ini kerana individu yang memilikinya sering dipandang tinggi oleh masyarakat.
Namun, anggapan bahawa mereka yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang baik mudah untuk mendapatkan jawatan yang tinggi sudah tidak boleh dipakai lagi.
Ini disebabkan selain cemerlang dalam akademik, majikan juga akan melihat kemampuan seseorang atau calon di luar daripada kemampuan akademik terutamanya dalam bidang kemahiran insaniah dan nilai tambah yang dimiliki.
Kedua-dua elemen utama ini tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah. Ia hanya boleh dimiliki sekiranya seseorang pelajar itu mengaktifkan diri dalam persatuan, kelab, badan beruniform dan aktiviti-aktiviti kolej, universiti serta negara.
Justeru, kepada semua pelajar yang akan mendaftar di mana-mana IPT di dalam negara pada bulan September ini, mereka perlu mempersiapkan diri untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang sama ada akademik serta bukan akademik.
Hanya dengan memiliki semua elemen ini sahaja boleh membantu mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup pada masa hadapan.

kosmo

Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
Nilai segulung ijazah pada hari ini.Setiap Pelajar Wajib Tahu Nilai segulung ijazah pada hari ini.Setiap Pelajar Wajib Tahu Reviewed by kak tie on 4:35:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan